Thursday, July 7, 2011

Sati Dan Samadhi


Sati  ada pada semua orang. Sati senang disebut, tetapi susah hendak diterangkan maksudnya. Lazimnya Sati diberikan maksud sebagai "mindfulness" dalam bahasa Inggeris atau fikiran yang sedar atau ada kesedaran atau daya ingatan dalam bahasa Melayu. Orang yang tiada Sati ialah orang yang hilang ingatan,  hilang kesedaran dan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Begitulah lebih kurang maksudnya. 


Mengikut konsep Vipassana, Sati mempunyai kebolehan "menarik" dan "mengikat" minda (citta) pada sesuatu "arom" (aramana).  "Arom" ialah perkara yang melintasi fikiran kita, memasuki hati kita atau yang terakam dalam kotak ingatan kita.  


"Arom" di sini bukan "arom" yang bermaksud perasaan, tetapi semua perkara yang melintasi atau hadir dalam fikiran dan hati kita. Perkara-perkara tersebut dalam bahasa dhamma dipanggil "arom". Manakala dalam bahasa Thai ialah perkara atau benda yang muncul dalam fikiran atau hati kita. Perkara itu mungkin datang dari mata, telinga, hidung, lidah, tubuh atau hati. Orang yang duduk meditasi, biasanya menggunakan pelbagai perkara sebagai "arom" Samadhi. Jikalau duduk di dalam kereta api, bunyi kereta api yang membingitkan telinga juga boleh dijadikan "arom". "Arom" ialah tempat minda berpegang sebelum mencapai ketenangan. Sebelum memahami maksud Samadhi, elok kita fahami Sati terlebih dahulu. 


Sati mempunyai peranan menarik dan mengikat minda dengan sesuatu perkara pada sesuatu masa. Jikalau kita hendak membuat sesuatu, minda akan mengingat kembali perkara tersebut dan mengikatnya umpama seekor kera yang diikat pada sebatang kayu. Acariya Vipassana sering mengumpamakan minda kita seperti seekor kera yang tidak pernah duduk diam. Kera tersebut mesti diikat dengan batang kayu supaya ia tidak lari. Benda yang digunakan bagi mengikat kera ialah tali (rantai). Apabila diikat dengan batang kayu, kera tidak boleh lari, melainkan bergerak mengeliling batang kayu tersebut. 


Minda umpama kera. Batang kayu umpama "perkara" yang muncul dalam fikiran atau hati kita. "Perkara" yang dimaksudkan mungkin urusan harian atau apa-apa sahaja yang ada dalam fikiran atau hati kita. Tali yang mengikat kera umpama Sati. Sati merupakan alat yang mengikat minda dengan sesuatu perkara. Sati mengawal minda agar tidak lari, tidak meninggalkan "batang kayu", sebaliknya sentiasa mengelilingi "batang kayu" tersebut.


Bagi perkara yang muncul di fikiran, Sati memainkan peranan menarik dan mengikat minda pada perkara tersebut agar perkara tersebut tidak hilang daripada fikiran. Bagi perkara yang telah lepas, misalnya pengalaman yang berlaku beberapa hari atau beberapa bulan yang lepas, apabila kita hendak "menggunakannya", Sati akan menarik perkara itu datang ke masa kini. 


Sati memainkan peranan menarik sesuatu perkara kepada minda atau menarik minda kepada sesuatu perkara, sama ada perkara yang telah berlaku atau perkara yang sedang berlaku. Lazimnya perkara tersebut merupakan perkara yang penting atau mustahak. Perkara yang tidak penting akan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sati mengikat minda pada perkara yang penting agar perkara itu tidak hilang dan pada masa yang sama minda dapat memerhatikanya, mengawalnya atau memantaunya selama yang dikehendaki. 


Samadhi diberikan maksud konsentrasi, fokus, atau memberi tumpuan kepada sesuatu perkara. Jikalau kita membicarakan sesuatu perkara, minda mesti tumpu pada perkara tersebut. Seandainya kita sedang melakukan sesuatu pekerjaan, kita mesti ada konsentrasi, fokus atau tumpu pada pekerjaan itu. Proses konsentrasi, fokus atau tumpu inilah yang dipanggil Samadhi. Kadar masa Samadhi seseorang berbeza-beza. Orang yang biasa melatih diri dalam meditasi, mempunyai tahap Samadhi yang tinggi dan lama. 


Namun, Samadhi bukan merujuk kepada meditasi yang duduk pejam mata semata-mata. Duduk meditasi pun dipanggil duduk Samadhi kerana orang bermeditasi mahu cari ketenangan jiwa. Jiwa yang tenang ialah jiwa yang ada Samadhi. Sebelum mencapai ketenangan, minda mesti ada fokus pada sesuatu perkara yang dipanggil "arom". Minda yang hanya tumpu pada satu "arom" mempunyai kekuatan luar biasa. Masa minda mempunyai kekuatan luar biasa, merupakan masa yang amat sesuai untuk kita melakukan sesuatu pekerjaan. 


Semua orang mesti mempunyai Samadhi semasa melakukan sesuatu perkara. Belajar, bekerja, berkebun atau bersawah mesti ada Samadhi barulah hasil kerjanya baik. Menelaah pelajaran tanpa minda yang ada Samadhi umpama mencurah air ke daun keladi. Sukan yang memerlukan ketepatan seperti menembak atau memanah menuntut kadar Samadhi yang tinggi. Jikalau tiada Samadhi, tembakan atau panahan akan tersasar.

Sati menarik dan mengikat minda pada sesuatu perkara agar perkara tersebut tidak hilang atau beredar pergi.  Manakala Samadhi ialah keadaan minda yang konsentrasi pada sesuatu perkara sehingga keadaannya seolah-olah bersatu dan tenang bersama perkara tersebut. Keadaan minda yang tenang bersama sesuatu perkara itu, dinamakan Samadhi. Mungkin ada yang keliru dan kurang jelas perbezaan antara Sati dengan Samadhi.


Mari kita berbalik kepada perumpamaan kera dengan batang kayu. Sati memainkan peranan mengikat kera pada batang kayu agar kera tidak boleh bergerak ke tempat lain, melainkan bergerak mengelilingi batang kayu. Lama-kelamaan kerana tidak lagi bergerak mengelilingi batang kayu, sebaliknya berdiam diri dan tenang bersama batang kayu. Keadaan kera yang berdiam diri dan tenang  inilah dikatakan Samadhi.  Samadhi ialah keadaan minda yang tenang, hening dan bersatu bersama "arom". 


Seperti yang dikatakan sebelum ini, minda umpama kera yang tidak pernah duduk diam; sekejap ke sana, sekejap ke sini. Dalam sehari, minda menjelajah ke pelbagai tempat, mungkin ke seluruh dunia. Minda yang sentiasa bergerak ini tidak cukup kuat untuk melakukan kerja. Oleh itu, minda harus diikat, didiamkan, kemudian ditenangkan.


Dalam perumpamaan lain, menambat lembu liar dengan batang pokok ialah Sati. Apabila lembu liar berdiam diri di tepi pokok ialah Samadhi. 

Oleh sebab itulah, apabila kita bercakap tentang Samadhi, adakalanya kita tidak sebut Sati kerana di dalam Samadhi  telah terangkum Sati. Sering kita dengar apabila seseorang gagal melakukan kerja yang rumit dan jitu, dia akan berkata: "Hati tak ada Samadhi!" Samadhi sangat peting untuk menjayakan kerja yang rumit dan jitu. Ini bukan bermakna kerja lain tidak memerlukan Samadhi. Semua pekerjaan memerlukan Samadhi. Sati mengawal minda supaya tidak lalai. Manakala Samadhi menambahkan kekuatan kepada minda. 


Perbuatan menarik, mengikat, dan mengawal minda supaya berdiam diri bersama sesuatu perkara (arom) ialah Sati. Keadaan minda yang diam, tenang, hening dan seolah-olah bersatu dengan sesuatu perkara (arom) ialah Samadhi. 


Lazimnya Sati dan Samadhi bekerjasama, saling membantu dan bergantungan. Sati bekerja dahulu, kemudian diikuti oleh Samadhi. Sekiranya Samadhi belum cukup kuat, Sati lebih menonjol diri, memainkan peranan utama dan terpaksa bekerja lebih kuat. Sati terpaksa "menarik" dan "menarik" minda pada sesuatu perkara, bahkan terpaksa "menarik" sepanjang masa. Apabila Samadhi sudah kuat, sudah ada tumpuan, tenang dan bersatu dengan perkara berkenaan, Samadhi pula akan menonjol diri dan mengambil alih peranan utama. Sati pula mengendur diri, tidak perlu bekerja kuat lagi sehingga terasa seperti tidak wujud. Namun, Sati tetap wujud, tidak hilang ke mana dan tetap bekerja, tetapi tidak menonjol sahaja.


Dalam melatih Samadhi, kaedah latihannya mesti ada kaitan dengan Sati. Misalnya Anapanasati, Buddhanussati, Moranasati, dan sebagainya. 


Kesimpulannya, Sati ialah alat Samadhi  (Vipassana) atau Samadhi menggunakan Sati sebagai alat.  Namun, ada Sati sahaja, tiada Samadhi, minda tidak cukup kuat untuk bekerja. Sati mesti diikuti oleh Samadhi barulah minda menjadi cemerlang. 












No comments: