Sunday, July 24, 2011

Syurga di Dada, Neraka di Hati!


Cerita tentang neraka dan syurga merupakan cerita yang diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat sejak dahulu sehingga kini. Berbuat baik menuruti kehendak Tuhan akan ke syurga, berbuat jahat melanggari perintah Tuhan akan ke neraka. Sesetengah orang percaya, sesetengah orang tidak percaya.


Kerana kepercayaan ini ditanam ke dalam jiwa sejak kecil, maka orang akan percaya tanpa keraguan, tanpa berfikir secara mendalam bahawa syurga dan neraka selepas mati itu terletak di mana? Ada sesiapa pernah melihatnya? Setahu saya, tiada siapa pernah melihatnya, tetapi ramai yang begitu takut dengan neraka, dan pada masa yang sama beriya-iya hendak ke syurga.


Apabila ditanya tentang syurga, orang akan memandang ke atas, seolah-olah syurga ada di atas langit. Begitu juga apabila ditanya tentang neraka, orang akan memandang ke bawah seolah-olah neraka ada di bawah tanah. 


Sewaktu sekolah menengah, jikalau tidak silap tingkatan 1, seorang sahabat pernah bertanya syurga-neraka terletak di mana? Saya kata syurga di langit dan neraka di bawah tanah. Dia menjawab, kenapa orang naik bulan tidak jumpa syurga, dan penggerudi minyak tidak jumpa neraka? Saya berkata, kita akan tahu sekiranya orang yang mati pulang dan beritahu kita tentang syurga dan neraka. Sehingga kini, tiada seorang pun yang pulang beritahu kita!


Saya percaya mengikut kepercayaan orang tua-tua. Saya tidak pernah memikirkan perkara ini dengan serius sehingga saya dewasa. 


Apakah kita akan terus percaya tentang syurga dan neraka tanpa menyelidikinya secara mendalam dengan akal dan kebijaksanaan yang kita ada? 


Kita tidak pernah jumpa syurga dan neraka. Ibu bapa dan nenek moyang kita juga tidak pernah jumpa. Orang kata syurga dan neraka ada, kita pun percaya bulat-bulat. Kita tidak pernah berfikir secara mendalam, atau menyelidikinya dengan akal dan kebijaksaan. 


Kita umpama kanak-kanak yang dimomokkan dengan hantu jembalang. Kanak-kanak pun takut akan hantu jembalang walaupun seumur hidup tidak pernah terserempak dengan hantu. Apabila malam sahaja, kanak-kanak tidak berani keluar rumah kerana takut hantu. 


Kanak-kanak yang takut hantu umpama orang yang takut neraka. Walaupun tidak pernah nampak neraka, takutnya bukan main lagi. Lukisan-lukisan neraka yang dilukis di dinding Ubosot, Sala dan sebagainya amat menakutkan. Hukuman yang dikenakan ke atas penghuni neraka amat mengerikan. Bayangkan penzina dipaksa memanjat pokok berduri; di bawah ada anjing bertaring tajam, dan di atas ada burung bermulut besi.


Manakala syurga pula dihuni oleh Devata. Manusia yang berbuat baik apabila mati dilahirkan di syurga di langit. Penghuni syurga ialah makhluk istimewa kerana ingat mahu makan apa, makanan terus terhidang di depan mata. Ingat mahu makan KFC, maka KFC terhidang di depan mata. Ingat apa-apa sahaja yang dikehendaki, semua akan terhidang di depan mata. 


Kita sepatutnya percaya perkara yang boleh dipercayai dan tidak percaya kepada perkara yang tidak boleh dipercayai. Perkara yang tidak boleh dibuktikan dengan akal fikiran tidak patut dipercayai. Kita mesti menggunakan kebijaksanaan. 


Kita ialah penganut agama Buddha. Agama Buddha bukan agama yang berlandaskan "kepercayaan" tetapi berlandaskan sebab musabab. Kita percaya sesuatu harus bersebab, beralasan dan boleh diterima akal. Kita tidak boleh percaya sesuatu semata-mata kerana dipercayai oleh orang lain sejak turun temurun. Kita tidak boleh percaya sesuatu kerana dipaksa mempercayainya. Jikalau tidak percaya, berdosa. Itu bukan agama Buddha. Agama Buddha mengutamakan "sebab musabab" bukan percaya tanpa usul periksa. 


Percaya dengan cara "membuta mata dan memekak telinga" bukan agama Buddha. 


Syurga selepas mati kita tidak pernah jumpa. Neraka selepas mati kita tidak pernah lihat. 


Namun, neraka dunia memang ada iaitu orang yang berbuat jahat, kemudian dijatuhi hukuman penjara atau gantung. Inilah neraka bagi dia. Orang yang berbuat jahat yang sentiasa hidup dalam kesusahan ialah orang yang hidup dalam neraka. Manakala orang yang berbuat baik, hidup dalam kebahagiaan ialah orang yang hidup dalam syurga.


Buddha berkata Baginda sudah nampak syurga di ayatana! Baginda sudah nampak, neraka di ayatana! (ayatana ialah mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati).


Soal syurga dan neraka ini diajarkan sejak sebelum zaman Buddha lagi. Syurga dan neraka ini diajarkan bersama kepercayaan kepada Tuhan. Syurga ialah balasan Tuhan kepada manusia yang berbuat baik. Neraka ialah balasan Tuhan kepada manusia yang berbuat jahat. 


Buddha mempunyai kaedah pengajaran yang tersendiri dalam penyebaran ajarannya iaitu "tidak menafikan atau menolak bulat-bulat kepercayaan sedia ada". Sebaliknya, baginda akan mengajar semula kepercayaan tersebut mengikut pengetahuan Baginda. Soal Tuhan, Phra Phrom, Devada, syurga dan neraka tidak ditolak, tetapi diajarkan semula mengikut hakikatnya yang sebenar.  Oleh sebab itulah, Baginda menekankan pengasahan minda agar pengikutnya dapat memahami apa yang diajarkannya.


Kita mesti faham bahawa kepercayaan Brahmana di India ketika itu dinaungi oleh Maharaja India.  Apakah akan terjadi sekiranya Buddha menafikan atau menolak secara terang-terang perkara yang dipercayai Maharaja? Buddha tidak ada pedang, senapang atau tentera untuk mempertahankan diri. Baginda cuma ada akal budi. Oleh itu, Baginda mesti menggunakan akal budi untuk menyakinkan orang. 


Contohnya, orang yang percaya bahawa batu geliga ular boleh membawa tuah akan marah jikalau kita kata kepercayaannya mengarut walaupun dia sendiri tidak pernah menjumpai batu tersebut. Untuk mengelakkan dia marah dan percaya akan kata-kata kita, kita mesti menerangkan kepada dia tentang jenis-jenis batu sehingga dia faham bahawa sebenarnya batu geliga ular tidak wujud. 


Buddha mengatakan bahawa Baginda sudah nampak syurga dan neraka di ayatana iaitu di mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. Apabila kita berbuat jahat dan berasa panas di mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati, itulah neraka. Sebaliknya, apabila kita berbuat baik, berasa bahagia di mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati, itulah syurga.


Syurga atau neraka berada di ayatana 6 iaitu perasaan yang lahir di situ. Sakit, sedih, susah atau derita ialah neraka. Manakala, sihat, gembira, senang hati, atau bahagia ialah syurga. Neraka di ayatana 6 ialah neraka sebenar. Syurga di ayatana 6 ialah syurga sebenar. 


Menurut Buddha, syurga dan neraka yang diajarkan sebelum Baginda biarkan mereka (Brahmana) mempercayainya. Baginda tidak akan menyentuh perkara tersebut. Mereka ada kepercayaan mereka. Baginda tidak mahu menafikannya atau menerimanya. Baginda mengajarkan kebenaran Baginda iaitu syurga dan neraka ada di ayatana 6. Ini ialah kebenaran. 


Ajaran Buddha ini bertepatan dengan kata-kata yang menyebut "syurga di dada, neraka di hati". 


Namun, terdapat orang yang mengatakan bahawa kata-kata ini cuma perumpamaan. Padahal hakikatnya, bukan perumpamaan, tetapi kebenaran. Syurga di langit dan neraka di bawah tanah itulah perumpamaan, tetapi mereka percayai sebagai benar. 


Kepercayaan sesetengah penganut agama Buddha sebenarnya telah terbalik. Syurga dan neraka di ayatana 6 yang merupakan kebenaran dikatakan perumpamaan. Sedangkan, syurga dan neraka di langit dan di bawah tanah merupakan perumpamaan, dikatakan kebenaran. 


Kerana itulah, apabila ada orang bercakap tentang syurga dan neraka yang diajarkan oleh Buddha, ramai yang tidak berminat. Mereka lebih berminat kepada syurga dan neraka yang diajarkan oleh Brahmana.  Ini kerana syurga dan neraka ciptaan Tuhan telah melekat dan meresap ke dalam tulang hitam. 


Kesimpulannya,  baik dan jahat seseorang berpunca di mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. Kita percaya syurga dan neraka di mana sekalipun, kita mesti jaga ayatana 6 kerana di situlah punca kesengsaraan atau kebahagiaan kita. 






5 comments:

Anonymous said...

Sejak lama saya ragu syurga neraka yang dicerita orang-orang tua. Selepas baca blog ksb rasa ragu hilang. terima kasih Tuan Pena.

Anonymous said...

SAWADI TUAN PENA

SADHU SADHU SAYA AMAT BERTERIMA KASIH DGN PENERANGAN TUAN PENA.SYABAS TERUSKAN. CUMA NAK MINTA TOLONG TERANGKAN LEBIH LANJUT PASAL AYATANA 6

SAWADI
Ban Nook Ook

Anonymous said...

Syurga di box donation,neraka bil air dan api-kepala otak Ajk wat8liam.

Anonymous said...

Rasanya sebelum mati lebih kita masuk syurga dulu.Pakai duit yang orang derma untuk kebajikan itu.Apa susah neraka lepas mati aje...apa pandangan tuan pena.?

Anonymous said...

"Marilah kita bersama-sama tam-wat chau,selepas itu mengumpat pula.Kalu senang kita semua cucok sana,cucok sini."Ini kerja siapa?
Hantar kepada tresuare Wat 8liam.anda akan hadiah rm.....'