Tuesday, July 19, 2011

Vien Tian, Asalaha Puja Dan Kerenah Kaum Buddhis!

Vien tian (เวียนเทียน) merujuk kepada upacara penganut agama Buddha berjalan mengelilingi tempat suci seperti Ubosot, vihara atau imej Buddha bertujuan memperingati kesucian,jasa dan kebaikan Tri Ratana sempena hari kebesaran agama Buddha. Tradisi vien tian dalam masyarakat Siam mendapat pengaruh dari India yang dibawa masuk bersama agama Buddha. 

Vien bermaksud keliling atau mengelilingi. Tien bermaksud lilin. Vien tian ialah keliling atau mengelilingi dengan lilin. 

Dalam kitab Tipitaka (Phra Traipidok), memberi penghormatan dengan cara vien tian dipanggil vien prataksinavat iaitu mengeliling kanan sebanyak 3 keliling sebagai tanda penghormatan dan pemujaan tertinggi terhadap tempat atau benda berkenaan. Masyarakat Siam-Buddhis mengambil budaya ini untuk memperingati kesucian, jasa dan kebaikan Tri Ratana.

Dahulu upacara vien tian dilangsungkan 3 hari setahun sempena Hari Wesakha Puja, Hari Atthami Puja dan Hari Magha Puja, kemudian ditambahkan 1 hari lagi iaitu Hari Asalaha Puja.

Vien tian  mempunyai peraturan yang tersendiri. Apabila tiba masa yang ditetapkan, pihak wat akan pukul loceng besar sebagai isyarat supaya bhikkhu, samanera, ubasok dan ubasika berkumpul di depan Ubosot atau Chedi. Bhikkhu berada di hadapan, diikuti oleh samanera, ubasok atau ubasika. Setelah semua bersedia, mereka akan menyalakan lilin dan colok. Kemudian mereka akan berjalan mengelilingi Ubosot sambil memegang lilin, colok dan bunga dengan muka menghadap sedikit ke arah Ubosot. 

Berjalan pusing kanan sambil memperingati kesucian, jasa dan kebaikan Buddha sebagaimana yang tercatat dalam "Itipiso pagava ..." (pusingan pertama); memperingati kesucian, jasa atau kebaikan Dhamma "Svakhato pagavata dhammo" (pusingan kedua); dan memperingati kesucian, jasa dan kebaikan Sangha "Supatipanno pagavato savakasangkho" (pusingan ketiga). 

Selepas Vien tian, semua orang, termasuk bhikkhu, samanera dan gharawas masuk ke dalam Ubosot, vihara atau dewan untuk suatmon dan seterusnya mendengar khutbah dhamma. Biasanya dhamma yang disampaikan ada kaitan dengan hari kebesaran tersebut.


Oleh sebab Hari Asalaha Puja baru sahaja berlalu, rasanya elok sangat saya menulis sedikit tentang hari berkenaan. Hari Asalaha Puja merupakan hari Buddha, Dhamma dan Sangha, hari agama Buddha dan hari pengisytiharan diri sebagai penganut agama Buddha. Maka hari tersebut sangat penting kepada penganut agama Buddha semua. 


Hari Asalaha Puja merupakan hari Baginda Buddha menyampaikan khutbah Dhammacakkappavattha sutta; khutbah yang membuktikan kepada dunia bahawa dhamma Buddha adalah kebenaran dan boleh dibuktikan melalui amalan. Hari Asalaha Puja ialah hari kewujudan agama Buddha, hari menyebarkan dan mengembangkan agama Buddha kepada dunia agar dunia sejahtera, aman dan damai.


Selepas mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru), Buddha "menikmati kebahagiaan (vimutti sukha)" di sekitar pokok Bodhi selama 49 hari. Dalam tempoh tersebut belum ada sesiapa mengetahui bahawa Baginda Buddha telah mencapai Trassaru sehingga Buddha berjumpa dengan Pancavakkhi. Tempat Buddha Trassaru (Buddhagaya) dengan tempat Pancavakkhi (Saranath) sejauh 200 kilometer. Selepas mendengar khutbah Buddha, Kondanya merupakan individu pertama mampu "melihat" dhamma Buddha. Beliau minta menjadi bhikkhu. Dengan itu, Kondanya merupakan saksi kebenaran Pencerahan Sempurna Buddha. 


Selepas itu Buddha memberi khutbah Anantalakkhana Sutta yang memperihalkan Anicca, Dukkha dan Anatta, memusnahkan kilesa dan memahami alam semesta dan dunia kepada Vappa, Bhaddiya, Mahanama dan Assaji sehingga mencapai Arahant. Maka dengan itu, wujudlah Sangha kumpulan pertama dalam agama Buddha.   


Khutbah tersebut dinamakan Dhammacakkappavattha Sutta, tetapi dalam bahagian huraian Tipitaka, dianggap sebagai "khutbah pertama". Sebenarnya Dhammacakkappavattha Sutta, bukan khutbah pertama, kerana dalam perjalanan dari Buddhagaya ke Saranath, Buddha ada memberi khutbah kepada seorang atau dua orang Brahmana. Namun, khutbah tersebut tidak berhasil kerana Brahmana tidak mampu memahaminya. Inilah khutbah pertama Buddha, tetapi tidak berhasil.


Apabila tiba di Saranath, Buddha menyampaikan dhamma kepada Pancavakkhi dengan berjaya. Dhamma yang disampaikan berpusat pada Ariya Sacca 4. Namun Ariya Sacca 4 dalam Dhammacakkappavattha Sutta dengan Ariya Sacca yang kita belajar dalam Nakhtham tidak sama. Ariya Sacca 4 dalam Nakhtham dimulakan dengan Dukkha  yang mesti "diketahui", Samudaya (punca kepada Dukkha) mesti "ditinggalkan", Nirodha mesti "dicerahkan" dan Magga mesti "diamalkan". Manakala dalam Dhammacakkappavattha Sutta dimulakan dengan penyelesaian masalah secara langsung.  


Magga 8 apabila disingkatkan ialah Sila, Samadhi dan Panya.


Hari Asalaha Puja merupakan hari Buddha, Dhamma dan Sangha; hari pengembangan Buddhadhamma. Kita selaku penganut agama Buddha melakukan upacara vien tian untuk memperingati kesucian, jasa dan kebaikan Tri Ratana. Maksud "memperingati" di sini bukan sekadar memperingati secara biasa yang dilakukan terhadap benda lain, tetapi mesti lahir daripada kesucian dan keikhlasan hati. Tri Ratana sesuatu yang suci, dihormati dan penting bagi seluruh penganut agama Buddha. Jadi, memperingati Tri Ratana mesti dilakukan dengan penuh hormat. 


Malangnya, sesetengah penganut agama Buddha, termasuk orang Siam melakukan upacara vien tian sambil bermain-main dan tiada kesungguhan. Rasa hormat kepada Tri Ratana langsung tidak ada. Mereka sama sekali tidak menghayati semangat vien tian. Mereka bukan sahaja tidak menghormati Tri Ratana, bahkan mempersendakannya. Walaupun vien tian hanya upacara, tetapi ini merupakan upacara keagamaan yang suci dan mulia yang tidak boleh dilakukan dengan bermain-main. Berdosa. 


Kanak-kanak dengan cara mereka; bermain-main, manakala orang dewasa membiarkan sahaja; tidak pernah memberi nasihat kepada kanak-kanak. Sesetengahnya menjerit-jerit, bergurau senda dan ketawa dengan kuat. Tidak kurang juga yang sengaja membakar belakang kawan dengan lilin atau colok. Kanak-kanak kecil masih boleh dimaafkan, tetapi jikalau melibatkan remaja belasan tahun, saya sendiri pun tidak tahu apa hendak dicakapkan. Jikalau ibu bapa tidak berani menasihati anak-anak dalam hal ini, orang lain lagi tidak berani. 


Kita sepatutnya vien tian dengan hati yang tenang, nyaman dan ceria sambil menghayati kebesaran Buddha, Dhamma dan Sangha. 


Hari kebesaran agama Buddha bukan sebarangan hari. Penganut agama Buddha mesti menghayati dan menghargainya. Kita tidak boleh mempersendakan kesucian agama kita sendiri dengan perbuatan-perbuatan yang tidak manis dipandang mata. Vien tian walaupun sekadar upacara, namun "semangat" yang tersemai di sebaliknya membawa erti yang besar kepada agama kita. 










    




6 comments:

Anonymous said...

Apa yang Tuan Pena tulis memang berlaku dan ia pernah berlaku pada saya sendiri.Rambut saya pernah dibakar dan kaki saya juga pernah cedera kerana terpijak anai-anai(kangkiak)yang sengaja dilempar kearah saya ketika upacara viantian. tapak kaki dan kaki saya cedera teruk sampai berdarah.Jerit minta tolong takda yang tolong pasal semua sibuk mengelilingi bangunan.Saya tak pakai kasut pasal diberitahu semua orang akan buka kasut,bila saya buka kasut,letak kat tepi bangunan ,kasut saya terus hilang.Nak adu hal ni kat mak bapak saya..dua dua dah mati.Pi adu kat na chau..na chau suruh adu kat mak bapak orang yang lempar anai-anai.Pasal rambut kena bakar ,na chau kata rambut boleh tumbuh balik.Pi adu kat mak bapa diorang saya pula kena maki dgn mak bapak diorang.Katanya saya fitnah anak diorang( anak mereka bukan budak kecik pun umur hampir cecah 20 tahun).Nak tak nak saya balik rumah menangis.Seminggu lepas tu kaki saya bernanah ,jadi kudis,bila jiran nampak,jiran tanya kena apa ,saya pun cerita apa yang dah berlaku.Jiran pula bawa mulut..pi cerita kat mak orang-orang tu yang saya dok cerita kat dia.Last last mak orang tu bawa satu keluaga dia datang rumah maki hamun saya,bukan itu saja..anak anak pula meludah ,menampar dan menyepak saya tapi maknya tengok saja.Sejak dari itu setiap kali mereka terjumpa saya,saya jadi tong drum,tempat sepak terajang diorang,sampailah satu hari tu..ketika saya disepak terajang tepi sungai..muncul ciptaan tuhan yang baik hati,seorang yang digeruni dan dikagumi orang orang kampung.Di tegurnya orang yg pukul saya tapi diorang tak dengar,lawan cakap pula tu.Last last semua mereka kena tampar dgn insan yg baik hati itu.Siap tinggal pesan,siapa ganggu saya lagi ,orang tu akan kena makan penampar lebih teruk.

Sejak dari peristiwa itu saya tak pergi viantian lagi..terlalu Phobia!!!!

pena reformasi said...

Sebagai penganut agama Buddha, kita sepatutnya bersopan santun pada hari kebesaran agama, bukannya bersikap biadab. Ibu bapa seharusnya membimbing anak-anak ke arah yang baik, bukannya menggalakkan mereka berbuat jahat.

Anonymous said...

Ramai antara kita ini perkara yang penting suka membuatnya main-main(tidak sungguh-sungguh,). Contohnya seperti tuan pena kata, vienthian ini. Orang buddhist ingat hari Asalaha ini sebagai perkara tidak penting.Kerja mencari duit lebih penting.Minum arak berjam-jam tidak mengapa. Vienthian hanya 30 minit pun letih dan malas.
Tengoklah di mana-mana sahaja.Perkara yang penting kita abaikan. Hal kawin,masuk rumah baru dan masuk kerja lagi penting. Malah ada yang habis duit beribu-ribu pun tidak mengapa. Hendak datang ke wat atau samnak mengamal sila 5 pun malas.Begitu juga nak vientien pun tidak senang datang pun.
tolong2 tengok2..kita sendiri ..

Anonymous said...

SAWADI TUAN PENA
saya nak kongsi pengamatan saya terhadap sesetengah golongan remaja siam yg pergi Wat, saya sangat tidak puashati dgn cara pemakaian mereka. Ada yg nak sujud sampai nampak punggung, nampak pusat. bagi saya generasi sekarang kurang mendapat penekanan dari ibubapa mereka tentang cara pemakaian yg bersesuaian dgn majlis.Malah setengah ibubapa bangga jika anak mereka berpakaian mendedahkan aurat.

Saya berpendapat ketua Bikkhu harus memainkan peranan yg amat penting dlm hal ini selain dr ibubapa.Tapi jika diperhatikan tiada tindakan yg sewajarnya diambil. Semakin hari semakin rosak cara pemakaian remaja siam kita. Ini adalah hanya sebahagian kecil isu yg saya lihat ada byk lagi yg boleh dikongsi bersama spt dalam Wat tak sepatut ada penyembelihan binatang, minum arak, judi dsbnya. Nampaknya masyarakat sekarang dah tak boleh bezakan yg mana pahala dan yg mana dosa semua pakai hentam aje.

SAWADI
Ban Nook Ook

pena reformasi said...

Memang betul remaja kita hari ini kurang mengambil berat tentang jenis pakaian sewaktu pergi wat. Ibu bapa pula buat tak tahu saja.

Sewaktu pergi wat, kita patut berpakaian sopan dan tidak menjolok mata.

Anonymous said...

Tuan Pena,

Di bulan Phansa saya masih berjumpa manusia yg tdk pegang Sin. Saya melihat peminum arak yg mabuk, melihat manusia bersubahat dgn penjual arak, manusia bersubahat dgn taukeh judi & melihat manusia menganiaya binatang (ayam/ikan diadukan). Saya Surrender, kenapa saya berjumpa dgn manusia hilang Sin ? Adakah ini Dukkha ?

Yang Jahil
Phai Chit Chindamanie.