Thursday, August 4, 2011

Anda Boleh Jika Anda Mahu!

Setiap orang tidak mungkin dapat mengelakkan diri daripada kesilapan. Sejak kanak-kanak sehingga dewasa pasti ada kesilapan yang dilakukan, kecil mahupun besar. Orang yang tidak melakukan kesilapan ialah orang yang tidak pernah melakukan apa-apa langsung dalam hidupnya.


Apabila ada kesilapan, ada juga kesalahan. Kesalahan yang dilakukan dengan sengaja. Begitu banyak kesalahan yang mungkin dilakukan oleh manusia. Oleh itu, di sini saya mengehadkan kesalahan yang terkandung dalam Sila 5 dan Sila 8 sahaja. Mungkin ada yang pernah membunuh binatang. Mungkin ada yang pernah berbohong. Mungkin ada juga yang pernah berzina. Bagi yang minum alkohol, usah diperkatakan lagi. Setiap kesalahan, atau lebih tepat pelanggaran Sila ini mempunyai alasan-alasan tertentu yang mungkin berbeza-beza antara satu orang dengan orang lain. Ini tidak penting. Perkara yang penting ialah berhenti terus daripada melakukan kesalahan tersebut. 


Barangkali ada orang berkata, cakap senang, tapi melakukannya sangat susah. Saya setuju. Kesalahan yang dilakukan setiap masa sehingga menjadi tabiat amat sukar ditinggalkan. Perokok dan peminum misalnya, bukan senang mahu berhenti. Ditegur jangan sekali nanti dimarahinya. Malahan perbuatan mencuri pun apabila telah menjadi kebiasaan, tidak selesa apabila tidak dapat mencuri. Ada orang setiap kali lalu di kebun timun orang, jika tidak petik sebiji dua, rasa seperti tidak sah walaupun di kebun sendiri ada tanam timun. Berbohong dan berzina pun serupa. Kedua-duanya boleh menyebabkan orang ketagihan. Semua perbuatan yang melibatkan panca indra (5 deria) boleh menyebabkan ketagihan. 


Orang-orang yang mempunyai bun barami, sebesar mana kesalahan yang pernah dilakukannya, dia akan sedar dan insaf sebelum kematiannya. Hanya orang-orang yang berdosa melakukan kejahatan sehingga ke api kubur. Saya kata orang-orang yang mempunyai bun barami akan sedar dan insaf daripada kejahatan kerana dalam kitab Tipitaka ada diberikan contoh. Angulimala (Ong Gulimal) misalnya, melakukan pembunuhan yang dahsyat tetapi kerana ada bun barami, dia sedar dan insaf setelah terserempak dengan Buddha. Dia mengamalkan Dhamma-vinai sehingga mencapai Arahant. 


Perompak terkenal yang bernama Thampathatika bersama sekumpulan perompak seramai 499 orang ditangkap. Tukang pancung tidak berani memancung mereka. Thampathatika sanggup menjadi pemancung dengan syarat raja mengampunkan kesalahanya. Raja setuju. Thampathatika memancung kesemua perompak tersebut. Kemudian dia dilantik menjadi tukang pancung oleh raja. Selama 55 tahun jadi tukang pancung. Lebih 10,000 orang dipancungnya.  Sewaktu mendengar khutbah dhamma daripada Phra Saribut, dia resah gelisah kerana takut akan dosa memancung orang. Berkat kebijaksanaan Saribut, dia sedar dan insaf sehingga mencapai Sodaban pada ketika itu juga. 


Orang yang ada bun barami, sejahat mana sekalipun, akan insaf dan kembali ke pangkal jalan. Bun barami akan membawa dia kepada Tri Ratana agar dia boleh mengamalkan dhamma vinai. Bun barami tidak semestinya kebaikan yang dikumpulkan pada masa lampau. Bun barami boleh dikumpulkan pada masa kini. Bun barami yang dikumpulkan pada masa kini lebih berkuasa daripada bun barami yang lain. Angulimala dan Thampathatika mengumpulkan bun barami masa kini sewaktu mendengar khutbah dhamma daripada Buddha dan Saribut.  Kedua-duanya mendengar khutbah dhamma dengan bersungguh-siungguh, menghayatinya dengan sepenuh hati, menerimanya dengan sepenuh jiwa, akhirnya sedar dan insaf akan kejahatan yang pernah dilakukan. Inilah yang dikatakan bun barami.


Kita pun boleh mengumpulkan bun barami jikalau kita membuka hati, mendengar nasihat dan menyakini dhamma Buddha. Kita mesti membuka hati untuk menerima nasihat. Jikalau orang memberi nasihat, phra Song memberi dhamma, kita menutup hati, menafikan kebenaran, sebaliknya meninggi diri, sombong dan ego, sampai ke api kubur, kita tidak akan sedar dan insaf. 


Bagi mereka yang sedar dan insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan, Buddha memberikan 4 kaedah yang harus dilakukan. 


1. Morananussati - sentiasa sedar bahawa kita akan mati. 


2. Sebelum mati, kita mesti menerima Buddha, Dhamma dan Ariya Sangha. Menerima di sini ialah menerima dengan kebijaksanaan. Kita mesti mengenali Buddha, Dhamma dan Sangha dengan betul. 


3. Jaga Sila 5 atau Sila 8 (moraliti) supaya sentiasa sempurna. Sila mampu mengawal perbuatan kita. Apabila Sila sempurna, kita tidak akan melakukan kejahatan. Kita mesti paksa diri agar mematuhi Sila. Hati kita kekadang sangat degil dan mesti dipaksa setiap masa. 


4. Menyerahkan jiwa raga kepada Nibbana. Menggunakan sisa usia yang ada untuk mencapai Nibbana. Ini bukan bermakna kita mesti tinggalkan kerja pergi cari Phra Acarn duduk samadhi vipassana. Kita kerja seperti biasa. Cuma minda kita harus diprogramkan bahawa kita sedang dalam perjalanan ke Nibbana. Oleh itu, kita harus berfikir perkara-perkara yang baik dan positif. Perkara yang negatif mesti dikeluarkan dari minda. Biarkan yang baik tinggal di dalam, manakala yang jahat tinggal di luar. 


Empat kaedah ini merupakan pintu yang akan menyekat syaitan daripada memasuki hati yang boleh menyebabkan kita kembali ke perilaku lama.  Kejayaannya tidak datang sekelip mata. Namun, jika ada kesungguhan, setiap orang akan berjaya. Anda boleh, jika anda mahu!

2 comments:

Anonymous said...

Kalu kita pegang sila 8,tapi tidur dengan bini kita hukumnya apa? Di wat kl ada 2 manusia yang begini saya ini mahu tanya saja,pasal kurang faham tentang sila 8.
Pegang sila 8 tapi menguumpat orang hukmunya apa pula. Biasanya cucuk sana cucuk sini,sila 8 itu cukup ker?
Pegang sila 8 boleh beli nombor tak? Nampaknya gila sangat dengan nombor ekor serta kepalanya.

Dengki orang itu ini,ada lagi ker sila 8 dia.Atau sila 8 ini untuk menunjuk-nunjuk saja?
Maafkan saya kalau terlalu panjang,cuma mahu faham dan berguna untuk orang lain juga.

pena reformasi said...

Sila untuk mengawal percakapan dan perbuatan. Semua percakapan dan perbuatan yang mengundang kilesa, yang menyumbang kepada raga, lobha, dosa dan moha mesti dielakkan.

Sila tak mampu jaga pemikiran/hati. Jika hati dipenuhi kilesa, Sila pun runtuh. Sesetengah orang pegang Sila secara ikut-ikutan, sekadar penuhi tuntutan adat, tak ikut cara yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Buddha. Oleh sebab itulah kita lihat ada orang pegang Sila berpuluh tahun tapi perasaan tamak, dengki, cemburu, dan sebagainya tak berkurangan.

Ada orang yang kita tak pernah lihat dia pergi rapsin di wat, tapi hatinya mulia, percakapan dan perbuatannya terkawal. Dia pemurah, suka tolong orang kerana hatinya berlimpah dengan perasaan kasih (metta). Ini orang yang ada Sila yang sebenar. Dia tak dipengaruhi adat, tak perlu upacara rapsin, tapi dia ada Sila.