Friday, August 5, 2011

Caritta 6: Enam Sifat Manusia


Istilah Caritta (Thai: Carit) apabila diterjemahkan secara terus bermaksud tempat pengembaraan minda. Caritta 6 ialah 6 tempat yang menjadi kesukaan minda. 


Namun, maksud Caritta yang sebenar ialah sifat, pembawaan, perlakuan atau perwatakan seseorang. Atttakatha memberikan erti Caritta sebagai kebiasaan. Maksudnya sifat kebiasaan seseorang. Caritta 6 bermaksud enam sifat, pembawaan, perlakuan atau perwatakan yang ada pada setiap orang. 

Buddha menegaskan bahawa setiap manusia mempunyai caritta tersendiri yang mungkin berbeza-beza antara satu sama lain. Caritta manusia mengikut Buddha dapat dibahagikan kepada 6 jenis yang dipanggil Caritta 6 ini. 


Antara Caritta 6 ialah:


1. Raga Caritta (Raga Carit)


2. Dosa Caritta (Dosa Carit)


3. Moha Caritta (Moha Carit)


4. Vitakha Caritta (Vitok Carit)


5. Saddha Caritta (Sattha Carit)


6. Buddhi Caritta (Buddhi Carit)


1. Raga Caritta


Carita yang menyukai keseronokan, kecantikan, kebersihan, ketertiban, kehalusan dan kelembutan. Individu yang mempunyai caritta ini sangat mementingkan kebersihan, kemas, bercakap penuh sopan dan amat mengutamakan kecantikan, kejelitaan atau ketampanan. Namun, Caritta ini mendorong kepada ketamakan. 


2. Dosa Caritta


Individu yang mempunyai caritta ini merupakan seorang yang pemarah, panas baran, sedikit tersilap hatinya terus terbakar. Setiap hari hanya mencari kemarahan. Hari tanpa kemarahan hampir tidak ada dalam hidupnya. Perwatakannya sangat kasar, bercakap kuat dan hasil kerjanya kasar.


3. Moha Caritta


Individu yang mempunyai caritta ini tidak berapa cerdik sebab itu mudah disesatkan, mudah dipengaruhi, senang tertipu, mempercayai perkara yang tidak masuk akal dan tidak bijak menggunakan pertimbangan akal.


4. Vitakha Caritta


Individu yang mempunyai caritta ini suka berfikir mengikut perasaan tetapi tidak bijak membuat keputusan. Fikirannya sentiasa melayang ke sana, melayang ke sini. Fikiran tidak tenang. Suka berkhayal. Perkara yang remeh temeh pun difikirnya panjang lebar, tetapi keputusan muktamad jarang ada. Kadang-kadang dia takut membuat keputusan. Individu ini mempunyai perwatakan yang kurang ceria, murung, ada masalah jiwa, tua mendahului usia dan sukar mencari ketenangan.


5. Saddha Caritta


Individu mempunyai caritta ini mudah mempercayai sesuatu perkara tanpa berfikir terlebih dahulu. Mudah mempercaya khabar angin. Sesiapa berkata apa, dia percaya terus tanpa difikirkan kebenarannya, tanpa diperiksa asal-usulnya. Pendek kata individu ini lebih mempercayai orang daripada dirinya sendiri. Apabila dia percaya (saddha), berapa banyak pun sanggup berhabis. Orang jual pahala, jual syurga pun dia beli tanpa mempedulikan rasionalnya. Kadangkala sifatnya yang mudah percaya menyebabkan dia kelihatan seperti bodoh dan lurus bendul.


6. Buddhi Caritta


Individu mempunyai caritta ini sangat bijak, pandai berfikir, berani membuat keputusan dan akalnya sangat tajam. Suka mendalami ilmu, daya ingatan sangat bagus dan suka membuat kebaikan jenis yang masuk akal.

..................................................................


Sifat, pembawaan dan perwatakan manusia mengikut Buddha terdiri daripada 6 jenis ini sahaja. Ini yang utama. Pecahan-pecahannya mungkin berpuluh atau beratus. Tiada 2 orang yang bersifat betul-betul sama. Oleh itu, Buddha hanya menyenaraikan yang utama sahaja. Sesetengah orang mempunyai kesemua Carita 6. Manakala sesetengah yang lain pula mempunyai sebahagiannya sahaja.


Kekuatan setiap caritta juga berbeza-beza. Mungkin si A yang mempunyai Dosa Caritta mempunyai kadar kemarahan yang lebih kuat daripada si B yang mempunyai caritta yang sama. Begitu juga dengan beberapa orang yang mempunyai Buddha Carita belum tentu mempunyai tahap kebijaksanaan yang sama tinggi. Perbezaan ini ditentukan oleh pelbagai perkara, antaranya ialah bun barami, tahap minda, kematangan dan pengalaman.


Memahami Caritta 6 sangat penting agar kita dapat mencari dhamma yang sesuai untuk diamalkan. Dalam Samatha Kammathana disarankan dhamma tertentu yang sesuai dengan setiap caritta untuk diamalkan. Orang yang tidak mengamalkan Kammathana juga boleh mengamalkannya. 


1. Raga Caritta - Individu yang mempunyai caritta ini harus menyuburkan Kayakatanussati (mengingati tubuh badan sebagai benda yang tidak kekal, sentiasa berubah, tiada diri, sakit, tua, dan mati), dan Asubhanussati (mengingati keadaan tubuh badan yang sebenarnya tidak cantik, kotor dan apabila mati akan reput dan busuk) Tubuh badan yang kita kagumi kerana cantik, menawan dan terpesona akan berubah kepada benda yang tidak cantik dan busuk apabila mati.  Tubuh badan tiada diri yang kekal kerana semuanya terdiri daripada tanah, air, angin dan api. 


2. Dosa Caritta - Individu yang mempunyai caritta ini harus membicarakan Brahma vihara 4 (metta, karuna, mudita dan upekkha).  Tanamkan empat sifat ini ke dalam jiwa setiap kali kemarahan, kebencian dan dendam timbul di hati. Dalam Samatha Kammathana, kita disarankan melakukan Wanna Kasina (fokus pada warna hijau, merah, kuning dan putih sebagai objek samadhi) bagi meleraikan kemarahan.


3. Moha Caritta dan Vitakha Caritta - Individu yang mempunyai caritta ini lazimnya mudah keliru, sesat dan sukar membuat keputusan yang tepat. Oleh itu disarankan supaya menyuburkan Anapanassati Kammathana (menghayati pernafasan masuk dan keluar) atau menyuburkan Sati Pathana 4. Individu ini juga disarankan selalu berbincang dhamma dan bertanya kepada orang yang arif agar dapat menambahkan ilmu.


4. Saddha Caritta - Individu yang mempunyai caritta ini harus menyuburkan Kammathana 6 iaitu 1. Buddhanussati (mengingati Buddha), 2. Dhammanussati (mengingati Dhamma), 3. Sanghanussati (mengingati Sangha), 4. Silanussati(mengingati Sila), 5. Caganussati (mengingati pemberian dan pendermaan sebagai perbuatan yang baik), 6. Devatanussati (mengingati kebaikan yang menjadikan seseorang sebagai Devata, misalnya malu dan takut kepada dosa). Kammathana 6 akan menukarkan Saddha yang kurang bijak, ikut-ikutan kepada Saddha yang bijak. 


5. Buddhi Caritta -  Individu yang mempunyai caritta ini mesti menyuburkan Kammathana 4 iaitu 1. Morananussati (mengingati kematian agar kita tidak lupa diri, tidak ego), semua yang hidup akan mati, 2. Upasamanussati (mengingati pembebasan minda daripada Kilesa dan Tanha, mengingati Nibbana), Anicca, Dukkha, Anatta. 3. Aharepatikulasanya (membicarakan makanan sebagai benda yang "menjijikkan" agar kita tidak melekat pada makanan), 4. Catutatuvavatthana (membicarakan Elemen 4 iaitu tanah, air, angin dan api agar kita sentiasa sedar bahawa tubuh badan kita yang bijak, pandai, cemerlang dan terbilang ini tidak kekal abadi (Anicca). Gunakan kebijakan akal untuk membuat kebaikan). Mendalami Tri-Laksana.
  





No comments: