Tuesday, August 30, 2011

Kaedah Buat Dana Yang Betul


Buat Dana (thamthan) bermaksud memberi barang milik kita kepada orang lain dengan niat agar orang itu mendapat faedah dan kebahagiaan daripada pemberian tersebut. Pemberian ini lazimnya disertai dengan perasaan kasih dan belas kasihan.


Buat dana umpama berkebun. Jikalau benihnya baik, tanahnya subur dan kaedah berkebun yang betul, hasilnya akan lumayan. Akan tetapi jikalau benihnya tidak baik, tanah gersang dan kaedah yang salah, apa yang boleh kita harapkan? Ramai yang berkebun, tetapi hasil yang diperolehi tidak sama; ada yang banyak, ada yang sedikit dan ada yang tidak berhasil sama sekali. Ini kerana kualiti benih, jenis tanah dan kaedah yang digunakan tidak sama. Begitu juga dengan membuat dana. 


Sejauh mana pembuat dana mendapat pahala yang lumayan bergantung pada 3 perkara, iaitu (1) Barang yang digunakan membuat dana, (2) Niat membuat dana, (3) Orang atau pihak yang menerima dana. Jikalau 3 perkara ini dilengkapi, maka pahalanya pasti lumayan. 


1. Barang Dana Mesti Bersih


Barang yang digunakan membuat dana mesti bersih. Barang yang bersih ialah barang yang diperolehi dengan cara yang halal, daripada pekerjaan yang tidak menyalahi agama dan undang-undang, bukan daripada sumber rasuah, menipu, memperdaya, mencuri, merompak, menyamun, atau mendapatkannya dengan cara yang tidak bermoral.


a) Barang yang diperolehi dengan menyusahkan orang lain atau kehidupan lain tidak boleh dijadikan barang dana. Misalnya membunuh binatang atau ikan dengan niat untuk membuat dana kepada Bhikkhu adalah berdosa sama sekali. Berbuat dosa untuk mendapatkan pahala tidak digalakkan. Pahalanya dapat tetapi terlalu sedikit, mungkin lebih sedikit daripada dosa yang dilakukan membunuh binatang. Silap hari bulan, tidak dapat apa-apa langsung kecuali dosa.

Namun, membeli daging di pasar untuk membuat dana tidak salah. Kita hanya membeli daging, bukan minta binatang disembelih. Barang dana kita pun bersih. Kita pasti dapat pahala tanpa melakukan dosa membunuh binatang.


b) Harta yang dicuri, dirompak, disamun, ditipu, hasil rasuah, harta awam (harta rakyat) yang diperolehi dengan cara tidak bermoral,  atau harta yang tuannya tidak izinkan tergolong dalam barang dana yang tidak bersih. Jikalau harta ini disimpan dalam bank, faedah atau bunga yang diperolehi juga tetap tidak bersih. Harta tidak bersih ini jika digunakan untuk menyara diri pasti tidak berkat, iaitu membawa hasil yang tidak baik. Jika digunakan untuk membuat dana, membina Wat, membina Ubosot, Chedi atau dewan makan, pahalanya tidak ada.


Pada zaman pemerintahan Raja Ke-5 Thailand, terdapat seorang ibu ayam yang menjaga pusat pelacuran. Setiap perkhidmatan seorang pelacur dikenakan bayaran sebanyak 25 satang (25 sen). Daripada jumlah 25 satang, dia akan ambil 5 satang. Dia berjaya mengumpul duit hasil pelacuran sejumlah 2000 Bath. Dia menggunakan duit itu membina sebuah wat sehingga siap. Kemudian dia pergi bertanya kepada Somdej Luang Phor Tho, Wat Rakhang tentang jumlah pahala yang diperolehi daripada membina wat daripada duit yang dikumpulnya. Luang Phor Tho berkata, dia dapat pahala sebanyak 1 salung (25 sen). Wanita itu sangat kecewa. Dia mendapat pahala yang sedikit kerana duit yang diperolehi bagi membina wat tidak bersih. Duit daripada sumber pelacuran dan diambil tanpa kerelaan hati tuannya (para pelacur).


c). Hasil perniagaan yang menipu pelanggan. Para peniaga semua harus berhati-hati. Barang yang dibeli dengan harga murah-murah, kemudian dijual dengan harga mahal yang melampau, bakal menghasilkan pendapatan yang tidak bersih. Peniaga yang digelar pencekik darah termasuk dalam golongan ini. 


d). Gaji atau pendapatan daripada pekerjaan yang tidak bermoral atau menyalahi undang-undang. Banyak syarikat yang menceburi bidang yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang. Pekerja yang makan gaji dengan syarikat tersebut menerima gaji yang tidak bersih. Gaji ini apabila digunakan membuat dana akan jadi barang dana yang tidak bersih. Kilang membuat senjata perang misalnya hanya boleh maju sekiranya ada peperangan atau pembunuhan beramai-ramai. Operasi kilang ini biarpun ada lesen, tetapi menyalahi Sila kerana menggalakkan pembunuhan. 


Barang bersih bukan bergantung pada harganya mahal atau murah, berkualiti atau tidak berkualiti, banyak atau sedikit, tetapi mesti diperolehi dengan cara yang betul, sumber yang halal, bermoral dan tidak melanggari undang-undang. Sekiranya kita membuat dana dengan barang yang bersih, maka yakinlah bahawa syarat pertama membuat dana telah dipenuhi.


2. Niat Yang Suci atau Ikhlas


Setip kali membuat atau memberi dana, niat kita mesti suci atau ikhlas. Pemberian dana yang betul bertujuan "membaiki minda" iaitu mengikis perasaan tamak haloba, mengurangkan sifat kedekut dan melonggarkan perasaan terlalu sayang akan harta benda sehingga tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kesemua sifat ini merupakan Lobha Kilesa.  Lobha kilesa mesti dikikis keluar dari minda atau hati kita. Inilah tujuan sebenar kita disuruh buat dana. Dalam banyak tujuan membuat dana, tujuan mengikis kilesa sangat disanjung oleh Buddha. 


Selain itu, pemberian dana bertujuan membantu mengurangkan kesengsaraan orang lain di samping menolong golongan yang tidak berupaya agar mereka semua mengecapi kebahagiaan hidup. Pemberitan dana juga merupakan langkah pertama memupuk perasaan kasih sayang dan belas kasihan di hati kita yang dipanggil Brahma Vihara 4 iaitu Metta, Karuna, Mudita dan Upekkha. Jikalau niat kita sebagaimana dijelaskan ini, maka niat membuat dana kita itu dikatakan suci atau ikhlas. 


Akan tetapi niat yang suci atau ikhlas itu akan sempurna sekiranya memenuhi 3 ciri berikut: 


(1) Sebelum memberi dana, hati gembira, riang dan bangga dengan dana yang bakal diberikan; 


(2)Sewaktu memberi dana, hati gembira, riang dan bangga dengan dana yang sedang diberi; 


(3)Selepas memberi dana, seminggu, sebulan, setahun atau setiap kali terkenangkannya, hati gembira, riang dan bangga dengan dana yang telah diberi. 


Membuat dana mesti dengan hati yang ikhlas, gembira dan bangga dengan perbuatan tersebut. Selain itu, mesti disertai hati yang melimpah dengan kasih sayang dan belas kasihan dengan niat untuk membantu orang lain agar bebas daripada kesusahan. 
Dana yang baik mesti dibuat dengan Vipassana Panya (kebijaksanaan) iaitu dengan fikiran sedar bahawa material yang digunakan untuk membuat dana yang dianggap sebagai harta oleh manusia, dihargai dan disayangi dengan kuasa tamak, sebenarnya sekadar elemen dunia; harta dunia yang dimiliki bersama yang wujud sejak kita belum lahir. 


Sama ada kita lahir atau tidak, elemen dunia (harta dunia) tetap wujud. Harta ini pernah dimiliki oleh ratusan generasi. Pemilik asalnya telah meninggal dunia, tetapi tidak mampu membawa bersamanya harta dunia, maka harta tersebut jatuh jadi milik kita; bagi kita pakai dan guna buat sementara waktu. Apabila kita mati, kita juga tidak mampu membawa bersama harta tersebut. Maka harta yang kita anggap milik kita akan jatuh jadi milik orang lain. Pemilikannya silih berganti dari satu generasi ke satu generasi. Selain itu, harta tersebut tidak pernah kekal abadi. Lambat laun akan musnah, reput dan hilang ditelan bumi. Jika begitu keadaannya, kita tidak harus sayang untuk berkongsi harta tersebut sesama manusia yang memerlukannya. 


Apabila niat memberi dana ikhlas dan disertai dengan Vipassan Panya, maka niat membuat dana itu pasti suci. Hasil dana pasti lumayan. Pahala yang diperolehi pun banyak. 


Jumlah barang dana banyak atau sedikit tidak penting, bernilai tinggi atau bernilai rendah tidak mustahak, jikalau kita memberi dengan keupayaan yang kita ada, maknanya kita telah membuat dengan cara yang betul.


Namun terdapat satu perkara yang mesti dijaga iaitu "membuat dana jangan sampai menyusahkan diri sendiri". Misalnya kita ada sedikit tetapi memaksa diri memberi banyak sehingga melebihi keupayaan diri. Contohnya, kita hanya mampu memberi RM50, tetapi apabila terlihat kawan memberi RM100, kita pun ikut. Sedangkan duit tersebut untuk kegunaan keluarga. Jikalau kita memberi melebihi keupayaan diri, kita dan keluarga akan mengalami masalah. Keadaan ini akan menyebabkan penderitaan atau kesusahan. Akibatnya fikiran kita tidak tenteram. Maka niat memberi dana kita menjadi tidak suci atau ikhlas. Walaupun pemberian kita banyak, namun hasilnya sedikit. Pahala yang kita perolehi sedikit. 


Antara contoh membuat dana dengan niat tidak ikhlas:


a). Buat dana kerana mahu mendapat balasan, buat kerana mahu muka, mahu menunjuk-nunjuk, misalnya dana bina sekolah, hospital dan Chedi dengan tulis nama untuk tatapan orang ramai, atau mengambil foto bersama sekolah, hospital atau Chedi, kemudian diterbitkan di akhbar atau majalah agar dipuji dan disanjung masyarakat. Buat dana begini tidak ikhlas kerana niatnya bukan untuk membuat kebajikan, sebaliknya memberi kerana sikap tamak, mahu muka atau mahu nama. 


b). Buat dana dengan tidak sepenuh hati, dengan paksaan atau kerana takut malu. Misalnya terdapat kawan taulan bawa sampul Kathina minta derma kepada kita. Kita tidak ada hati untuk derma, mungkin kerana faktor tertentu, tetapi kerana segan kepada kawan, maka kita pun menderma juga.  Membuat dana begini lazimnya akan diikuti oleh perasaan tidak puas hati atau kesal. Mungkin juga timbul perasaan marah kepada kawan taulan yang membawa sampul  
Kathina kepada kita. Dana begini pahalanya sedikit. Jikalau perasaan tidak puas hati, kesal dan kemarahan berpanjangan, dosa pula yang kita dapat.


c). Membuat dana kerana perasaan tamak (Lobha). Ramai yang membuat dana kerana mahu itu dan ini, mahu jadi itu dan ini. Membuat dana kerna mahu balasan, bukannya membuat untuk mengurangkan perasaan tamak.  Apabila membuat dana, berniat mahu diberi balasan agar selepas mati dilahirkan sebagai dewa dan dewi di syurga; minta dilahirkan dengan wajah yang tampan atau cantik; minda jadi kaya. Buat dana RM10 minda jadi jutawan. Malahan sesetengahnya buat dana minta kena loteri atau nombor ekor. Buat dana dengan perasaan tamak begitu tidak memberi faedah sebagaimana diharapkan, bahkan menambah perasaan tamak di hati. Semakin banyak buat dana, ketamakan semakin menimbun di hati. 


3. Penerima Mesti Baik Dan Bermoral


"Lapang pahala atau sawah pahala" mesti suci atau bersih. Sawah pahala ini merujuk kepada individu atau golongan yang menerima dana. Sawah pahala ini sangat penting. Walaupun barang dana bersih, niat pemberi juga ikhlas, namun penerima bukan orang yang baik atau bukan sawah pahala yang baik, maka hasilnya akan jadi kurang baik. 


Umpama kita menabur benih padi ke sawah, jikalau keadaan sawah tidak sekata, tidak rata atau berpasir, padi yang tumbuh pun tidak sekata. Benih yang ditabur di tempat yang berbaja, cukup air dan berlumpur akan tumbuh subur. Manakala benih yang ditabur di tempat kurang air, tidak ada baja dan tanah berpasir, tumbuhnya tidak subur. Dan benih yang terjatuh di tempat yang tidak berair, kering atau berbatu-batu akan rosak sama sekali. 


Penerima dana akan menentukan hasil pahala yang kita dapat. Jikalau penerima dana orang baik, menerima pemberian kita dengan ikhlas, maka pahala yang kita dapat baik sekali. Jikalau penerima orang yang mempunyai moral tinggi dan Sila terpuji, maka pahala yang kita dapat amat sempurna.


Dalam Tipitaka, Ariya Sangha ialah sawah pahala bagi penganut agama Buddha menaburkan benih pahala. Ariya Sangha mempunyai moral dan Sila yang terpuji. Bhikkhu atau Sangha yang tidak bermoral dan Sila tidak sempurna bukan Ariya Sangha. "Ariya" mesti mempunyai tahap minda yang tinggi, sekurang-kurangnya Sodaban ke atas. Bhikkhu biasa, apatah lagi yang tidak mengamalkan Dhamma vinai dengan betul bukan sawah pahala yang baik. Jika kita menabur benih padi ke sawah yang tidak baik, maka tidak usah kita mengharapkan padi akan tumbuh subur. Mungkin tidak tumbuh sama sekali.


Buat dana kepada orang baik akan memberi hasil yang lumayan. Sebaliknya, buat dana kepada orang tidak baik, atau orang jahat, hasilnya pasti kurang baik. Pahala yang diperolehi sangat sedikit. Orang dahulu berkata "tambun jangan tanya Phra (Bhikkhu)" atau "takbart jangan pilih Phra (Bhikkhu)" nampaknya tidak relevan lagi. 


Bhikkhu dahulu jadi Bhikkhu kerana mahu mencapai Magga, Phala dan Nibbana. Jadi, mereka betul-betul mengamalkan Dhamma vinai. Hasil dana (wang) yang diberikan digunakan ke jalan yang betul.


Manakala Bhikkhu sekarang jadi Bhikkhu hanya ikut adat, ikut kawan-kawan atau sekadar menyenangkan hati ibu bapa. Jadi Bhikkhu 7 hari atau 3 bulan, lepas itu keluar dan kahwin. Dhamma vinai langsung tidak tahu. Ada juga yang jadi Bhikkhu lama, tetapi bukan Magga, Phala dan Nibbana yang dituju, tetapi harta benda dunia yang dikumpul. Hasil dana digunakan ke jalan yang salah. 


Bhikkhu begini bukan sawah pahala.  Atau kalau mahu dianggap sebagai sawah pahala pun boleh, tetapi sawah pahala jenis kering kontang, tanah merekah lagi berbatu-batu. Jika ditaburkan benih padi, benih tersebut tidak akan tumbuh.


Banpacha (buard Phra), Pali Pabbajja yang sebenar ialah bagi meninggalkan Lobha (tamak), Dosa (marah) dan Moha (sesat/keliru). Bhikkhu yang berusaha meninggalkan ketiga-tiga Kilesa ini dikatakan sedang berusaha mencapai Magga, Phala dan Nibbana. Walaupun belum mencapai Ariya (Sodaban ke atas), mereka boleh dikategori sebagai sawah pahala yang baik. namun, pada hari ini, sawah pahala yang baik sangat sukar dicari. Dan terpulang kepada daya usaha kita dan bun barami yang pernah kita kumpulkan. 


Satu perkara yang perlu diketahui ialah sawah pahala tidak semestinya Bhikkhu atau Sangha. Orang-orang biasa yang baik pun boleh dianggap sebagai sawah pahala. Para hartawan beragama Buddha pada zaman Buddha dahulu digalakkan membuka dewan makan di tempat terbuka untuk memberi makan kepada masyarakat umum dan fakir miskin.  Bagi Buddha, memberi bantuan atau makanan kepada haiwan pun mendapat pahala, apatah lagi kepada manusia. Namun, mesti manusia baik. Manusia jahat hanya dosa yang kita dapat.


Orang-orang Siam sepatutnya membuka minda, meluaskan hati supaya membuat dana tidak terhad kepada Sangha dan wat semata-mata. Orang miskin, golongan kurang upaya, golongan ditimpa bencana dan masyarakat umum yang memerlukan bantuan atau pertolongan mesti diberikan dana juga. 


Mengikut Buddha, memberi material tidak sebaik memberi Dhamma. Memberi Dhamma tidak semulia memberi kemaafan. Memberi kemaafan bererti memaafkan segala kesilapan atau kesalahan seseorang terhadap kita, tidak menyimpan marah dan tidak berdendam. Kita akan rasa tenteram dan bahagia. Dia juga akan tenteram dan bahagia. Setiap perbuatan jahat ada balasan Karma. Jadi, biarlah Karma yang menguruskan perbuatan seseorang. Kita tidak perlu mencampuri urusan Karma. Urusan kita ialah memberi kemaafan, melupan kemarahan dan dendam. 


Buat dana atau kebajikan yang baik mesti sempurna dalam 3 keadaan iaitu barang dana yang bersih, niat yang suci atau ikhlas dan penerima yang baik atau bermoral. Biar sedikit, tetapi barangnya bersih, niatnya ikhlas dan penerimanya orang baik, hasilnya pasti lumayan. 












5 comments:

Anonymous said...

Tuan pena sekarang susah hendak membuat Dana.Pergi Dana kepada wat,komiti makan.Dana kepada phra nati duduk jadi sami tidak lama,pasal dah kaya.Derma kepada persatuan pun sama juga makan juga.
Derma kepada anak yaitm pun sama juga..tunjukkan hendak derma kepada siapa?

pena reformasi said...

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tepuk dada, tanya selera. Pintu untuk membuat kebaikan tidak pernah ditutup. Peluang membuat kebajikan sentiasa ada.

Anonymous said...

Jika kita betul-betul hendak membuat 'dana' atau menderma, soal ke mana wang kita pergi, itu soal ke dua. Yang penting apabila kita memberi dgn ikhlas dan niat suci, sebenarnya itu sudah mencukupi krn mengambarkan kesucian dan kemurnian hati kita. Hati kita telah 'sastha'. Mereka yg mengambil kesempatan atau boleh juga disebut sbg 'mencuri' wg daripada 'sastha' kita itu sepatutnya berdosa. Satu lagi kaedah utk kita menderma ialah dgn cara membelikan peralatan spt cat, kayu, cimen dll utk pembinaan di sesuatu wat atau sbgnya. Saya rasa mungkin agak sukar sikit kot orang tertentu itu hendak membawa tin cat atau kayu kita menjual di kedai bagi menukarkannya kpd wang. Seterusnya, bagi sami, saudara/saudari tidak perlu pertikaikan samada mrk akan lama atau sebentar dlm 'prak', kalau anda betul-betul ikhlas hendak menderma, buat sajalah niat suci itu, anda tetap mendapat pahala. Ini krn tidak semua orang yg sanggup menjadi 'prak' dan mengamalkan 'vinai song' walaupun sehari. Yang ramai ialah mrk yg melakukan dosa berkali-kali dlm sehari tetapi sembayang sekali sehari pun payah, apalagi nak jadi sami dan hidup dlm dunia sekarang semuanya kena beli. Misalnya, sabun, ubat gigi, syampoo,tambang bas, ubat penadol dll keperluan semasa. Memang benar ada orang 'thambun' barang itu kepada sami, tetapi bukan hari-hari sedangkan kita perlu berus gigi setiap hari. Inilah masalah besar kenapa wat kita yg semakin kurang 'prak' sehingga terpaksa cari 'prak' daripada Thailand utk tinggal dlm wat kita, sekarang ramai remaja kita lebih berminat mencari kerja makan gaji. 'Prak' juga manusia spt kita, adaptasi cara hidup lama dlm dunia moden, sudah semestinya mrk juga memerlukan sikit kemudahan asas utk kelangsungan hidup. Kita sama-samalah renungkan perkara ini dlm masyarakat kita. Pernahkah anda melihat orang kita yg meminum minuman keras 2/3 kali sehari sampai muntah atau duduk hingga pukul 11/12 mlm atau mereka yg berkumpul atas wakaf menggupat jiran berjam-jam, macam-macam fitnah dan cerita ditokak tambah hingga merosakkan nama baik orang lain, bangsa sendiri, dapat pahalakah mereka?

Anonymous said...

sattha kpd sami tak baik sattha bodoh. Kenapa org siam makin ramai sattha kpd phra dhammakai kerana phra mereka lebih baik drp sami kita di kampung atau di bandar. Terima kasih KSB kerana memberi posting yang baik.Sathuk!sathuk! Sathuk!

Anonymous said...

Bukan sami wat dhammakai baik,malah teruk dari prak kampung kita. Sami wat dhammakai pandai jaga image saja.Tutup yang tak baik,show yang molek2.Jadi,puak kampung kita kurang tahu soal agama memang suka,dan derma beribu-ribu. Dengar kata mereka yang pandai cari orang ramai pergi wat dhammakai akan dapat komisen lagi..