Wednesday, August 31, 2011

Kemerdekaan Mental Dan Fizikal!

KSB mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54 kepada semua rakyat Malaysia, khususnya penganut agama Buddha yang sentiasa memberi sokongan kepada KSB.


Kemerdekaan memberi erti yang sangat besar kepada sesebuah negara yang pernah dijajah, khususnya negara kita yang dijajah ratusan tahun oleh British. Sebelum British, kita dijajah Jepun, Belanda dan Portugis (Kesultanan Melaka). 


Buddha berpesan kepada Sangha supaya tidak mencampuri hal ehwal negara dan pentadbiran kerajaan kerana itu bukan urusan Sangha. Namun begitu ini tidak bermakna bahawa Sangha tidak boleh mengambil bahagian dalam hal ehwal pembangunan negara langsung. Sebenarnya Sangha mempunyai peranaan yang besar dalam membina negara bangsa. Sangha berperanan mendidik rakyat agar menjadi warganegara yang baik. Warganegara yang baik ialah pemangkin kepada pembangunan negara bangsa yang selamat, tenteram dan harmoni.


Sangha yang merupakan guru spiritual harus memainkan peranan memberi Dhamma yang betul dan sesuai kepada rakyat (kaum Buddhis). Rakyat harus diberitahu akan tanggungjawab dan peranan mereka sebagai warganegara. Setiap orang mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing. Pembangunan negara bangsa tidak terletak di bahu pemimpin dan orang politik semata-mata, tetapi terletak di bahu semua rakyatnya.


Pada zaman Buddha dahulu bukan sekadar rakyat biasa, bahkan Raja dan pembesar negara sering datang mengadap Baginda bagi mendapatkan nasihat. Nasihat-nasihat tersebut mencakupi pelbagai perkara, contohnya bagaimana mahu membangunkan negara bangsa yang kukuh, maju dan disegani negara jiran; bagaimana mahu menjadi Raja yang baik, adil dan disayangi rakyat; apakah tanggunajawab pembesar negara dan ciri-ciri pembesar yang baik dan dihormati rakyat; dan sebagainya. 


Sewaktu askar mahu pergi menangkap Anggulimala, penjahat seribu jari yang ditakuti, pembesar negara menghadap Buddha terlebih dahulu. Padahal ketika itu Anggulimala sudah jadi Bhikkhu. 


Malahan terdapat Raja yang menghantar wakil minta nasihat daripada Buddha kerana Baginda mahu menyerang negara jiran. 


Sultan, menteri atau pemimpin atasan di negara kita mungkin tidak memerlukan nasihat Sangha. Namun, ini tidak bermakna Sanga tidak boleh memainkan peranan membangunkan negara bangsa. Masih banyak lagi pemimpin lain, misalnya pemimpin persatuan Siam atau Ketua Kampung yang boleh dibangunkan jiwanya agar menjadi warganera yang bertanggungjawab, amanah, integriti, tekun dan rajin. Pemimpin dan rakyat harus bergerak selari. 


Dalam Kitab Tipitaka terdapat banyak Dhamma berkaitan pembangunan negara bangsa, peranan pemimpin dan rakyat bawahan. Bermula daripada pembangunan individu, institusi keluarga, masyarakat dan negara. Adalah menjadi tanggungjawab Sangha membawa keluar ajaran tersebut daripada Kitab Tipitaka untuk diterapkan ke dalam jiwa pemimpin dan masyarakat. 


Sempena Hari Kemerdekaan, kita selaku rakyat jelata harus menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan daripada British telah kita capai pada tanggal 31 Ogos1957. Namun, bagi Buddha penjajahan sebenar ke atas manusia ialah Vatta Samsara, iaitu kitaran kesengsaraan yang berterusan. Selagi rantai Vatta Samsara tidak diputuskan, selagi itulah kita dijajah, dikongkong dan dipenjara dalam sebuah kesengsaraan yang tiada penghujungnya. Keinginan, nafsu, dan kemelekatan antara punca manusia dijajah. 


Kemerdekaan harus mencakupi mental dan fizikal. Kemerdekaan fizikal telah kita capai. Akan tetapi selagi spiritual kita masih dijajah, kita belum boleh menganggap diri kita telah mencapai kemerdekaan sepenuhnya. 









2 comments:

Anonymous said...

Kemerdekaan Malaysia menjadikan kita semua terlepas dari tangan penjajah Barat.Kita sebagai rakyat Malaysia bersama doakan keamanan yang kita kecapi berpanjangan.
Setakat ini Malaysia tidak menghadapi kucau-kacir yang bahaya.Oleh yang demikian ,masyarakat siam malaysia harus bersyukur dengan kemakmuran dan keamanan yang ada sekarang.Merdeka.Merdeka Merdeka.

pena reformasi said...

Pelaksanaan sistem yang betul menjamin keamanan berterusan. Kita patut berbangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.