Sunday, August 7, 2011

Kenapa Larang Bunuh Binatang, Tetapi Tidak Larang Makan Daging?

Soalan mengapa Buddha larang bunuh binatang tetapi tidak larang makan daging tidak pernah ada jawapan yang mampu memuaskan semua pihak. Pihak yang saya maksudkan ialah golongan yang makan daging dengan golongan yang tidak makan daging. Golongan yang tidak makan daging sering menggunakan isu ini untuk "menyerang" golongan yang makan daging. Tujuan mereka agar semua penganut agama Buddha tidak makan daging. Golongan ini bukan sahaja tidak makan daging, malahan sakit hati melihat rakan seagama mereka makan daging.


Sewaktu jadi Bhikkhu dahulu, saya pernah diajukan soalan yang sama oleh penganut Mahayana, cuma cara pertanyaannya lain sikit. Dia dengan hairan bertanya: "Kenapa Bhikkhu Siam makan daging? Adakah mereka tidak mahu pergi syurga?" 


Saya terdiam sejenak. Apakah kaitan makan daging dengan syurga? Kemudian saya menjawab: "Theravada tidak larang makan daging, sebab itulah Bhikkhu Siam makan daging, tapi bukan semua, ada yang tidak makan daging ... makan sayur seperti Biksu Mahayana!"


Dia cuma mengangguk perlahan. Saya rasa dia tidak puas hati dengan jawapan saya. Apa boleh buat. Hanya itu yang boleh saya perkatakan. Lagipun dia tidak berminat mahu mendengar selanjutnya.


Pada hari Wesak yang lalu, saya diajukan soalan yang sama, tetapi kali ini oleh Bhikkhu Siam, kenalan saya. Beliau berkata perkara ini sering ditanya oleh murid-muridnya yang berketurunan Cina. Saya terangkan sekadar yang saya tahu.


 Buddha larang bunuh binatang, tetapi tidak larang makan daging. Ini kerana "bunuh binatang" dan "makan daging" mempunyai sebab akibat yang tidak sama. Membunuh binatang melibatkan kilesa. Maksudnya orang yang membunuh binatang ialah orang yang minda/hatinya diselubungi salah satu daripada 3 kilesa yang besar,  iaitu Lobha (tamak), Dosa (Marah) dan Moha (sesat). Sekiranya minda/hati seseorang bebas daripada 3 kilesa utama ini, orang tersebut tidak akan membunuh. Dia tidak berupaya membunuh. 


Dia hanya akan membunuh jikalau minda/hatinya diselubungi 3 kilesa ini. Dia mesti diselubungi Lobha, Dosa atau Moha baru boleh membunuh. Setiap kali dia hendak membunuh, minda/hatinya akan menjadi tidak normal. Minda/hati tidak normal kerana diselubungi Lobha, Dosa dan Moha. Keadaan minda/hati yang diselubungi Lobha, Dosa dan Moha ini mengikut Buddha, ialah keadaan minda yang berada pada tahap rendah. Sedangkan Buddhadhamma diajar bagi mengangkat tahap minda.


Menyembelih untuk dimakan atau dijual daging (Lobha). Menyembelih untuk mematikannya (Dosa). Menyembelih/membunuh kerana suka-suka atau hobi (Moha).


Apabila binatang disembelih, maka binatang tersebut juga ikut menanggung ketakutan, kesakitan dan seksaan. Di sini Karma akan berfungsi. Dosa akan terjadi. Orang yang membunuh berdosa. Binatang yang dibunuh pun berdosa kerana menanggung penderitaan. Oleh sebab itulah, Buddha larang membunuh binatang. 


Manakala makan daging keadaan seperti di atas tidak berlaku. Minda/hati tidak perlu ada Lobha, Dosa dan Moha untuk makan. Orang boleh makan daging walaupun minda/hati tidak diselubungi 3 kilesa utama. Keadaan minda orang yang makan daging tidak jatuh ke tahap rendah. Bagi bhikkhu, mereka akan membicarakan "tujuan makan" terlebih dahulu sebelum makan bagi mengelakkan minda jadi Lobha. (Makan bagi melangsungkan kehidupan, bukan untuk sedap). 


Dalam Tipitaka ada dikisahkan bahawa Buddha dan Arahant minum susu cair, susu pekat, madu, air tebu, susu segar dan susu masam dan makan ikan, daging dan minyak


Daging sesuatu yang tidak bernyawa. Daging yang siap dipotong ada dijual di pasar. Daging tersebut tidak ada ciri-ciri yang boleh mengundang Karma. Oleh sebab itulah, Buddha tidak larang makan daging. 


Dalam agama Buddha, Karma (dosa/pahala) bergantung pada niat. Perbuatan yang disengajakan dengan niat jahat akan mendapat dosa. Niat membunuh (menyembelih) dengan niat makan daging tidak sama. Membunuh binatang mesti ada niat mahu "mematikan" binatang tersebut. Sedangkan makan daging tidak ada niat sebegitu. 


Namun, jika niat yang tidak betul, makan dengan penuh nafsu, akan menyebabkan timbulnya Lobha. Jadi, harus berhati-hati. Bukan setakat daging, makan semua jenis makanan harus dalam kawalan.


Beginilah jawapan yang saya mampu berikan. Namun, saya yakin tidak mungkin mampu memuaskan semua golongan. Orang yang di hatinya tertanam ditthi bahawa makan daging berdosa, penjelasan apa pun tidak akan diterimanya. Bagi orang yang makan daging, mereka boleh yakin bahawa makan daging tidak berdosa dan tiada kaitan dengan syurga atau Magga, Phala, Nibbana.










3 comments:

Anonymous said...

Tuan Pena, terima kasih kerana beri penjelasan yang masuk akal.

Anonymous said...

Saya keliru juga kenapa sami Theravada boleh makan daging, tapi sami Mahayana tidak boleh.

pena reformasi said...

Mahayana tidak makan daging. Kisahnya begini. Sewaktu agama Buddha masuk ke negara China, sambutan masyarakat di sana agak dingin. Mereka tidak mahu beri makanan kepada Biksu Buddha yang mereka panggil si botak yang malas. Mahu tidak mahu, Biksu Buddha terpaksa sediakan makanan sendiri. Mahu pelihara binatang, siapa mahu sembelih. Maka mereka bercucuk tanam; tanam ubi, sayur dll. Dari situlah Biksu Mahayana makan sayur dan tidak makan daging. Inilah salah satu sebabnya.