Thursday, August 11, 2011

Lapangkan Minda Daripada Nivarana 5

Mungkin kita pernah dengar istilah "minda lapang". Minda lapang tidak ada. Minda tidak akan lapang. Mungkin kita juga sering mendengar orang berkata "melapangkan fikiran" yang bermaksud merehatkan fikiran. Fikiran sebenarnya tidak lapang, cuma berehat seketika. Begitu juga dengan minda yang tidak akan lapang. 


Minda tidak akan lapang kerana minda berada dalam 3 keadaan iaitu; 1) melekat pada kebaikan, 2) melekat pada kejahatan dan 3) minda tidak melekat pada kebaikan atau kejahatan; keadaan inilah yang dikatakan "minda lapang" kerana minda mempunyai arom Nibbana. Istilah "lapang" di sini ialah lapang daripada kilesa. Kebaikan juga kilesa. Hanya arom Nibbana yang bukan kilesa. 


Minda yang sebenar tidak pernah "lapang". Jikalau lapang pun, cuma lapang daripada kilesa; lapang daripada kebaikan atau kejahatan. 


Minda melekat pada kebaikan lebih baik daripada melekat pada kejahatan. Oleh itu, kita seharusnya berusaha agar minda lapang daripada 5 akusala yang dipanggil Nivarana 5 (Nivorn 5). Nivarana 5 ini dikatakan akusala kerana ia menjadi penghalang minda daripada membuat kebaikan, menutup kebijaksanaan daripada melihat kebenaran. Dalam meditasi, ia menjadi penghalang kepada ketenangan. Minda kita tidak akan tenang jikalau dikacau oleh Nivarana 5. Dalam kehidupan, Nivarana 5 akan menjadi penghalang kepada kejayaan. Nivarana 5 yang dimaksudkan ialah:


1. Kamachanda


Perasaan suka, minat, gemar, seronok dan ketagih  pada kecantikan (lihat), kelunakan(dengar), keharuman(hidu), keenakan(rasa), dan kenikmatan(sentuh). Cinta, kasih 
dan sayang yang salah cara dan keterlaluan boleh menimbulkan masalah. Banyak masalah kehidupan manusia muncul daripada ketagihan panca indera. Masalah perhubungan bebas antara jantina, ketagihan dadah, rasuah dan sebagainya berpunca dari sini. 

2. Vyapada (Payabart)


Perasaan tidak puas hati, dengki, marah, dan dendam. Perasaan ini jikalau tidak dibanteras bakal mengundang musibah yang besar. Bunuh dan perang bermula di sini.




3. Thinna middha


Thina ialah perasaan lemah semangat dan  putus asa. Manakala Middha ialah mengantuk. Thina dan middha mempunyai keadaan yang hampir sama, tetapi berpunca daripada perkara yang berbeza. Thinna berpunca daripada sejenis kilesa yang mempengaruhi minda sehingga wujud perasaan lemah semangat atau putus asa untuk meneruskan sesuatu pekerjaan. Manakala Middha berpunca daripada keletihan, kepenatan tubuh, tidur tidak cukup, cuaca yang melampau, makan terlalu banyak dan sebagainya. Middha bukan kilesa. Arahant adakalanya masih ada Middha. Thina middha musuh kepada kegigihan. 


4. Uddhaccha Kukkucca  


Uddhaccha ialah keadaan minda yang tidak fokus, tidak ada tumpuan. Manakala Kukkuccha ialah perasaan gusar, tidak puas hati atau membosankan. Uddhaccha ialah keadaan minda yang tidak berupaya berpaut pada sesuatu objek (perasaan) dalam masa lama; oleh itu sentiasa beralih daripada satu objek kepada satu objek.  Manakala Kukkuccha lahir daripada perasaan resah gelisah atau perasaan tidak senang hati akibat kejahatan lampau yang sentiasa mengganggu minda. Keadaan ini timbul daripada perasaan kesal. Kesal kerana membuat kejahatan yang tidak patut dibuat dan tidak membuat kebaikan yang sepatutnya dibuat. Uddhaccha Kukkucca menyukarkan seseorang fokus kepada kerjaya atau pekerjaan yang sedang diusahakan. 


5. Vicikiccha 


Ragu-ragu, was-was, tidak tetap hati dan tidak yakin. Keadaan ini menyebabkan minda keliru mana yang betul, mana yang salah; mana yang patut dan mana yang tidak patut. Keraguan ini menyukarkan minda membuat keputusan. Malahan membuat kebaikan pun seseorang sering dilanda keraguan kerana tidak pasti kebaikan yang bagaimana patut dibuat. 


Lazimnya hanya Uddhaccha yang boleh wujud secara sendirian. Manakala yang lain apabila wujud akan wujud bersama Uddhaccha. 


Nivarana 5 merupakan penghalang kepada Samadhi (ketenangan minda). Jikalau mana-mana satu Nivarana wujud, minda tidak mungkin boleh mencari ketenangan. Apabila minda tidak tenang, bukan setakat Samadhi gagal, kehidupan juga sukar mengecapi kejayaan. 


Namun, Nivarana 5 tidak menjadi penghalang kepada Vipassana.  Bahkan Nivarana 5 memberi faedah kepada Vipassana kerana Vipassana merupakan proses mengenali kesemulajadian segala benda. Tidak kira apa yang berlaku, semuanya memberi faedah kepada Vipassana. Nivarana 5 merupakan kesemulajadian minda yang harus dikenali kerana ia juga tertakluk kepada hukum Anicca, Dukkha dan Anatta. 


Untuk menjamin kejayaan dalam kerjaya mahupun kehidupan, berusahalah melapangkan minda daripada Nivarana 5. 




No comments: