Sunday, August 14, 2011

Pergerakan Agama Buddha untuk Masyarakat: Apakah Peranan Bhikkhu Kita?

Agama Buddha untuk Masyarakat (พระพุทธศาสนาเพื่อสังคม / Socially Engaged Buddhism) merupakan nama yang digunakan untuk memanggil pergerakan agama Buddha bentuk baru. Pergerakan ini lahir bagi menangani masalah masyarakat moden. Agama Buddha dengan masyarakat tidak harus dipisahkan, sebaliknya harus bersatu. Kedua-duanya mesti bergerak selari. Buddadhamma  bukan sekadar merangkumi kegenap sudut kehidupan, bahkan merangkumi kesemua masalah yang wujud dalam masyarakat moden hari ini. 


Pembelajaran agama Buddha mengikut kaedah tradisi yang terlalu menumpukan masalah individu tidak memadai lagi bagi menangani dan menyelesaikan masalah masyarakat yang semakin kompleks dan rumit. Penyelesaian masalah individu dan masyarakat mesti berjalan serentak. 


Dalam konteks lain, Agama Buddha untuk Masyarakat merujuk kepada pergerakan atau kumpulan aktivis penganut agama Buddha untuk masyarakat (Engaged Buddhists) yang berusaha agar  agama Buddha mempunyai peranan yang jelas dalam penyelesaian masalah masyarakat. Contohnya, masalah ketidakadilan dalam masyarakat, masalah alam sekitar, masalah penggunaan kekerasan, masalah ekonomi dan masalah politik. 


Pergerakan Agama Buddha untuk Masyarakat yang ternama di luar negara (kebanyakannya di negara yang menghadapi masalah peperangan, perebutan kuasa politik dan bekas tanah jajahan kuasa besar) misalnya, di India, Sri Lanka dan Vietnam mempunyai peranan yang aktif dalam menyelesaikan masalah masyarakat. 


(1) Pergerakan Agama Buddha untuk Masyarakat di India yang diketuai B.R. Ambedkar. Pergerakan ini berjuang membebaskan masyarakat India daripada sistem kasta dengan mengajak masyarakat kasta bawahan menganut agama Buddha yang meletakkan semua manusia setaraf - tanpa kasta dan  deskriminasi warna kulit. 


(2) Pergerakan Agama Buddha untuk Masyarakat di Vietnam yang dipimpin oleh Biksu aliran Zen bernama Thich Nhat Hanh. Beliau memperjuangkan nasib pelarian perang Vietnam. Beliau merupakan pelopor Pergerakan Agama Buddha untuk Masyarakat yang ada pada hari ini. Sumbangan buah fikiran beliau yang hebat ialah memberi tafsiran baru terhadap Sila 5 agar merangkumi seluruh kehidupan manusia dan masalah-masalah global yang semakin kompleks.


(3) Pergerakan Sarvodaya pimpinan Ariyaratne di Sri Lanka yang berusaha membudayakan ajaran Buddha dalam masyarakat. 


(4) Pergerakan Agama Buddha untuk Masyarakat di Tibet pimpinan Dalai Lama yang berjuang untuk pembebasan Tibet. Perjuangan ini berasaskan Ahimsa (non-violence). Beliau merupakan pelopor pemikiran "tanggungjawab sejagat" (universal responsibility) berasaskan minda yang mengutamakan kebahagiaan orang lain.


Thailand tidak mempunyai masalah perang saudara dan penjajahan seperti negara yang disebutkan di atas. Namun, masalah politik dalaman dan sistem kapitalis selepas Perang Dunia Ke-2 telah melahirkan banyak masalah masyarakat.  Masalah alam sekitar, masalah kemiskinan, masalah kejatuhan moral dan keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat telah menyedarkan sekumpulan penganut agama Buddha. Mereka berpendapat bahawa masalah ini timbul kerana dasar pembangunan masyarakat yang terlalu fokus kepada bidang ekonomi sehingga mengabaikan bidang rohani, termasuk pendidikan agama Buddha, moral dan budaya. Sejak kerajaan memisahkan sistem pendidikan masyarakat dari wat pada zaman Kerajaan Chulalongkorn, peranan institusi agama dalam menentukan hala tuju masyarakat terhenti sama sekali. 


Kumpulan reformasi mencadangkan agar agama Buddha diberi nafas baru supaya dapat memainkan peranan secara langsung dalam pembangunan dan penyelesaian masalah masyarakat. Masalah masyarakat moden pada hari ini, kata mereka tidak mungkin dapat diselesaikan tanpa peranan agama. Mereka yang diamaksudkan antaranya ialah Buddhadasa Bhikkhu,  Phra Dhammapitaka (P.A Payutto), Phra Paisan Visalo, Profesor Emeritus Prawes Wasi, Sulak Sivaraksa (penerima hadiah Niwano Peace Prize 2011). 


Rangkaian Penganut Agama Buddha untuk Masyarakat Antarabangsa (International Network of Engaged Buddhists - INEB) yang ditubuhkan dan dipimpin oleh Sulak Sivaraksa pada 1987 merupakan pergerakan agama Buddha yang cuba melakukan pembaharuan ajaran Buddha agar dapat disesuaikan dengan masalah dunia moden hari ini. 


Rangkaian ini dinaungi oleh beberapa individu penting agama Buddha, antaranya ialah Buddhadasa Bhikkhu, Dalai Lama, Somdej Phra Maha Ghosananda (Kemboja) dan  Thich Nhat Hanh. Keanggotaannya terdiri daripada lebih 500 intelektual dari lebih 40 negara di dunia. INEB berusaha menyuburkan pemikiran Buddhism yang berasaskan Sati, Panya dan Karuna di samping memberi tafsiran baru terhadap Sila 5 supaya dapat memberi jawapan kepada masalah dunia yang semakin kompleks dan rumit. 


Sila 5 yang diamalkan secara tradisi tidak mampu menyelesaikan masalah moden kerana ruang tafsirannya sempit, sedangkan masalah dunia moden terlalu luas. Selain itu, INEB memajukan konsep Ariya Vinaya yang dicetuskan oleh Phra Dhammapitaka (P.A. Payutto). Konsep Ariya Vinaya dan tafsiran baru terhadap Sila 5 mampu memberi nafas baru kepada agama Buddha dalam usaha mengglobalisasikan peranannya. 


Bagaimana dengan agama Buddha Siam di Malaysia? Apakah peranan bhikkhu-bhikkhu Siam di Kedah, Kelantan, Perak atau Perlis dalam usaha menyelesaikan masalah masyarakat? Masyarakat setempat dan global? Kita mempunyai beberapa nama yang kedengaran gah, tetapi peranannya kurang jelas. Sudah tiba masanya bhikkhu kita keluar dari tempurung untuk melihat peranan agama Buddha di dunia luar dalam penyelesaian masalah sejagat. Kita tidak boleh berbangga sekadar menjadi jaguh kampung. Bhikkhu kita harus maju jauh ke depan.


Orang luar, misalnya sedang memberi nafas baru kepada Sila 5, kita masih bertekak tentang bolehkah rapsin tanpa sami?  Orang luar sedang berusaha bagaimana Sila 5 mampu menyelesaikan masalah nuklear,  pelepasan bahan kimia, diskriminasi warna kulit dan penderaan mental, tetapi kita masih teraba-raba mencari erti Sila 5 dalam konsep lama yang diasaskan di India ribuan tahun dahulu. Maka tidak hairanlah kiranya kita sering terdengar orang bertanya "bunuh ikan untuk makan berdosa atau tidak?"


Kesimpulannya, pergerakan agama Buddha untuk masyarakat bakal memberi dimensi baru terhadap Buddhadhamma kerana sambutan daripada masyarakat dunia sangat menggalakkan. Harap-harap kita di sini tidak tidur memanjang, sebaliknya bangun dan berjuang bersama-sama mereka demi masyarakat.
........................................................................................................................................... 


 George D. Bond,  “A.T. Ariyatne and the Sarvodaya Shramadana Movement,”  Engaged Budddhism: Buddhist Liberation Movements in Asia, ed. By Christopher S. Queen (New York: State University of New York Press, 1996)

Damien Keown, A Dictionary of  Buddhism (New York: Oxford University Press, 2003),

2 comments:

Anonymous said...

Tuan Pena yang dihormati,

Terima kasih diatas article diatas.
Betapa bahagianya membaca Dhamma tulisan Tuan Pena di bulan Phansa ini.
Sukar dicari orang Siam Malaysia yg gigih menyebarkan agama Budha kepada pembaca yg jahil seperti saya.

Terima kasih
Daripada: Phai Chit Chindamanie.

pena reformasi said...

Kegigihan saya kerana sokongan pembaca semua. Tanpa pembaca, tulisan saya tak ada sebarang makna.