Thursday, August 18, 2011

Phraya Yom Dan Devaduta!

Phraya Yom atau Phraya Yomaraj akan menyoal semua orang yang mati. Tiada seorang pun yang terlepas daripada soalan beliau, kecuali 2 golongan. 


Orang yang tidak akan disoal oleh Phraya Yom selepas mati ialah:


1. Orang yang buat dosa sahaja kerana orang tersebut, contohnya Phra Devatas yang mencederakan Buddha, akan masuk neraka terus tanpa perlu disoal oleh sesiapa. 


2. Orang yang banyak buat pahala kerana selepas mati orang tersebut tidak akan masuk neraka kerana akan terus ke syurga.


3. Bagi orang yang buat dosa dan buat pahala bercampur-campur, selepas mati mungkin berlaku kesilapan lalu masuk neraka. Orang tersebut akan disoal oleh Phraya Yom di neraka agar dia boleh mengingati kebaikan yang pernah dilakukan sewaktu di dunia. Ini merupakan pertolongan yang diberi oleh Phrya Yom. Pertolongan atau peluang ini diberikan untuk dia membela diri. Jikalau dia mampu mengingati kebaikan atau pahala yang pernah dilakukan, dia akan dikeluarkan dari neraka, kemudian dilahirkan semula di syurga. Namun, sekiranya orang tersebut tidak mampu mengingati kebaikan yang pernah dibuatnya, Phraya Yom akan menyerahkan kepada Nai Nirayabal, petugas neraka menguruskannya.


Buddha ada menceritakan perihal Phraya Yom dalam kitab Tipitaka (Duta Sutta).

(พระสุตตันตปิฎก เล่มที่ ๑๒
อังคุตตรนิกาย เอก-ทุก-ติกนิบาต
ทูตสูตร)



"O, Bhikkhu! Devaduta (Devadut) ada 3 kumpulan. Sesetengah orang di dunia ini membuat kejahatan melalui tubuh, membuat kejahatan melalui percakapan, membuat kejahatan melalui hati, apabila mati akan masuk neraka. Dia akan ditarik lengan oleh Nai Nirayabal (petugas neraka) untuk dibawa menghadap Phraya Yom." 


Petugas neraka berkata kepada Phraya Yom: "Ampun Tuanku, lelaki ini merupakan orang yang tak bantu ibu bapa, tak bantu Samana (Bhikkhu), tak bantu Brahmana, tak hormati orang tua dalam keluarga. Minta Tuanku jatuh hukuman ke atas orang ini!" 


Orang tersebut kemudian disoal oleh Phraya Yom tentang Devaduta yang pertama.
 

"Lihat, bapa, pernahkah bapa jumpa dengan Devaduta yang pertama yang wujud dalam masyarakat manusia di dunia?" 


Phraya Yom menggunakan ganti diri "bapa" kepada "tertuduh" yang menunjukkan betapa mulianya hati Phraya Yom, betapa sopannya percakapan penjaga neraka itu. Beliau ibarat seorang Raja dan Hakim yang bijaksana lagi adil. 


Lelaki itu berkata: "Tak pernah jumpa, Tuanku!" 


Phraya Yom pun bertanya lagi. "Lihat, bapa, wanita atau lelaki yang berusia 90 tahun atau 100 tahun, merupakan orang tua, mempunyai rusuk yang bengkok, berpegang tongkat, berjalan terbongkok-bongkok. Orang ini telah melewati usia muda; gigi patah, rambut beruban, kepala botak, kulit berkedut. Bapa pernah jumpa orang begini dalam masyarakat manusia?" 


Lelaki itu menjawab, "Pernah jumpa, Tuanku!" 


Phraya Yom bertanya lagi. "Lihat, bapa! Bapa bukan budak-budak, tapi orang dewasa yang tahu bezakan baik dan jahat, tapi tak pernah berfikir bahawa kita pun akan tua, tak akan lepas daripada tua, oleh itu kita mesti buat kebaikan melalui tubuh, mulut dan hati?" 


Lelaki itu menjawab:"Tak pernah fikir begitu, Tuanku, kerana asyik tak endah kepada kebaikan!"

Phraya Yom berbicara dengan orang tersebut. "Lihat, bapa! Bapa tak buat kebaikan melalui tubuh, mulut dan hati kerana tak endah dengan kebaikan. Baik sekali, bapa. Bapa akan diperlakukan setimpal dengan sikap tak endah itu. Karma jahat itu bukan dilakukan oleh ibu, bukan dilakukan oleh ayah, bukan dilakukan oleh abang, kakak, adik, saudara mara, Devata, Samana, Brahmana, tapi bapa yang lakukan sendiri. Oleh itu, bapalah yang akan terima balasan Karma jahat itu!"

"O, Bhikkhu! Setelah disoal berkenaan Devaduta yang pertama, Phraya Yom akan soal pula tentang Devaduta yang kedua." 



Phraya Yom bertanya: "Lihat, bapa! Bapa tak pernah jumpa dengan Devaduta yang kedua yang wujud dalam masyarakat manusia?" 


Lelaki itu berkata: "Tidak pernah jumpa, Tuanku!" 


Phraya Yom menyoal seterusnya: "Lihat, bapa! Wanita atau lelaki yang uzur, menanggung derita yang kuat, terbaring di atas najis sendiri, apabila hendak bangun, orang lain mesti bantu, orang lain tolong suapkan makanan. Bapa pernah jumpa dengan orang uzur begini dalam masyarakat dunia?" 


Lelaki itu berkata: "Pernah jumpa, Tuanku!" 


Phraya Yom bertanya lagi: "Lihat, bapa! Bapa bukan budak-budak, tapi orang dewasa yang tahu bezakan baik dan jahat, tapi tak pernahkah berfikir bahawa kita pun akan uzur, ini perkara biasa, kita tak akan melepasi keuzuran. Oleh itu, kita patut berbuat kebaikan melalui tubuh, mulut dan hati?"


Lelaki itu menjawab: "Tak mungkin akan berfikir begitu kerana asyik tak endah kepada kebaikan!"


Phraya Yom berkata lagi: "Lihat, Bapa! Bapa tak buat kebaikan melalui tubuh, mulut dan hati kerana asyik tak endah kepada kebaikan.  Karma jahat ini bukan dilakukan oleh ibu, bapa, abang, kakak, adik, saudara mara, Devata, Samana, Brahmana, tapi bapa yang lakukan sendiri. Oleh itu, bapalah yang bakal menanggung balasan Karma jahat!" 


"O. Bhikkhu! Setelah selesai menyoal tentang Devaduta yang kedua, maka disoal pula tentang Devaduta yang ketiga."


Kata Phraya Yom: "Lihat, bapa! Bapa tak pernah jumpa Devaduta ketiga yang wujud di dalam masyarakat manusia?"


Lelaki itu berkata: "Tak pernah jumpa, Tuanku!"


 Phraya Yom bertanya lagi: "Lihat, bapa! Wanita atau lelaki yang mati sehari, dua hari atau tiga hari, tubuh bengkak berwarna hijau, berlumuran berdalir dan nanah. Bapa tak pernah jumpa dengan mayat begini di dalam masyarakat dunia?" 


Lelaki itu menjawab: "Pernah jumpa, Tuanku!" 


Phraya Yom menyoal lagi: "Lihat, bapa! Bapa bukan budak-budak, tapi sudah dewasa yang tahu bezakan baik dan jahat, tapi tak pernah berfikir bahawa kita pun akan mati, tak mungkin akan terlepas daripada kematian. Kenapa kita tak berbuat kebaikan melalui tubuh, mulut atau hati?" 


Lelaki itu berkata: "Tak pernah fikir begitu kerana asyik tak endah kepada kebaikan!" 


Phraya Yom berkata lagi: "Lihat, bapa! Bapa tak buat kebaikan melalui tubuh, mulut dan hati kerana asyik tak endah kepada kebaikan. Baiklah, bapa akan diperlakukan setimpal dengan sikap tak endah kepada kebaikan itu. Karma jahat ini bukan dibuat oleh ibu, bapa, abang, kakak, adik, saudara mara, Devata, Samana, Brahmana, tapi bapa sendiri yang buat. Bapalah yang bakal terima balasan Karma jahat itu!" 


"O, Bhikkhu! Phraya Yom selepas menyoal tentang Devaduta yang ketiga, beliau pun berdiam diri. Lelaki itu dihukum oleh para petugas neraka yang terdiri daripada 5 jenis penyeksaan. 


Lelaki itu dicucuk dengan paku panas di tangan, di kaki dan di tengah dada. Dia menanggung penyeksaan yang amat sakit, tapi tak mati selagi balasan Karma jahatnya belum habis. 


Para petugas neraka merentangkan lelaki itu. Dia menanggung penderitaan yang bukan kepalang, tapi tak mati selagi balasan Karma jahatnya belum berakhir. Kemudian dia digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah, kemudian tubuhnya dihiris dengan pisau tajam. 


Dia diikat dengan kereta (lembu) dan diheret di atas permukaan  jalan yang bermarak dengan api yang menjulang-julang.


Dia dipaksa oleh petugas neraka mendaki gunung bara api yang besar yang apinya kadang-kadang marak. Dia menanggung kesakitan yang tidak terkata.


Dia dicampak oleh petugas neraka ke dalam periuk besi yang besar di atas tungku. Dia direbus di dalam periuk besi tersebut; sekejap terapung ke permukaan periuk, sekejap tenggelam ke bawah. Dia menanggung penyeksaan yang sangat menyakitkan, tapi tak mati selagi Karma jahatnya belum habis." 


"O, Bhikkhu! Maha neraka (neraka besar) mempunyai 4 penjuru dengan 4 pintu. Dibahagikan kepada bilik-bilik yang dipagari tembok besi dan ditutup dengan kepingan besi merah (panas). Lantainya daripada besi yang menyala api. Bahang kepanasannya tersebar sejauh 100 joyana dan wujud sepanjang masa. 


"O, Bhikkhu! Kisah ini telah berlaku. Phraya Yom berfikir, wahai, yang mulia, siapa yang buat dosa di dunia, orang itu akan diseksa oleh petugas neraka dengan berbagai-bagai cara. Oh, kita selaku manusia, Gautama Buddha telah lahir ke dunia, ada baiknya kita menghadap Baginda agar Baginda memberi khutbah Dhamma supaya kita dapat tahu Dhamma Baginda dengan menyeluruh. 


"O, Bhikkhu! Kita bukan mendengarnya daripada Samana, atau Brahmana kemudian bercerita, tetapi kita tahu dengan sendiri, lihat dengan sendiri." 


Lelaki (mahupun wanita) apabila dinasihati oleh kesemua Devaduta, tetapi masih sesat dan asyik tidak endah kepada kebaikan, orang tersebut akan termasuk ke dalam golongan yang tidak baik; dia bakal menanggung penderitaan yang berpanjangan. Manakala lelaki (mahupun wanita) yang  bijak, apabila dinasihati oleh kesemua Devaduta, tidak sesat, mengambil endah dengan Ariya Dhamma, melihat bahaya daripada kemelekatan yang merupakan punca kelahiran dan kematian; dia akan bebas daripada kelahiran dan kematian kerana tiada kemelekatan. Individu tersebut bakal mengecapi kebahagiaan, ketenangan, dan dalam masa sekarang juga dia akan bebas daripada segala Dukkha (Nirvana).


...........................................................................


Devaduta merujuk kepada 3 perkara yang dilihat oleh Putera Siddharta iaitu orang tua, orang sakit dan orang mati. Erti istilah Devaduta ialah "duta daripada Devata" kerana kononnya, 3 perkara itu diturunkan oleh Devata sebagai petunjuk kepada Putera Siddharta. Dalam Sutta lain, disebut 4 Devaduta iaitu memasukkan Samana (nakh buard) kerana Putera Siddharta melihat orang tua, orang sakit, orang mati dan Samana. Walaupun Samana bukan Devaduta (perkara yang harus dibicarakan oleh manusia agar dia tidak mengabaikan kebaikan/pahala), namun kerana Samana juga telah menyedarkan Putera Siddharta, maka Samana juga dimasukkan ke dalam kumpulan Devaduta. Walau apapun, yang penting kita faham apa itu Devaduta.  


Saya sangat suka baca Sutta ini. Lazimnya kepercayaan tentang Phraya Yom dikaitkan dengan kepercayaan Brahmana, tetapi di sini terdapat di dalam kitab Tipitaka. Sesetengah orang berpendapat sutta ini disampaikan secara teknik personifikasi (pengorangan) iaitu memberikan sifat orang kepada benda-benda yang abstrak.  Diceritakan bahawa Phraya Yom sangat baik hati. Beliau menyoal orang mati dengan sopan dan santun. Beliau cuba membantu manusia mengingati kebaikan atau pahala yang pernah dibuatnya agar orang itu tidak dimasukkan ke dalam neraka. Beliau memberikan beberapa kali peluang untuk "tertuduh" membela diri. Beliau tidak menjatuhkan hukum selagi tidak terbukti tertuduh betul-betul bersalah.


Sesiapa yang boleh membaca bahasa Thai, cubalah baca sendiri, cuba memahaminya dengan  akal yang waras dan hati terbuka. 

5 comments:

Anonymous said...

Seronok baca artikel ini.

Anonymous said...

saya kurang faham apa itu teknik personifikasi? siapa beri kuasa kpd praya yom seksa manusia.

pena reformasi said...

Personifikasi ialah memberikan sifat orang kepada bukan orang, contohnya binatang, pokok atau batu yang boleh berfikira dan bercakap seperti manusia.

Dalam agama ada satu istilah yang dipanggil "bukkala ditthan" iaitu memberikan sifat orang kepada Dhamma yang berbentuk abstrak. Phra Phrom dalam kepercayaan Brahmana dikatakan Bukkala Ditthan kerana Phra Phrom berbentuk manusia tak ada kerana yang ada cuma sifat metta, karunua, mudita dan ubekkha. Teknik Bukkala ditthan digunakan bagi memudahkan pemahaman pembaca. Buddha menggunakan teknik ini bagi mengisahkan penderitaan yang bakal dihadapi pembuat dosa agar sesuai dengan masyarakat masa itu yang berpegang kepada kepercayaan Brahmana.

Sky bike said...

memang betoi ..saya pernah dengar kisah ni kat internet( mp3 ).. menyeramkan .. penghuni neraka diseksa dengan pelbagai cara

Sky bike said...

memang betoi ..saya pernah dengar kisah ni kat internet( mp3 ).. menyeramkan .. penghuni neraka diseksa dengan pelbagai cara