Tuesday, August 23, 2011

Rumahku, Syurgaku!


Dhamma itu apa?


Dhamma adalah segala-galanya. Tiada sebarang benda; mental mahupun fizikal yang bukan Dhamma.


Dunia itu apa? Dunia ialah perasaan (melalui ayatana 6) yang memujuk, mengganggu dan mengacau kita. Kita risau sepanjang masa. Kita risau akan anak cucu. Apabila kita mati siapa akan jaga mereka. Kita takut sepanjang hari. Kita takut tua, takut sakit dan takut mati. Perasaan ini merupakan dunia belaka. Dunia ialah perasaan. Perasaan ini menutupi minda, menutupi kebenaran. Oleh itu, apabila perasaan timbul, kita mesti segera tahu bahawa semua itu anicca, dukkha dan anatta. Kita tidak boleh melekat pada dunia; iaitu segala perasaan yang datang daripada mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. 


Kita berfikir mahu hidup lama-lama. Fikiran ini boleh menyebabkan penderitaan. Kita berfikir mahu mati sekarang juga. Fikiran ini tidak betul, salah jalan dan boleh menyebabkan penderitaan juga. Tubuh badan ini bukan milik kita.  Kita tidak boleh mengubahnya. Keadaannya tetap begitu. Jika boleh diubah pun hanya sedikit. Kita boleh mendandan rambut, menghias tubuh, menyimpan kuku, mewarna bibir agar kelihatan lebih cantik. Kita boleh mandi menggunakan sabun agar badan lebih bersih. Hanya setakat itu. Kita tidak boleh melakukan lebih banyak terhadap tubuh badan. Kita tidak mampu membaikinya. Apabila kita tua, apa terjadi? Apabila kita mati, semuanya berkumpul di dalam sebuah Chedi. 


Benda yang kita boleh ubah, yang boleh kita baiki agar cantik ialah minda.  Minda boleh diubah suai, boleh dibaiki agar lebih cantik dan sempurna. Benda inilah yang sepatutnya kita ubah suai, kita baiki.


Rumah yang kita tinggal, kita bina dengan tulang empat kerat. Orang lain pun serupa. Mereka membina rumah sendiri. Orang kaya membina rumah sangat besar. Masyarakat kita suka benar membina rumah besar-besar. Sesetengahnya berlumba-lumba rumah siapa lebih besar, cantik dan kukuh. Malah terdapat 2 keluarga berjiran yang bersaing membina rumah. Masing-masing tidak mahu mengalah. Rumah bagaikan istana. Bagi orang kaya, jutawan, rumah mereka berupa mahligai. 


Semua orang mampu membina rumah. Baginda Buddha panggil rumah ini rumah luaran. Bukan rumah yang sebenar. Rumah di atas dunia dibina mengikut kehendak dunia. Ramai orang apabila tinggal di rumah besar, penuh keselesaan sehingga terlupa rumah yang sebenar. Rumah sebenar kita di mana? Rumah sebenar kita berada di dalam diri kita. Minda yang tenteram itulah rumah sebenar kita. 


Rumah yang kita tinggal memang cantik tetapi kurang tenteram. Bermacam-macam hal timbul. Bermacam-macam masalah datang. Risau perkara itu, bimbang perkara ini. Hakikatnya ini bukan rumah kita. Ini rumah dunia. 


Terdapat satu lagi rumah iaitu tubuh badan. Kita ingat rumah ini milik kita, tetapi hakikatnya bukan. Rumah ini juga bukan milik kita. Rumah ini juga rumah dunia seperti rumah papan yang kita tinggal. Apabila kita mati kedua-dua rumah ini kekal di dunia.  Namun, kebanyakan orang sangat suka membina rumah luaran, rumah dunia ini. Rumah dalaman yang merupakan rumah sebenar kurang dibina. 


Tidak salah membina rumah dunia besar-besar mengikut kemampuan, keperluan dan keselesaan masing-masing. Akan tetapi jangan lupa bahawa ini hanya rumah dunia. Rumah yang lebih penting ialah rumah dalaman, rumah sebenar kita kerana kita akan tinggal di rumah ini sepanjang hayat


Minda ialah rumah dalaman, rumah sebenar kita. Akan tetapi kurang dibina, apatah lagi diubah suai agar mencapai tahap ketenteraman yang tinggi. Minda yang tenteram ialah minda yang bebas daripada gangguan perasaan. Minda yang tenteram ialah minda yang bijak dan kenal hakikat hidup. Minda yang jahil tidak akan tenteram. Minda tenteram tidak mudah terusik oleh perasaan yang muncul. Apabila mata melihat benda cantik, minda akan kata: "Ah, perkara biasa!" Apabila telinga mendengar suara yang lunak, minda akan kata: "Ah, ini hanya sementara!" Apabila tubuh menyentuh objek yang lembut, minda akan kata: "Ah, semuanya anicca, dukkha dan anatta!" 


Kita tidak mudah tergoda dan terpengaruh oleh perasaan yang muncul. Dunia ialah perasaan. Kita bebas, kita merdeka daripada dunia. Dunia tidak mampu menakluki kita. Minda kita berada lebih tinggi daripada dunia. Walaupun tubuh badan kita tinggal di dunia, namun kotoran dunia tidak berupaya melekat pada kita. 


Malangnya, ramai yang mengabaikan rumah dalaman. Sepatutnya rumah inilah yang dibangunkan kerana ia kekal bersama kita sepanjang hayat. Alangkah baiknya jikalau masyarakat kita berlumba-lumba membina, membangun dan menghias rumah dalaman agar lebih cantik, menarik dan tenteram. Baginda Buddha menyanjung mereka yang mempunyai rumah dalaman yang tenteram. 


Rumah dalaman yang tenteram  inilah yang dikatakan rumahku, syurgaku!


(Adaptasi daripada dhamma Achan Cha)




         
          

No comments: