Friday, August 26, 2011

Sahabat Yang Baik Menjana Kehidupan Suci

Dalam sebuah Sutta, Bhikkhu Ananda (Phra Anon) berkata kepada Buddha bahawa mempunyai sahabat yang baik, mempunyai rakan yang baik dan hati cenderung kepada orang-orang yang baik merupakan separuh daripada Brahma-cariya (kehidupan yang suci). Bagi pemahaman Bhikkhu Ananda, mempunyai sahabat yang baik adalah penting kerana nilainya sama dengan separuh daripada kehidupan yang suci. 


Apabila Baginda Buddha mendengarnya, Baginda melarang Bhikkhu Ananda daripada berkata begitu. Baginda memperbetulkan pemahaman Bhikkhu Ananda. Baginda berkata, sahabat yang baik sama dengan Brahma-cariya sepenuhnya. Baginda berkata mempunyai sahabat yang baik, mempunyai rakan yang baik dan hati cenderung kepada orang-orang yang baik merupakan Brahma-cariya sepenuhnya (kehidupan yang suci sepenuh). 


Bhikkhu yang mempunyai sahabat yang baik boleh mengharapkan kehidupan yang suci.  Apabila mempunyai sahabat yang baik, rakan yang baik dan hati cenderung kepada orang-orang yang baik, barulah Bhikkhu boleh menyuburkan Ariya Magga dan memperbanyakkan amalan mulia. 


(พระไตรปิฎก เล่มที่ ๑๕
สังยุตตนิกาย สคาถวรรค /Tipitaka15/127/382).


Penganut agama Buddha patut menjadikan Sutta ini sebagai panduan dalam bersahabat atau berkawan. Sahabat yang baik dan hati cenderung kepada orang-orang yang baik disamakan dengan Brahma-cariya dan Ariya Magga. Maksudnya sesiapa yang mempunyai sahabat yang baik baru boleh mengharapkan Ariya Magga. Ariya Magga ialah jalan ke Nirvana. Maka sahabat yang baik boleh membawa cahaya Nirvana kepada kita.   


Betapa mulianya sahabat yang baik sehingga disamakan dengan kehidupan yang suci. Jadi, apabila hendak bersahabat, lihat dahulu dengan bijak akal. Sahabat yang baik akan mengajak kita ke jalan baik. Sahabat begini sukar dicari, tetapi ada. Tidak ramai, tetapi nilainya tidak ada tolok bandingnya. Sahabat yang baik tidak derhaka, tidak tikam belakang kawan sendiri. Sahabat yang baik rela berkorban untuk sahabat. Sahabat yang baik tidak hipokrit, tidak bermuka-muka. Sahabat yang baik memberi syurga kepada kita. Oleh itu, Buddha menyamakannya dengan kehidupan suci. 


Manakala sahabat yang tidak baik (sebenarnya tidak layak dipanggil sahabat) akan mengajak kita ke jalan tidak baik. Jikalau dia berbuat jahat, dia akan mempengaruhi kita berbuat jahat seperti dia. Dia mahu kita jadi kawan dia di dunia dan di neraka. Jikalau dia mencuri, menyamun, tipu makan atau tipu tidur, dia juga mahu kita jadi seperti dia. Berbuat baik kepada kawan yang tidak baik, umpama mencurah air ke padang pasir. 


Dalam Mongkol 38 (Jalan Kemajuan atau Kebahagiaan Hidup) perkara pertama ialah "Tidak Berkawan Orang Jahat".  Ini menunjukkan betapa pentingnya kita berkawan dengan orang baik sehingga Buddha melarang kita berkawan dengan orang jahat dalam Mongkol 38. 


Kawan tidak baik sebenarnya bukan kawan. Walaupun dia kawan kita, namun hakikatnya dia bukan kawan, melainkan pemusnah kehidupan kita. Apabila kita berjaya mengnyahkan kawan begini daripada diari kehidupan kita, kita akan bahagia. Kawan begini umpama musuh dalam selimut kerana dia penghalang Ariya Magga. 


Sahabat yang baik menjana Ariya Magga. Dia sentiasa memberi dorongan dan semangat agar kita berbuat kebaikan. Oleh itu, berbanggalah sekiranya kita mempunyai kawan yang baik, biarpun sedikit lebih baik daripada kawan yang jahat. Seorang sahabat yang baik, jauh lebih baik daripada seribu kawan yang tidak baik. Sahabat yang baik penjana Brahma-cariya dan pemberi cahaya Nirvana!

2 comments:

Anonymous said...

Ramai anak2 muda tidak pandai bergaul,jahatlah mereka. Misalnya isap ganja,mabuk ubat dan arak,berjudi dan menjaja diri.
Sesiapa yang baca tentang phra anon,akan tahulah..balasnya berkawan.

pena reformasi said...

Kehidupan remaja mudah dipengaruhi kawan. Ibu bapa harus memantau pergaulan anak-anak mereka.