Tuesday, August 16, 2011

Tafsiran Baru Sila 5: Merangkumi Semua Permasalahan Masyarakat Moden

Sila 5 merupakan moral atau disiplin asas bagi penganut agama Buddha. Sila bermaksud normal. Pelanggaran Sila bermaksud menyebabkan keadaan tidak normal. Pada hari ini permasalahan masyarakat kelihatan seperti tidak normal. Permasalahannya semakin rencam, kompleks dan rumit. Sila 5 sebagaimana yang kita fahami tidak mampu memberi jawapan kepada segala permasalahan tersebut. Oleh itu, Sila 5 wajar diberi tafsiran baru agar maknanya menyeluruh dan merangkumi segala permasalahan masyarakat madani hari ini.

Alasan membuat tafsiran baru terhadap Sila 5


Masyarakat India dahulu yang menjadi persekitaran kelahiran agama Buddha merupakan sebuah masyarakat tani. Sosiobudaya dan permasalahan masyarakat tani tidak serumit permasalahan masyarakat moden berteknologi tinggi. Oleh itu, Sila 5 yang merupakan asas moral masyarakat Buddhis ketika itu hanya fokus kepada penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kaum tani secara langsung. 


Sila Panatipata (membunuh) misalnya, Acarn Atthakatha (pentafsir Tipitaka) memberikan beberapa ciri iaitu: (1) Makhluk bernyawa, (2) Tahu bahawa makhluk itu bernyawa, (3) Mempunyai niat untuk membunuh, (4) Berusaha membunuh, (5) Makhluk tersebut mati kerana usaha membunuh tersebut. Jikalau mencukupi kesemua ciri ini, barulah dikatakan putus Sila Panatipata. Jikalau tidak cukup, Sila itu dikatakan cacat, tetapi tidak putus. Ciri-ciri ini boleh digunakan untuk menerangkan dan menyelesaikan masalah masyarakat tani, tetapi tidak masyarakat moden zaman IT. 


Setelah masyarakat berubah daripada masyarakat tani kepada masyarakat moden, persoalan tentang makna dan ruang lingkup Sila pun timbul. Apakah maksud pembunuhan dalam Sila? Adakah maksudnya sebagaimana yang tertulis iaitu membunuh secara langsung? Atau merangkumi pembunuhan secara tidak lansung? Bagaimana dengan pembunuhan "belas kasihan" yang dipanggil negative euthanasia dan positive euthanasia? Adakah pembunuhan di atas menyalahi Sila 5 - panatipata? Ini hanya sebahagian kecil daripada soalan yang menarik minat kaum Buddhis yang memerlukan jawapan segera. Oleh itu, tafsiran baru terhadap makna Sila 5 amat diperlukan agar ia mampu merangkumi keseluruhan permasalahan masyarakat moden hari ini. 


Phra Thich Nhat Hanh pernah berkata: "Sila 5 merupakan warisan lama yang diwarisi sejak zaman Buddha lagi. Kita merasakan wajar diperkatakan semula dalam erti yang mudah difahami oleh orang zaman sekarang!"


Sulak Sivaraksa berpendapat penjelasan tentang makna dan ruang Sila 5 sebagaimana yang difahami sebahagian besar kaum Buddhis tidak merangkumi keseluruhan masalah masyarakat hari ini. Sila 5 merupakan amalan asas Gharawas dalam agama Buddha. Sila 5 harus mempunyai peranan menyelesaikan masalah masyarakat. Oleh itu, amat wajar maksud Sila 5 diberikan huraian baru agar merangkumi kesemua masalah masyarakat.


Keadaan masyarakat telah berubah. Permasalahan juga turut berubah. Bentuk pembunuhan, kecurian dan pembohongan juga berubah.


Orang ramai mesti mengubah persepsi terhadap Sila dari negatif kepada positif. Maksudnya dahulu kita menganggap Sila sebagai larangan atau paksaan, sekarang kita cuba melihat Sila dari sudut faedah yang bakal diterima oleh individu pengamal Sila, orang sekeliling dan masyarakat umum. Kita mesti melihat faedah bersama yang terjalin secara berangkai. 


Sekarang pelanggaran Sila dalam bentuk baru sering berlaku. Tafsiran Sila dalam Kitab Tipitaka (Atthakata) merupakan tafsiran mengikut keadaan masyarakat India dahulu yang berasaskan pertanian. Maka tafsiran baru terhadap Sila 5 diperlukan agar bersesuaian dengan keadaan masyarakat yang berasaskan ekonomi moden berteknologi tinggi. Perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat menyebabkan permasalahan masyarakat bersimpang-siur, kompleks dan rumit. Contohnya, sistem perbankan yang mengumpul duit daripada keringat orang ramai untuk disimpan oleh sekumpulan orang dan kemudian dilaburkan pula duit tersebut ke dalam industri minuman keras atau kilang membuat senjata. Adakah melanggar Sila 5? Adakah perbuatan memanipulasi saham, menyembunyikan maklumat dengan niat menaik atau menjatuhkan nilai saham, menyalahi Sila?  Ini sekadar 2 pertanyaan. Banyak lagi contoh lain di sekitar kita. 


Berpegang pada Sila 5 mengikut tafsiran dan kaedah tradisi menyebabkan agama Buddha dilihat sebagai agama untuk orang-orang tua yang ketinggalan zaman. Oleh itu, Sila 5 harus diberikan nilai intelektual yang tinggi agar dipandang mulia oleh masyarakat moden yang juga berpendidikan tinggi. Sila 5 umpama undang-undang yang harus dikemas kini supaya sentiasa relevan dengan situasi semasa. Matlamat utama Sila 5 sebagaimana ditetapkan oleh Buddha tidak berubah, tetapi tafsirannya mesti diperluaskan. Kita tidak boleh lagi berpegang pada tafsiran lama yang dilakukan ratusan tahun dahulu.


Masalah keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia semakin membimbangkan. Sila 5 sepatutnya mampu memberi jalan keluar kepada masalah ini.  Keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, perdagangan wanita dan pelanggaran hak asasi manusia mesti dilihat sebagai masalah yang saling berkaitan. Bahkan masalah makanan segera dan makanan yang tidak berkhasiat yang diiklankan dengan cara mengelirukan dengan niat mempengaruhi pengguna mencabar makna Sila 5 dalam konteks tradisi. 


Rangkaian Penganut Agama Buddha untuk Masyarakat Antarabangsa (International Network of Engaged Buddhists - INEB) merumuskan beberapa perkara berkenaan Sila 5, antaranya ialah:


1). Sila 5 dalam konteks tradisi disusun agar sesuai dengan situasi dan masalah masyarakat tani. Apabila situasi masyarakat berubah, makna Sila 5 pun patut diberikan tafsiran baru. 


2).  Masalah masyarakat hari ini terlalu rumit sehingga sukar dihuraikan dengan Sila 5 mengikut makna tradisi. Oleh itu, wajar sekali Sila 5 diberikan tafsiran baru supaya sesuai dengan keadaan masyarakat yang terlalu rumit. 


3). Sila 5 dalam konteks tradisi menekankan makna dari sudut pasif iaitu kita menjaga Sila 5 semata-mata untuk tidak menyusahkan orang lain. Manakala makna dari sudut aktif yang menekankan campur tangan kita supaya orang lain tidak melanggar Sila 5 terabai sama sekali. Campur tangan di sini boleh jadi nasihat, halangan atau usaha menyedarkan orang lain daripada melanggar Sila 5. Kita tidak boleh berdiam diri melihat orang melanggar Sila 5, sebaliknya berperanan aktif memberi nasihat atau teguran. Sekarang terdapat beberapa NGO yang berperanan menghalang individu atau kumpulan orang daripada melanggar Sila 5. Kita patut berikan sokongan. Pembela hak asasi manusia, hak wanita dan hak kanak-kanak antara beberapa NGO yang aktif. 


4). Sila 5 dalam konteks tradisi menekankan perihal individu, tetapi kurang menekankan perihal masyarakat. Maksudnya berpegang pada Sila 5 merupakan urusan pribadi. Siapa buat baik, dia dapat balasan baik. Konsep ini menyuburkan individulisme. Kita patut melihat Sila 5 dalam konteks kemasyarakatan kerana pelanggaran Sila 5 membawa kemudaratan kepada masyarakat awam. Sila 5 harus dilihat sebagai asas membina keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, tafsiran baru Sila 5 amat diperlukan supaya merangkumi semua permasalah masyarakat hari ini.


Sila 5 bukan sekadar larangan atau paksaan daripada membunuh, mencuri, berzina, berbohong dan mengambil minuman keras, tetapi lebih daripada itu.  Sila 5 ialah disiplin dan moral penganut agama Buddha yang ditetapkan oleh Baginda Buddha harus diberi nafas baru, sesuai dengan zaman teknologi tinggi dan perkembangan industri maklumat supaya tidak dilihat sebagai amalan untuk orang-orang tua yang ketinggalan zaman. 









1 comment:

Anonymous said...

Tuan Pena,

Terima kasih kerana menyiarkan article itu.

Sawaddi.
Phai Chit Chindamanie.