Sunday, September 18, 2011

10 Soalan Menemukan Kita Dengan Ajaran Tulen Buddha



"Segala benda wujud daripada Hetu - Paccaya. Tiada sebarang benda yang wujud begitu sahaja tanpa Hetu - Paccaya!"

Hetu ialah kondisi asas, elemen asas, atau faktor asas.  Paccaya ialah kondisi sokongan, elemen sokongan atau faktor sokongan. Lazimnya kedua-dua perkataan ini digunakan bersama bagi merujuk kepada "kondisi, elemen, faktor, punca atau sebab" terbentuk atau terjadi sesuatu perkara. 

Dalam agama Buddha, pemahaman tentang Hetu - Paccaya sangat penting kerana kesemua benda (mental dan fizikal) terbentuk daripada Hetu - Paccaya. Tiada sebarang benda yang terbentuk tanpa Hetu - Paccaya. 

Berbalik kepada tajuk artikel, bagaimana kita akan jumpa ajaran Buddha yang tulen? Sebenarnya semua ajaran Buddha adalah tulen. Yang tidak tulen ialah ajaran pengikut Buddha yang dicampur adukkan dengan ajaran lain, hasil tafsiran sendiri atau pengaruh budaya setempat.  Kita tidak usah berbalik ke zaman dahulu. Kita ambil contoh masa kini. Banyak perkara yang kita percayai bahawa benar, kita buat, kita amalkan, sebenarnya bukan ajaran tulen Buddha. Oleh sebab perkara itu telah melekat pada tulang hitam kita, sukar bagi kita meninggalkannya. 


Malahan, apabila kita pergi cari Luang Phor atau Sangha, belum tentu Dhamma yang dilontar ke dalam fikiran kita adalah tulen. Oleh itu, kita mesti melakukan proses penapisan sebelum menerimanya. Kita mesti ada sumber yang asli untuk membuat perbandingan. 


Than Chau Khun Dhammapidok (P.A Payutto) menyarankan 2 perkara untuk kita membuat perbandingan iaitu (1) Kitab Tipitaka; jikalau ada dalam Tipitaka, kita boleh bernafas lega bahawa ajaran yang kita dengar itu boleh dipercayai dan (2) diri sendiri; kita mengamalkan ajaran tersebut sehingga mencapai hasilnya. "Diri sendiri" amat penting kerana ajaran tulen Buddha hanya boleh diketahui dan dibuktikan melalui "penemuan" sendiri. 

Ajaran tahap tinggi (Paramatha Dhamma) berkaitan usaha menghapuskan kesengsaraan manusia (konsep Ariya Sacca 4) bukan perkara yang boleh difahami hanya dengan mendengar  daripada orang lain, membaca dari buku (kitab) atau dengan berfikir berdasarkan alasan-alasan yang logik (Buddhadasa Bhikkhu berkata pendekatan lojik sebagaimana yang digunakan bagi mentafsir Abhidhamma merupakan pendekatan paling goyah). Sebaliknya, kita hanya akan memahaminya melalui  "penemuan" sendiri yang didapati dengan kebijaksanaan. Penemuan sendiri ini mesti dilakukan dengan meneliti, menghayati dan membicarakan perkara-perkara yang kita "sentuh" (phassa) dengan indera sendiri. Proses penemuan ini mesti melibatkan "sentuhan" secara langsung antara indera kita (mata, telinga, hidung, lidah, tubuh) dengan perkara-perkara yang hendak kita bicarakan yang wujud di sekeliling kita.  Dalam kata lain, kita mesti melakukan pengamalan barulah boleh mendapat hasil "penemuan" yang dikehendaki.


Permulaan bagi menemukan ajaran tulen Buddha pada tahap tinggi, terlebih dahulu kita mesti melepaskan kesemua kepercayaan kita yang kita perolehi daripada kitab, buku, atau ajaran yang didengar daripada orang lain. Kita mesti menggunakan disiplin sains bagi membicarakan kewujudan di sekeliling kita yang boleh kita lihat, dengar, hidu, sentuh, rasa, dan fikir sendiri. Kita mesti menggunakan kaedah yang betul dengan alasan-alasan yang munasabah sebelum membuat keputusan terhadap kajian kita agar hasil penemuannya tidak bias. Kita tidak boleh mentafsir, meramal atau mengagak-agak mengikut perasaan atau gerak hati semata-mata.  


Kaedah meramal dan mengagak-agak ini walaupun kelihatan logik pada fikiran kita, tetapi hakikatnya akan menghasilkan penemuan yang salah. Logik fikiran seseorang tidak sama, dipengaruhi pengalaman lepas, persekitaran, waktu dan tempat. Logik akal penganut agama Buddha misalnya mungkin berbeza daripada logik akal penganut agama lain. Logik akal orang yang beragama mungkin berlainan daripada logik akal orang yang menolak agama. Jikalau kita mahu menggunakan kaedah lojik mesti "logik sains" yang disokong fakta-fakta. 


Setelah kita membuat kajian bagi menemukan ajaran tulen Buddha, kita mesti menguji diri dengan beberapa soalan bagi melihat sejauh mana kejayaan kita. Di bawah ini diberikan 10 soalan untuk dijawab.  Adakah kita telah bersedia menerima kenyataan bahaya kesemua yang terkandung dalam soalan ini adalah benar?


1. Adakah kita terima kenyataan bahawa "segala benda (mental dan fizikal) yang wujud terbentuk daripada Hetu - Paccaya (kondisi, faktor atau elemen)"?


2. Adakah kita terima kenyataan bahawa "tiada benda yang wujud begitu sahaja tanpa Hetu - Paccaya"?


3. Adakah kita terima kenyataan bahawa "tubuh badan terbentuk atau terhasil daripada gabungan 4 elemen utama iaitu tanah, air, api dan angin"? (Bukan daripada tanah sahaja).


4. Adakah kita terima kenyataan bahawa "tubuh badan tidak berupaya wujud begitu sahaja tanpa Hetu - Paccaya"?


5. Adakah kita terima kenyataan bahawa "benda yang dipanggil 'Citta' (fikiran dan perasaan) dan segala kehidupan lain hanya boleh wujud sekiranya mempunyai Hetu - Paccaya"?


6. Adakah kita terima kenyataan bahawa "Citta tidak berupaya wujud atau lahir begitu sahaja tanpa Hetu - Paccaya"?


7. Adakah kita terima kenyataan bahawa "Citta mesti bergantung pada tubuh badan (mata, telinga, hidung, tubuh dan hati/otak) yang belum mati sebagai Hetu dan perkara luar (rupa, suara, bau, rasa, objek sentuhan dan objek fikiran) sebagai Paccaya barulah Citta boleh wujud dan berfungsi"?


8. Adakah kita terima kenyataan bahawa "jikalau tiada tubuh badan yang masih hidup, Citta tidak akan wujud"?


9. Adakah kita terima kenyataan bahawa "tubuh badan dan Citta yang dirasakan 'diri kita - milik kita' sebenarnya tidak ada kerana yang ada cuma benda yang terhasil daripada Hetu - Paccaya semulajadi. Benda ini hanya wujud sementara, tidak kekal abadi. Apabila Hetu - Paccaya musnah, benda ini pun musnah (mati)"?


10. Adakah kita terima kenyataan bahawa "kepercayaan yang mengatakan bahawa Citta kita (atau apa yang kita panggil Roh/Vinyan atau apa-apa sahaja yang dirasakan dan dipercayai sebagai 'kita') dan segala makhluk adalah Atta dan kekal abadi (mempercayai bahawa Citta itu Atta) yang berupaya keluar dari tubuh apabila tubuh telah mati, kemudian Citta ini akan dilahirkan semula di kehidupan lain, merupakan kepercayaan yang tidak betul"?


Jikalau sesiapa telah "membicarakan" ajaran Buddha dengan teliti, kemudian dapat terima kenyataan 10 soalan di atas tanpa keraguan, maka orang tersebut telah mula mengenali atau memahami ajaran tulen Buddha pada tahap tinggi dengan betul.


Namun, sesiapa yang belum dapat terima kenyataan, khususnya soalan nombor 10, maka orang tersebut belum mengenal atau memahami ajaran tulen Buddha tahap tinggi dengan betul.   Dia hanya mengenali ajaran Buddha tahap rendah (tahap moral / akhlak)  yang bercampur aduk dengan ajaran Brahmana (Hindu).


(Kepercayaan berkenaan Citta, atau Vinyan (Roh) yang keluar dari tubuh selepas mati merupakan warisan kepercayaan Brahmana yang terpahat di fikiran sesetengah penganut agama Buddha yang tidak faham ajaran tulen Buddha. Agama Buddha mengajarkan konsep Vatta Samsara atau kehidupan lain selepas mati, tetapi bukan Citta atau Vinyan (Roh). Vatta Samsara terjadi kerana Karma. Apabila Karma habis, Vatta Samsara pun tamat. Penganurt agama Buddha harus memahami konsep Vatta Samsara dan Karma dengan betul supaya tidak terkeliru dengan konsep Roh kekal abadi dalam kepercayaan Brahmana.)

No comments: