Thursday, September 8, 2011

Apakah Perkara Yang Tidak Boleh Diperkatakan?

Brahmana bernama Vassakara menghadap Baginda Buddha, kemudian mempersembahkan pertanyaan begini:


"Gautama Buddha! Kami mempunyai kata-kata dan pandangan begini; Siapa yang berkata mengikut apa yang dilihatnya; 'Saya melihatnya begini'; Berkata mengikut apa yang didengarnya; 'Saya mendengarnya begini'; Berkata mengikut apa yang dihidunya; 'Saya menghidunya begini; Berkata mengikut apa yang disentuhnya (dengan lidah dan badan); 'Saya menyentuhnya begini'; Berkata mengikut apa yang dialami di hati; 'Saya alaminya begini'. Hukuman (dosa) tentu tidak ada kepada orang yang berkata (benar) begini."


Baginda Buddha berkata: "Brahmana! Kita tidak berkata bahawa semua perkara yang dilihat sebagai perkara yang patut diperkatakan atau tidak patut diperkatakan. Kita tidak berkata bahawa semua perkara yang didengar sebagai perkara yang patut diperkatakan atau tidak patut diperkatakan. Kita tidak berkata bahawa semua perkara yang dihidu sebagai perkara yang patut diperkatakan atau tidak patut diperkatakan. Kita tidak berkata bahawa semua perkara yang disentuh patut diperkatakan atau tidak patut diperkatakan. Kita tidak berkata bahawa semua perkara yang dialami di hati sebagai perkara yang patut diperkatakan atau tidak diperkatakan.


"Brahmana! Apabila berkata perkara yang dilihat boleh menyuburkan kejahatan dan mengurangkan kebaikan, kita berkata bahawa perkara yang dilihat sebagai perkara yang tidak patut diperkatakan. 


"Brahmana! Tetapi apabila berkata perkara yang dilihat boleh mengurangkan kejahatan dan menyuburkan kebaikan, kita berkata bahawa perkara ini sebagai perkara yang patut diperkatakan!" (Seterusnya Buddha menjelaskan tentang perkara yang didengar, dihidu, disentuh dan dialami di hati).


(Tipitaka: Catukkanibata 21/234/183)


Berdasarkan Sutta ini, jelaslah bahawa pandangan Baginda Buddha dengan pandangan golongan Brahmana tentang "sesuatu yang patut diperkatakan" adalah tidak sama. Bagi Brahmana, semua perkara yang dilihat, didengar, dihidu, disentuh, dialami di hati boleh diperkatakan.


Manakala bagi Baginda Buddha, hendak memperkatakan sesuatu perkara mesti memperhitungkan kesan baik dan buruknya. Perkara yang dialami melalui pancaindera dan hati  bukan semua boleh diperkatakan biarpun benar. Perkara yang apabila diperkatakan akan memberi kesan buruk, tidak boleh diperkatakan. Manakala perkara yang apabila diperkatakan membawa kesan baik, boleh diperkatakan. Kesimpulannya, Buddha hanya memperkatakan perkara yang membina. Manakala perkara yang memusnahkan tidak diperkatakan. 


Penganut agama Buddha patut menjadikan Sutta ini sebagai panduan untuk memperkatakan sesuatu. 


Namun, dalam situasi tertentu kita sukar membuat keputusan hendak memperkatakan perkara yang kita lihat atau kita dengar. Kita tidak pasti sama ada kesannya buruk atau baik. Kadang-kadang kesan ini berdasarkan persepsi masing-masing. Apabila kita menasihati orang, kita ingat keputusan kita betul dan membina kerana niat kita baik. Akan tetapi orang yang dinasihati mempunyai persepsi yang lain menyebabkan dia tersinggung hati atau marah kepada kita. 


Dalam situasi yang sukar, kepentingan umum harus difikirkan. Maksudnya kita mesti mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan pribadi. Perkara yang boleh membawa kebaikan kepada umum, patut diberikan keutamaan untuk diperkatakan. Selain itu, kita juga harus mengambil kira faktor Brahma Vihara 4 iaitu Metta, Karuna, Mudita dan Upekkha sebelum memperkatakan sesuatu. 







2 comments:

Bicara Siam Kedah said...

Saya sentiasa menyokong cetusan idea anda.

pena reformasi said...

Terima kasih Bicara Siam Kedah!