Friday, September 30, 2011

Diracchan Katha Penghalang Jalan Nirvana

Dalam agama Buddha terdapat satu istilah iaitu "diracchan katha" yang kurang diberi perhatian oleh penganut agama Buddha.  Istilah ini sangat penting, terutama kepada para Bhikkhu yang mengamalkan Kehidupan Suci yang dipanggil Brahmacariya (Thai: Phrommachan). Kehidupan Suci ialah kehidupan bagi mencapai Nirvana. 


Diracchan katha bermaksud percakapan yang menjadi penghalang jalan Nirvana.  Perkara yang tergolong di dalam diracchan katha tidak harus menjadi tajuk perbualan atau perbincangan di kalangan Sangha kerana perkara ini tidak ada kaitan dengan ajaran dan amalan Buddha-Dhamma. Malahan ia boleh menyebabkan fikiran terganggu, boleh menjadi terpengaruh, tidak membawa faedah kepada amalan, sia-sia dan membuang masa. Ringkasnya ia tidak harus dijadikan topik perbualan atau perbincangan oleh para Bhikkhu. 


Antara perkara yang tergolong dalam diracchan katha ialah percakapan berkaitan raja, pembesar negara, angkatan tentera, peperangan, keselamatan, rompakan, makanan, minuman, pakaian, kediaman, bunga, wangi-wangian, saudara mara, kenderaan, rumah, kampung, daerah, negeri, negara, wanita, lelaki, orang gagah berani, pelabuhan (jeti), orang yang sudah mati, dunia, laut, kemajuan dan kemunduran. 


Baginda Buddha sama sekali  tidak bersembang tentang perkara yang tergolong dalam diracchan katha, tidak seperti sesetengah samana Brahmana yang menyara hidup daripada pemberian orang ramai, tetapi masih bercakap tentang diracchan katha. Bagi Buddha, orang yang hidupnya bergantung pada "belas kasihan" orang ramai, tidak patut membuang masa dengan perkara yang tidak membawa faedah. 


Baginda seorang Buddha, tetapi masih takut bercakap perkara yang tidak membawa faedah, sia-sia atau membuang masa kerana tidak mahu mengecewakan harapan orang ramai. Baginda takut orang ramai hilang kepercayaan dan penghormatan terhadap Baginda walaupun hakikatnya perkara seumpama itu tidak akan terjadi. Namun, Baginda tetap berhati-hati. Baginda hanya bercakap perkara yang membawa faedah. Dalam bahasa mudah, Baginda tidak mahu mensia-siakan setiap suap nasi yang masuk ke dalam perut kerana nasi itu datangnya daripada saddha (Thai: sattha) orang ramai. Baginda seolah-olah berasa terhutang budi kepada orang ramai. 


Baginda tidak seperti kita yang kurang memikirkan saddha orang ramai. Kita seperti mempersia-siakan kepercayaan mereka. Kita seperti tidak menghargai pemberian mereka. Malahan kita bertindak seperti raja yang bermegah di singgahsana tanpa mempedulikan nasib rakyat. Silap-silap rakyat yang dituduh derhaka. Kita terlupa bahawa raja tidak akan wujud tanpa rakyat.


Bayangkan seorang tua bangun pagi setiap hari bagi menyediakan makanan kepada Bhikkhu dengan saddha yang melimpah kepala, tetapi Bhikkhu tidak menghargai saddha tersebut; tidak mengamalkan Dhamma vinai dengan betul. Malang sungguh!




ไตรปิฎก เล่มที่ ๙ พระสุตตันตปิฎก เล่มที่ ๑
ทีฆนิกาย สีลขันธวรรค



ติรัจฉานกถา [๑๕] ๗. พระสมณโคดม เว้นขาดจากติรัจฉานกถา เช่นอย่างที่สมณพราหมณ์ผู้เจริญ บางจำพวกฉันโภชนะที่เขาให้ด้วยศรัทธาแล้ว ยังประกอบติรัจฉานกถาเห็นปานนี้ คือ พูดเรื่อง พระราชา เรื่องโจร เรื่องมหาอำมาตย์ เรื่องกองทัพ เรื่องภัย เรื่องรบ เรื่องข้าว เรื่องน้ำ เรื่องผ้า เรื่องที่นอน เรื่องดอกไม้ เรื่องของหอม เรื่องญาติ เรื่องยาน เรื่องบ้าน เรื่องนิคม เรื่องนคร เรื่องชนบท เรื่องสตรี เรื่องบุรุษ เรื่องคนกล้าหาญ เรื่องตรอก เรื่องท่าน้ำ เรื่องคนที่ล่วงลับไปแล้ว เรื่องเบ็ดเตล็ด เรื่องโลก เรื่องทะเล เรื่องความเจริญและความเสื่อม ด้วยประการนั้นๆ.

No comments: