Tuesday, September 13, 2011

Kaedah Berfikir Mengikut Buddha (1)


Baginda Buddha menganjurkan penganutnya menggunakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan atau melaksanakan sesuatu perkara. Oleh sebab itulah agama Buddha dikatakan agama kebijaksanaan. Buddha menekankan kebijaksanaan dalam ajaran Baginda, berbanding agama lain yang menekankan kepercayaan. 


Dalam agama Buddha, kebijaksanaan membawa seseorang kepada pandangan benar. Pandangan benar berlawanan dengan pandangan sesat. Pandangan benar ialah kebijaksanaan Buddha. Di luar daripada kebijaksaan Buddha disebut sesat. Jadi, untuk tidak sesat kita mesti mempunyai kebijaksanaan. 


Kebijaksanaan terbahagi kepada dua, iaitu kebijaksanaan berfikir dan kebijaksanaan bertindak (termasuk bercakap). Atau disebut juga sebagai kebijaksanaan mental dan kebijaksanaan fizikal. Kebijaksanaan berfikir membawa kepada kebijaksanaan bertindak. Untuk mempunyai kebijaksanaan berfikir, kita mesti mempunyak teknik berfikir yang betul. Teknik berfikir yang salah tidak akan melahirkan kebijaksanaan berfikir. 


Bagaimana Buddha berfikir? Sewaktu Baginda mula-mula menyelidiki cara menghapuskan kesengsaraan (dukkha), Baginda telah belajar dengan pelbagai aliran kepercayaan yang terkenal di India ketika itu dan mengamalkan dengan tekun tetapi tidak berjaya. Ini kerana Baginda belum menemui kaedah berfikir yang betul. Setelah menempuhi kegagalan demi kegagalan, akhirnya Baginda membuat keputusan menggunakan kaedah pemikiran yang baru iaitu; (1) tidak percaya mengikut kepercayaan sebelumnya, (2) mempelajari daripada alam semesta yang sedia wujud,(3) menggunakan pendekatan sebab dan akibat, (4) mempunyai kaedah-kaedah pembelajaran yang betul dan (5) mengamalkannya dengan tekun sehingga berjaya melihat kebenaran yang sejati. Kemudian barulah menyebarkan hasil penemuan tersebut kepada manusia sejagat. 


Pemikiran Buddha ialah pemikiran sains; pemikiran yang bersandarkan alasan-alasan yang boleh diuji dan dibuktikan.  


Perkara yang berkaitan dengan ideologi, dogma atau kepercayaan sangat mustahak. Apabila kita mempercayai sesuatu, kita akan menerima kepercayaan tersebut dan mengamalkannya dalam kehidupan. Kepercayaan tersebut akan menakluki, membatasi dan mempengaruhi pemikiran kita. Kita tidak berupaya berfikir di luar batasan kepercayaan kita. Oleh sebab, pemikiran kita tidak bebas, maka kebijaksanaan berfikir langsung tidak ada. Pemikiran kita hanya berlegar di dalam batasan-batasan yang telah ditetapkan. Pemikiran yang terbatas, sempit dan tidak menyeluruh tidak memungkinkan kita mengetahui sama ada kepercayaan kita itu benar atau salah.


Kepercayaan yang berdasarkan (1) cerita turun temurun, (2) perkara yang dilakukan secara ikut-ikutan, (3) mengikut hebohan orang ramai, (4) kitab, (5) alasan-alasan yang kedengaran munasabah, (6) alasan-alasan yang ada di persekitaran, (7) naluri kita sendiri, (8) pandangan lama yang kita ada, (9) individu yang luarannya kelihatan boleh dipercayai dan (10) guru kita sendiri, belum tentu benar.  Kebenarannya harus diuji, harus dibawa masuk bilik makmal terlebih dahulu.


Bagaimana kita boleh tahu bahawa kepercayaan itu betul atau salah? Bagaimana seandainya kepercayaan itu salah? Maka kita pun akan terikut mempercayai kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang salah akan membawa kita kepada kehidupan yang salah seumur hidup. Lumrahnya kepercayaan manusia sukar diubah. Oleh itu, sebelum tersalah langkah lebih jauh, ada baiknya kembali memperhitungkan kaedah pemikiran Buddha. 


Walaupun kita sedar apa yang kita percaya tidak mempunyai alasan-alasan yang konkrit, tetapi kita tetap percaya. Mempercayai sesuatu mengikut orang lain memungkinkan kita melakukan kesilapan. Oleh sebab itu, Buddha menasihati kita supaya tidak "mengikat diri" dengan mana-mana ideologi, dogma, atau kepercayaan sebelum dibuktikan kebenarannya. Kita perhitungkan dari semua segi, jikalau kita rasa membawa keburukan kita tinggalkan. Sebaliknya, jikalau kita rasa membawa kebaikan atau faedah, kita cuba praktiskan. Apabila hasilnya betul-betul membawa faedah barulah kita boleh percaya kebenarannya. Namun, faedahnya tidak terus menjelma. Kita mesti sabar dan tekun sehinggalah mencapai tahap tertinggi. 


Melalui kaedah Buddha, peluang kita melakukan kesilapan, iaitu berpegang pada kepercayaan yang salah amat tipis. Ini kerana kita telah membuktikan dengan diri kita sebelum menerimanya sebagai pegangan. Kaedah pemikiran Buddha membuka ruang bagi kita membebaskan fikiran. Kita berupaya berfikir dengan bebas, tidak terbatas atau dibatasi.  Fikiran begini akan melahirkan kebijaksanaan. 





No comments: