Thursday, September 15, 2011

Kaedah Berfikir Mengikut Buddha (2)

Agama Buddha menekankan kebijaksanaan fikiran dan tindakan. Namun ramai penganut agama Buddha yang mementingkan kepercayaan (Sattha) semata-mata tanpa menggunakan kebijaksanaan. Semua benda yang dilakukan sejak dahulu dikuti dan dipatuhi tanpa sebarang pertanyaan adakah benda tersebut betul atau salah? 


Kepercayaan tanpa kebijaksanaan akan jadi kepercayaan bodoh, kepercayaan sesat. Kita sangat pakar dalam upacara agama, tetapi begitu dangkal dengan kebijaksanaan yang dianjurkan Baginda Buddha. Kita tidak pernah kisah tentang kaedah pemikiran Buddha. Kita tidak pernah peduli tentang cara Baginda berfikir. Bagi kita bagaimana Buddha berfikir, tidak penting. Bagaimana Baginda berjaya keluar daripada kepompong pemikiran klasik India (Brahmana)  tidak pernah kita ambil berat. 


Kita hanya pentingkan Sanghadana, Kathina, upacara agama dan perkara remeh temeh kerana kita mahu ke syurga. Apabila ada orang minta derma bina Ubosot, Dewan Dhamma dan Chedi, tanpa pertimbangkan keperluannya, kita cepat-cepat bagi kerana kita telah dimomokkan bahawa derma itu bakal menjadikan kita jutawan masa depan atau pada kehidupan lain. Derma amat digalakkan tetapi harus bijak. Bagaimana kita boleh bijak jikalau pemikiran Buddha - pemikiran kebijaksanaan - tidak pernah kita ketahui. Buddha mementingkan pemikiran yang bijak. Layakkah kita mengaku putera atau puteri Buddha jikalau pemikiran Baginda tidak kita ketahui? 

Kita tahu apa itu Sila, Samadhi dan Panya. Kita dapat menyebutnya dengan betul. Akan tetapi berapa ramai antara kita yang mengamalkannya dan memahami maksud sebenar Sila, Samadhi dan Panya? Terdapat individu yang berpegang pada Sila, rajin duduk Samadhi, tetapi tidak ada Panya. Bertahun-tahun duduk Samadhi, tetapi Panya tidak juga membenih. Sebaliknya, terdapat individu yang berpegang pada Sila sekali-sekala dan jarang duduk Samadhi, tetapi mempunyai Panya yang tinggi. Dan terdapat juga individu yang mempunyai pengetahuan luas dalam agama Buddha, tetapi masih sesat. Mungkin ada akan berkata, Karma dan Parami setiap orang tidak sama. Hakikatnya, kita tidak ada Panya (kebijaksanaan) kerana kita mengabaikan pemikiran Buddha. 


Cuba bertanya kepada diri sendiri secara jujur, antara pemikiran Baginda Buddha dengan pemikiran Socrates, Descartes, Spinoza, Hegel, Darwin atau Freud, pemikiran siapa yang lebih kita kenali? Malang sungguh kita. Kita mengangkat ahli falsafah sebagai tokoh pemikir yang disanjungi pemikirannya. Sebaliknya, Baginda Buddha, pemikir terulung dunia, kita jadikan patung untuk disembah dalam upacara agama. Pemikiran Buddha yang terbukti benar kita simpan kemas di dalam almari. 


Pemikiran Buddha ialah pemikiran kebijaksanaan yang tidak terbelenggu. Apabila kita berjaya membebaskan pemikiran daripada kebelengguan dogma atau kepercayaan tertentu, barulah kita boleh mempelajari kebenaran yang sedia wujud di alam semesta. Kita belajar daripada alam semulajadi; daripada kebenaran yang sejati. Jikalau kita belajar daripada kitab atau orang, mungkin apa yang kita ketemui hanya pembohongan. 


Kebenaran sebenarnya sedia wujud untuk kita pelajari, untuk kita kenali dan kita amalkan. Lahir, tua, sakit dan mati ialah kebenaran. Tanah, air, angin dan api ialah kebenaran. Batu, kayu, pokok, gunung, awan dan hujan ialah kebenaran. Rupa, Vedana, Sanya, Sangkara dan Vinyan ialah kebenaran. Semuanya boleh kita pelajari dengan kebijaksanaan. 









No comments: