Sunday, September 4, 2011

Kilesa: Penyakit Semulajadi Manusia!


Kilesa 3 Kelompok: Raja Segala Kejahatan

Tugas paling penting bagi manusia ialah membersihkan Kilesa daripada hati.

Kilesa itu apa? Sejak bila Kilesa berada di dalam hati kita?

Kilesa ialah "kotoran batin" yang membikin hati kita tidak ceria, muram, sugul dan tidak suci. Kotoran batin ini mempengaruhi fikiran, percakapan dan perbuatan kita ke arah kejahatan.  Kilesa ialah "syaitan" yang sentiasa mencari peluang memusnahkan kehidupan kita. 

Dalam bidang perubatan, pakar mendapati bahawa terdapat penyakit bersembunyi di dalam tubuh setiap manusia sejak dilahirkan. Selepas dilahirkan, penyakit keturunan ini menunggu masa untuk "meletus", antaranya penyakit yang berpunca daripada hati, buah pinggang, usus, perut dan sebagainya. Penyakit ini bersembunyi di dalam DNA dan RNA. Jikalau tidak ditangani dengan betul, penyakit berbahaya ini akan meletus sehingga boleh menyebabkan kecacatan atau kematian.

Dalam agama Buddha, Baginda Buddha mendapati bahawa penyakit tubuh yang berbahaya, tidak sebahaya sejenis penyakit yang bersembunyi di dalam hati, tetapi pakar moden belum menjumpainya iaitu penyakit yang dipanggil Kilesa (kilet). 

Kilesa ialah sejenis penyakit yang sangat berbahaya yang sentiasa merangsang, memperdaya, memujuk atau memaksa manusia berfikir, bertutur dan berbuat jahat. Hasil kejahatan yang dilakukan tidak ke mana, melainkan berbalik semula sebagai syaitan jahat yang sentiasa mengekori untuk memusnahkan kita dari satu kehidupan ke satu kehidupan. 

Kanak-kanak yang baru dilahirkan dikatakan suci, namun hakikatnya terdapat benih Kilesa di dalam hatinya yang menunggu masa untuk bertindak. Apabila terdapat umpan, kita akan terpedaya sehingga melakukan sesuatu kejahatan.  Maka kita akan terus terdorong ke dalam lingkaran Karma yang memaksa kita menanggung dukkha seumur hidup. Selepas mati kita akan dilahirkan di neraka. Selepas keluar dari neraka, dilahirkan semula ke dunia, dukkha (kesengsaraan) belum habis. Kitaran kesengsaraan ini dinamakan Vatta Samsara yang akan berterusan tanpa penghujung. Puncanya ialah Kilesa. 


Buddha tahu dengan jelas bahawa selagi Kilesa di hati tidak dibersihkan kesemuanya, kesengsaraan akan berterusan. Sewaktu balasan Karma jahat memberi hasil, Kilesa mendorong hati membuat kejahatan baru. Kejahatan lama belum habis memberi hasil (kesengsaraan), kejahatan baru dilakukan lagi. Oleh sebab itulah manusia ditimpa kesengsaraan tanpa putus-putus. 


Untuk melepaskan diri daripada Vatta Samsara, seseorang itu mesti membersihkan hati daripada Kilesa. Kilesa sejenis penyakit di hati (minda)  yang lebih dahsyat daripada segala penyakit yang lain.


Baginda Buddha tahu benar tentang bahaya Kilesa ketika masih jadi Bodhisatta yang melangkaui  kehidupan yang panjang dalam Vatta Samsara. Baginda sedar kesengsaraan yang dialami Baginda kerana Kilesa. Kilesa memaksa Baginda berfikir, bercakap dan berbuat dalam perkara yang tidak baik. Namun, apa boleh buat kerana Baginda belum mengenali Kilesa dan cara-cara membersihkannya sehingga ke kehidupan terakhir apabila Baginda mencapai Pencerahan Sempurna. 


Setelah mencapai Pencerahan Sempurna. Baginda fokus kepada manusia sejagat dengan penuh kasih sayang dan belas kasihan untuk membebaskan mereka daripada kebelengguan kesengsaraan (dukkha). Baginda sedar Kilesa merupakan penyakit dahsyat yang mendatangkan segala "malapetaka" kepada umat manusia. Sekiranya penyakit ini dibersihkan dari hati, manusia akan mengecapi kebahagiaan yang sejati. Baginda begitu tekun dan sabar membantu manusia menyucikan hati. Oleh hal demikian, pada zaman Baginda, ramai yang berjaya menyucikan hati daripada Kilesa dan  mencapai Arahant.


Baginda mengajar umat manusia mengenali Kilesa yang terpendam di lubuk hati yang terdiri daripada 3 kelompok utama, iaitu:


1. Kilesa kelompok pertama dipanggil Lobha,


2. Kilesa kelompok kedua dipanggil Dosa,


3. Kilesa kelompok ketiga dipanggil Moha.


Lobha akan menyebabkan seseorang berfikir mahu mengambil barang orang lain dengan cara yang salah, misalnya merompak, mencuri, menyamun, menipu, memperdaya dan sebagainya.


Dosa akan menyebabkan seseorang berperasaan benci, marah dan dendam kepada orang lain dan berusaha menyusah atau memusnahkan orang tersebut. 


Moha akan menyebabkan seseorang berfikiran songsang atau keliru iaitu menganggap perkara yang salah sebagai betul, menganggap perkara yang betul sebagai salah;  apabila berfikirkan sesuatu lazimnya berfikir secara bodoh, tidak bersandarkan sebab musabab; ingat diri sangat hebat, orang lain tidak berguna; kepercayaan sendiri sahaja yang betul, kepercayaan orang lain salah; otak sendiri sahaja yang berkualiti, otak orang lain hampas belaka; dan sebagainya. 


Lobha Kilesa yang kasar dan mudah dilihat dan dikesan oleh orang lain. 


Dosa Kilesa pertengahan yang kadang-kadang tidak dapat dikesan oleh orang lain.


Dosa Kilesa halus yang sukar dilihat dan dikesan, termasuk oleh tuan punya diri.  Kilesa ini sangat sukar dibersihkan kerana kebanyakan orang tidak sedar dia mempunyai Kilesa ini. Contohnya, orang yang berpegang pada kepercayaan salah, tetapi menganggapnya betul, amat sukar untuk memperbetulkan pandangannya. Sikap "gila pahala" datang daripada Kilesa ini.


Baginda Buddha mengajar kita bahawa apabila kita membuat sesuatu, jangan buat dengan Kilesa. Orang masih mempunyai Kilesa, bagaimana mahu membuat sesuatu tanpa Kilesa? Buddha memberitahu setiap orang mempunyai Panya (kebijaksanaan) dan pertajamkan Panya tersebut. Apabila hendak membuat sesuatu, gunakanlah Panya kerana kuasa Panya mampu menolak Kilesa. Contohnya, apabila kita terfikir mahu memiliki sesuatu, gunakan Panya untuk berikhtiar mendapatkannya. Jangan menggunakan Kilesa (curi, rompak atau samun) bagi mendapatkannya. 


Batin kita tidak akan bersih daripada Kilesa selagi kita tidak mencapai Arahant. Namun, kita mampu menekan Kilesa tersebut supaya ia tidak "menjadi raja" sehingga menyusahkan kita. Orang-orang yang berbuat jahat kerana dia berajakan Kilesa. Orang-orang baik pula berajakan Panya!

No comments: