Sunday, September 11, 2011

Menggunakan Empat Keperluan Asas Dengan Bijak

Seorang pembaca KSB pernah bertanya kepada saya bahawa sebelum kita berbuat sesuatu, misalnya makan, apakah ayat-ayat yang mesti dibaca oleh penganut agama Buddha. Saya tidak pasti. Saya belum berjumpa dengan ayat-ayat berkenaan. Cuma yang saya pasti, Buddha minta penganutnya, khasnya para bhikkhu supaya "berbicara dengan teliti" sebelum berbuat sesuatu, khususnya semasa menggunakan empat keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan. 


Lazimnya bhikkhu akan baca Patisangkhayo ... sebelum makan dan baca Atthamaya ... selepas makan. Bacaan ini sebenarnya ialah "peringatan" kepada diri sendiri tentang makanan yang dimakan dan tujuan memakan makanan tersebut. Bhikkhu mesti makan dengan penuh kesedaran dan tidak sesat dalam pemakanan. Begitu juga dengan pakaian, tempat kediaman dan ubat-ubatan. 


Pakaian


Bhikkhu mesti berbicara dengan teliti sebelum berpakaian (chivorn). Pakaian digunakan untuk melindungi badan daripada cuaca (sejuk atau panas), tiupan angin, gigitan serangga, abuk atau kotoran. 




Makanan


Bhikkhu mesti berbicara dengan teliti sebelum makan. Makan sekadar untuk menghilangkan lapar, melangsungkan kehidupan, mengekalkan tenaga badan bagi mengamalkan Dhamma vinai sehingga mencapai Nirvana. Makan mesti sederhana iaitu tidak terlalu kenyang. Makan terlalu kenyang menyebabkan badan tidak selesa, mengantuk dan mungkin mengundang penyakit.


Tempat Tinggal


Bhikkhu mesti berbicara dengan teliti sebelum menggunakan tempat tinggal. Tempat tinggal untuk melindungi diri daripada cuaca (hujan, angin dan matahari), bencana alam, gigitan serangga, binatang buas dan penyakit yang merebak akibat peralihan musim. (Bagi orang biasa, tempat tinggal melindungi diri daripada penjahat).  


Ubat-ubatan


Bhikkhu mesti berbicara dengan teliti sebelum mengambil ubat-ubatan. Ubat-ubatan digunakannya untuk mengubati penyakit sedia ada, menghilangkan kesakitan dan mencegah supaya tidak menghidap penyakit baru.


Menggunakan empat keperluan asas ini dengan betul boleh menghapuskan Asava (Kilesa degil yang terperap di lubuk hati). Oleh sebab itulah, para bhikkhu diwajibkan "berbicara dengan teliti" sebelum menggunakan empat keperluan asas. 


Penganut agama Buddha sepatutnya mengambil pendekatan yang sama bagi menjalani kehidupan yang sihat, sederhana dan betul mengikut ajaran Buddha. Kita mesti "berbicara dengan teliti" supaya kita tidak sesat dalam berpakaian, pemakanan, menggunakan kediaman dan mengambil ubat-ubatan. 


Malangnya apa yang berlaku ialah sebaliknya. Kita berpakaian mahal-mahal kerana ingin bermegah, menunjuk-nunjuk, berlagak dan sebagainya. Kita makan berlebihan, makanan tidak seimbang, terlalu mementingkan kesedapan sehingga menghidap masalah obesiti dan pelbagai penyakit. Kebanyakan penyakit berbahaya berpunca dari perut (makanan). Begitu juga dengan tempat kediaman yang begitu mewah. Tidak kurang pula yang bertengkar kerana berebut rumah tinggalan ibu bapa. Ubat-ubatan pula disalah guna. Makan ubat untuk kelihatan cantik, menawan, kurus dan sebagainya. Ramai juga yang ketagih ubat batuk. 


Penyalahgunaan ini, sedar atau tidak telah menambahkan Kilesa di hati kita. Masakan tidaknya, kita menggunakan keperluan asas untuk memenuhi kehendak Kilesa. Dunia hari ini dipenuhi dengan manusia yang berlumba Kilesa. Kita sebagai penganut agama Buddha sepatutnya tidak menyertai perlumbaan ini.


Empat keperluan asas sangat penting bagi melangsungkan kehidupan, tetapi penyalahgunaannya boleh menyuburkan Kilesa dan menimbulkan pelbagai masalah lain yang berkaitan. 






No comments: