Sunday, September 25, 2011

Metta: Telepati Cinta Kasih

Metta  merupakan istilah Pali yang mencakupi ruang yang luas. Metta boleh  membawa erti cinta kasih; kasih sayang; berniat yang baik bagi menambahkan kebahagiaan atau kemajuan tanpa perasaan benci; mempunyai pertalian persahabatan yang ikhlas.; dan sebagainya. Oleh itu, "Phe Metta" (แผ่เมตตา) bermaksud "menghantar metta" atau "mengembangkan metta" kepada orang lain, Devada atau haiwan dengan niat yang baik agar mereka mengecapi kebahagiaan dan kemajuan dalam kehidupan. 


Proses "menghantar metta" ini melibatkan arus fikiran dan proses telepati (telepathy). Telepati bermaksud perpindahan apa yang difikirkan daripada seseorang kepada seseorang yang lain yang berjauhan (tanpa menggunakan alat pancaindera). Telepati juga bermaksud ilmu perhubungan rohani dengan seseorang lain yang jauh. Penghantaran arus fikiran ini berbentuk gelombang (gelombang otak) umpama penghantaran gelombang radio, tetapi tidak memerlukan alat pemancar, melainkan kuasa minda semata-mata. 


Gelombang otak ialah organ elektronik. Hasil kajian mendapati bahawa otak dapat menjana hingga 10 watt kuasa elektrik. Gelombang otak terbahagi kepada empat peringkat (beta, alfa, theta dan delta) yang berlainan dari segi fungsi dan kegiatan otak (minda). 


Saya membahagikan minda kepada 3 jenis iaitu minda sedar,  minda separa sedar dan minda super sedar. Minda sedar berfungsi dalam alam fizikal yang mana pancaindera banyak memainkan peranan. Minda sedar dikawal oleh pancaindera iaitu penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan. Minda sedar hanya melibatkan alam fizikal dan alam nyata, oleh itu kuasanya terhad kerana dibatasi oleh ruang dan masa. 


Minda separa sedar bertugas mengawal segala aktiviti organ dan tisu badan secara semulajadi tanpa kita sedari. Aktivitinya melibatkan fikiran, perasaan, emosi dan sebagainya. Minda separa sedar menjalankan tugas melalui aktiviti denyutan jantung, pernafasan, peredaran darah, sistem percernaan dan sebagainya. Aktiviti minda separa sedar lazimnya dijalankan secara terlatih dan tidak kita sedari. Minda separa sedar berfungsi sehingga 90% daripada minda kita berbanding 10% minda sedar. 


Minda super sedar ialah minda yang terhasil daripada ketenangan jiwa. Minda super ialah minda yang tenang dan suci yang bebas daripada kilesa. Minda super mempunyai beberapa tahap bergantung pada ketenangan dan kesuciannya. Setakat berfikiran positif dan mampu menghasilkan kerja-kerja yang hebat belum boleh dikatakan minda super. Minda super tidak "bekerja" kerana ia berfungsi melalui niat atau "Athithan Citta".  Untuk mendapatkan hasil yang cemerlang dalam proses telepati mesti melibatkan minda super. 


Minda yang suci, minda Buddha atau Ariya Bhikkhu misalnya berupaya menghantar arus fikiran ke mana-mana sahaja yang dikehendaki. Manakala dua individu yang mempunyai minda yang suci boleh berinteraksi dari tempat yang berjauhan. Minda yang suci juga boleh membaca fikiran orang lain. Dalam kitab Tipitaka, terdapat banyak kisah interaksi melalui minda suci ini. Setiap pagi, Baginda Buddha akan "melihat dunia" dengan minda suci bagi mencari manusia yang akan diberikan Dhamma pada hari tersebut. Sesetengah orang menggunakan istilah "mata hati" bagi menggantikan penglihatan melalui minda. Istilah apa tidak penting asalkan kita faham maksudnya. 


Proses telepati ini telah dibuktikan melalui sains bahawa ia berkesan untuk mempengaruhi fikiran orang lain. Orang yang selalu berdampingan dengan individu jahat akan menjadi jahat kerana dipengaruhi arus fikiran yang jahat (negatif). Manakala orang yang berkawan dengan orang baik akan menjadi baik kerana dipengaruhi arus fikiran yang baik (positif). Buddha mengajar kita sentiasa berkawan dengan orang baik. Baginda juga mengajar kita agar selalu mengembangkan perasaan kasih sayang tanpa mengira sempadan. Salah satu cara mengembangkan perasaan kasih sayang ialah dengan "phe metta". 


Oleh itu, adalah penting bagi kita yang selalu "phe metta" mengetahui cara-cara yang betul melakukannya supaya fikiran kita (metta) boleh sampai ke sasaran.  Di sini saya menggunakan istilah "mengembangkan metta" untuk menggantikan "phe metta". Mengembangkan metta ini tidak seperti memanah yang anak panahnya meluncur ke satu arah sahaja. Akan tetapi mengembangkan metta melibatkan semua arah secara serentak kerana metta akan tersebar ke semua arah tanpa batasan.


Mengembangkan metta harus dilakukan kepada diri sendiri terlebih dahulu. Maksudnya kita mesti mempunyai nait baik terhadap diri sendiri terlebih dahulu. Kita mesti mempunyai perasaan sayang kepada diri sendiri, berusaha mengecapai kebahagiaan dengan meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan dan berfikiran positif. Perasaan dengki dan dendam mesti dibuang daripada hati. Perasaan tamak (lobha), marah (dosa) dan sesat (moha) mesti dikikis daripada hati. Pendek kata kita mesti mempunyai perasaan metta kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum dikembangkannya kepada orang lain.


Jikalau hati kita dipenuhi dengan tamak, marah, dengki, dendam dan sebagainya bagaimana perasaan cinta kasih (metta) akan wujud?  Jikalau wujud sekalipun, itu cinta kasih yang palsu, bukan cinta kasih yang sebenar. Cinta kasih yang meluncur keluar dari mulut yang terhasil daripada lidah yang tidak bertulang, bukan cinta kasih yang mengalir dari sekeping hati yang luhur. 


Kita akan mengembagkan metta dalam setiap upacara agama. Untuk mendapat hasil yang baik, hati kita mesti ada perasaan metta. Jikalau hati tidak ada metta, maka perbuatan kita akan sia-sia. Kita hanya "hantar" omong kosong kepada segala makhluk yang kita anggap sebagai sahabat sesama insan yang berkongsi kesengsaraan akibat lahir, tua, sakit dan mati. Sahabat-sahabat yang menunggu metta daripada kita pasti kecewa kerana mereka tidak terima apa-apa melainkan omong kosong. Bahkan keadaan akan menjadi lebih parah sekiranya perasaan hasad dengki, cemburu, dendam, pentingkan diri, tamak, marah, sesat yang bersarang di hati kita yang diterima  oleh sahabat-sahabat kita daripada proses telepati yang kita lakukan. Kita mengembangkan metta, tetapi mereka terima perasaan negatif kerana hati kita dipenuhi dengan perasaan negatif. 


Sebelum mengembangkan metta, pastikan hati kita tenang. Fikirkan perkara-perkara yang positif agar perasaan negatif menjadi lemah. Apabila perasaan positif menjadi dominan dengan hati yang tenang, metta kita mudah sampai ke sasaran. Berusaha mengembangkan metta setiap hari, setiap masa dan ketika. Kedengarannya seperti pelik, tetapi itulah hakikatnya. Kita mesti mengembangkan metta setiap kali hati berasa lapang, sama ada sewaktu kita berdiri, duduk, berjalan, berbaring, memandu kereta, minum kopi, berehat, dan sebagainya. Kepada mereka yang rajin duduk meditasi, itulah masa terbaik mengembangkan metta kerana ketika itu hati sangat tenang. 


Metta ini tidak terhad kepada manusia yang kita kenali, saudara mara atau sahabat handai. Manusia lain yang tidak dikenali, musuh kita, binatang, dewa-dewi dan makhluk lain juga mesti dikembangkan metta. 


Metta ini tidak cukup hanya dengan proses telepati sahaja kerana minda kita belum mencapai tahap minda super seperti Buddha dan Ariya Sangha. 


Minda kita belum cukup terlatih. Proses telepati mungkin tidak mencapai sasaran sepenuhnya sebagaimana dihajatkan. Oleh itu, kita juga mesti melakukannya dengan pertuturan dan perbuatan. Maksudnya, pada masa kita mengembangkan metta melalui proses telepati, kita mesti mengelakkan pertuturan yang menyakiti hati dan perbuatan yang menyusahkan orang lain (makhluk lain). Tidak munasabah selepas upacara mengembangkan metta (sabbe satta....), kita memaki orang atau menendang kucing yang melintas di depan kita. Kita tidak boleh hipokrit. Hati mahu berkongsi kebahagiaan dan cinta kasih dengan orang lain, tetapi pertuturan dan perbuatan kita dipenuhi hasad dengki, dendam, kejam, khianat dan pentingkan diri. Hati, mulut dan tingkah laku mesti selari. Jangan depan kata sayang, belakang kata benci. 


Perbuatan mengembangkan metta merupakan sejenis Kammathana yang boleh membikin hati tenang dan tenteram. Oleh itu, berlatih diri mengembangkan metta setiap hari kepada semua makhluk tanpa batasan ideologi, keturunan, agama, bahasa dan budaya dengan hati yang terbuka dan ikhlas. 




คำแผ่เมตตาให้แก่ตนเอง

อะหัง สุขิโต โหมิ
ขอให้ข้าพเจ้า จงเป็นผู้มีความสุขเถิด

อะหัง นิททุกโข โหมิ
ขอให้ข้าพเจ้า จงเป็นผู้ไม่มีความทุกข์

อะหัง อะเวโร โหมิ
ขอให้ข้าพเจ้า จงเป็นผู้ไม่มีเวร

อะหัง อัพยาปัชโฌ โหมิ
ขอให้ข้าพเจ้า จงเป็นผู้ไม่มีความพยาบาทเบียดเบียน

อะหัง อะนีโฆ โหมิ
ขอให้ข้าพเจ้า จงเป็นผู้ไม่มีความทุกข์กายทุกข์ใจ

สุขี อัตตานัง ปะริหะรามิฯ
ขอให้ข้าพเจ้า จงมีความสุขกายสุขใจ รักษาตนให้พ้นจากทุกข์ภัยทั้งสิ้นเทอญฯ


คำแผ่เมตตาให้แก่สรรพสัตว์

สัพเพ สัตตา อะเวรา โหนตุ
สัตว์ทั้งหลายที่เป็นเพื่อนทุกข์ เกิด แก่ เจ็บ ตาย ด้วยกันทั้งหมดทั้งสิ้น
จงเป็นสุขๆ เถิด อย่าได้มีเวรแก่กันและกันเลย

อัพญาปัชฌา โหนตุ
จงเป็นสุขๆ เถิด อย่าได้พยาบาทเบียดเบียนซึ่งกันและกันเลย

อะนีฆา โหนตุ
จงเป็นสุขๆ เถิด อย่าได้มีความทุกข์กาย ทุกข์ใจเลย

สุขี อัตตานัง ปะริหะรันตุฯ
จงมีความสุขกาย สุขใจ รักษาตนให้พ้นจากทุกข์ภัยทั้งสิ้นนี้เทอญฯ

....................................................





No comments: