Thursday, September 8, 2011

Parachik: Pemusnah Masyarakat Dalam Senyap!

Parachik (Parajika)


Sangha mempunyai Sila 227. Parachik ialah kesalahan yang utama. Istilah Parachik diandaikan bermaksud  "yang tewas", iaitu merujuk kepada "orang yang tewas" kepada kehidupan bhikkhu dalam agama Buddha. 


Parachik merupakan kesalahan Vinaya yang paling berat. Semua bhikkhu, tidak terkecuali, jikalau melakukan kesalahan Parachik secara automatik akan terputus daripada kehidupan bhikkhu. Dia telah hilang kelayakan untuk menjadi bhikkhu lagi. Walaupun masih dalam kain kuning atau masih mengamalkan kehiduapn seperti bhikkhu lain, bhikkhu yang sedar bahawa dia telah kena Parachik, dia mesti segera "la sikkha" keluar daripada kehidupan bhikkhu. Dia sudah tertewas dalam perjuangan menuju Arahant. Dia mesti keluar. Sekiranya dia berdegil, masih mahu jadi bhikkhu, dengan niat mahu menipu dan memperdaya orang ramai, dia bakal menanggung dosa yang berat.

Kesalahan Parachik ada 4, iaitu:

(1) Bersetubuh, (2) Mencuri, (3) Membunuh manusia dan (4) Berlagak "Uttarik Manussatham".

1. Bersetubuh dengan wanita, lelaki atau dengan haiwan dengan sengaja.

2. Mencuri bermaksud mengambil barang orang lain untuk dijadikan hak milik sendiri dengan sengaja. Di Thailand ditetapkan barang tersebut mempunyai nilai atau harga 1 bath ke atas. Perbuatan mengambil atau mengaku hasil karya orang lain (harta intelek) sebagai karya milik sendiri juga dikategorikan sebagai Parachik. Perbuatan mengambil atau menjadikan hak milik sendiri "duit atau harta milik Sangha (milik bersama)" yang disedekah oleh masyarakat juga Parachik.

3. Membunuh manusia dengan sengaja, menyuruh atau mengupah orang lain membunuh manusia adalah Parachik. Menyokong pembunuhan manusia juga Parachik.

4. Berlagak "Uttarik manussatham" di sini merujuk kepada perbuatan "berlagak bahawa dia telah mencapai tahap Dhamma yang tinggi" misalnya tahap Ariya; Sodaban, Sakadagami, Anagami atau Arahant sedangkan hakikatnya tidak begitu. Berlagak bahawa dia mampu melihat kehidupan yang lepas dan kehidupan akan datang juga Parachik. Berlagak bahawa dia tahu seseorang itu dalam kehidupan lepasnya menjadi binatang, manusia atau Devada termasuk dalam kategori ini.

"Uttarik Manussatham / Uttarik Manussayatham" bermaksud "Dhamma bagi manusia istimewa" yang manusia biasa tidak mungkin mengetahuinya. Manusia istimewa di sini merujuk kepada pengamal Dhamma vinai yang mempunyai tahap minda yang tinggi. Uttarik Manussatham merujuk pada Jhana, Vimokha, Samadhi, Samabat, Mark (Magga), Phon (Phala) dan Nibbana.

Bhikkhu dengan sengaja memperdaya sehingga orang lain percaya bahawa dia mencapai Dhamma tahap tinggi, mencapai Vimokha, Samadhi, Samabat, Vijja 3, Apinya 6, Magga, Phala sedangkan hakikatnya dia belum mencapainya.  Hukumnya adalah Parachik. Bhikkhu aliran Samadhi Pavana yang "gila kuasa supernatural" selalu terkena Parachik jenis ini. Dia suka berlagak (berbohong) bahawa dia mencapai Dhamma tahap istimewa (supernatural) untuk menarik minat orang ramai.

Sekarang "uttarik" juga diterima pakai terhadap bhikkhu yang suka berbangga diri lebih hebat daripada bhikkhu lain, atau suka membuat sesuatu yang pelik-pelik yang orang lain tidak buat.

Kesalahan Parachik walaupun hanya satu daripada 4, menyebabkan bhikkhu tersebut telah hilang kelayakan menjalani kehidupan sebagai bhikkhu. Dia menjadi individu yang tewas. Dalam maksud lain bhikkhu tersebut telah putus dari alam bhikkhu. Jika dia masih jadi bhikkhu, kedudukannya tidak sah.

Kenapa saya tulis tentang Parachik?

Saya tidak tulis untuk bacaan bhikkhu kerana semua bhikkhu tahu tentang hukum Parachik. Saya tulis untuk bacaan orang ramai yang belum tahu. Parachik sangat penting kepada masyarakat kita. Apabila bhikkhu Parachik menyertai sesuatu upacara agama, upacara tersebut tidak sah. Pada zaman Buddha dahulu, Buddha tidak masuk Ubosot selagi ada "bhikkhu hanyir" di dalamnya. Ini hanya bhikkhu hanyir, bukan bhikkhu Parachik, Buddha sudah tidak sudi masuk Ubosot bersama. Bayangkan apabila ada bhikkhu Parachik.

Seorang pemuda yang mahu Upasombot jadi bhikkhu, tetapi Upaccha (Upaccaya) Parachik, upacara Upasombot masuk bhikkhu tersebut tidak sah. Begitu juga apabila dalam upacara Upasombot, terdapat salah seorang bhikkhu yang menyertai upacara tersebut Parachik, maka upacara itu pun tidak sah. Pemuda jadi bhikkhu haram. Walaupun bukan kesalahannya, tetapi dia tetap jadi bhikkhu haram kerana Upasombotnya tidak sah.

Sebagaimana yang kita maklum, masyarakat Siam dan agama Buddha begitu kaya dengan adat dan upacara keagamaan yang melibatkan bhikkhu. Bhikkhu Parachik bakal memusnahkan upacara tersebut; mengotorkan kesucian adat dan agama. Pada masa dahulu, bhikkhu Parachik yang berdegil akan dihalau keluar dari wat oleh orang kampung kerana tidak mahu wat menjadi kotor.

Masalahnya kita manusia biasa tidak dapat mengenali bhikkhu Parachik kerana tiada sebarang tanda di dahi atau di muka. Pada zaman materialistik, manusia gila akan kekayaan. Tidak mustahil bhikkhu yang telah terkena Parachik berdegil tidak mahu keluar daripada bhikkhu kerana sayang kepada peluang "kumpul harta" di dalam wat.

Parachik Nombor 2 iaitu Mencuri begitu mudah memerangkap bhikkhu yang tamak. Orang ramai biasanya apabila menyedekah atau menderma duit, akan menderma atas nama Sangha (kumpulan bhikkhu). Maka duit itu milik Sangha (milik bersama bhikkhu). Sekiranya seseorang bhikkhu menggunakan duit tersebut untuk kegunaan sendiri, maka bhikkhu itu akan terkena hukum Parachik. Dalam sesebuah wat, terdapat banyak harta atau duit yang menjadi hak milik Sangha. Oleh itu, setiap bhikkhu, terutama Ketua Bhikkhu harus berhati-hati agar tidak memakainya untuk kegunaan peribadi. Ketua Bhikkhu yang baik sama sekali tidak mahu pegang atau simpan duit Sangha bagi mengelakkan penyalahgunaan duit tersebut.

 Di sesetengah wat, Ketua Bhikkhu memegang atau menyimpan duit Sangha. Ini sangat berbahaya. Tersilap langkah, boleh terjerumus kepada Parachik. 



Bhikkhu Malaysia yang membawa masuk barang dari Thailand harus berjaga-jaga. Barang yang dibawa masuk dengan cara tidak sah, iaitu mengelak daripada dikenakan cukai, sama tarafnya dengan barang curi. Hukumnya Parachik. 


Bhikkhu yang berdegil tidak mahu keluar dari bhikkhu walaupun sedar diri sudah Parachik berdosa besar. Orang kampung turut menjadi mangsa kerana terpaksa menyembah dan memuja bhikkhu Parachik. Oleh itu, orang kampung jangan ingat soal Parachik soal bhikkhu semata-mata. Bukan soal orang kampung. Anggapan begitu tersilap besar. Bhikkhu Parachik, sudahlah tidak boleh jadi "sawah pahala" akan menyebabkan banyak upacaya keagamaan tercemar atau tidak sah.


2 comments:

Anonymous said...

Paracik tak takut, yang takut para yang tidak ada ikan dan limau nipis tak sedap dimakan.

Anonymous said...

Parachik umpama harimau kertas menakutkan lembu. Tak hairanlah bila ada cakap-cakap phra phuyai di Malaysia ada yang parachik.