Friday, September 23, 2011

Pembaharuan Atau Pemesongan Ajaran Buddha?


Agama Buddha yang asal tidak ada ajaran tentang Citta atau Vinyan (Roh) manusia yang berupaya keluar dari tubuh yang telah mati, kemudian dilahirkan di dalam tubuh yang baru; tentang syurga di langit, neraka di bawah tanah; tentang hantu, Dewa, Puteri Kayangan, tentang benda-benda yang saksit, dan upacara agama sebagaimana yang dipercayai penganut agama Buddha masa kini.

Perkara-perkara ini merupakan ajaran agama Brahmana yang menyelinap masuk ke dalam ajaran agama Buddha tanpa disedari penganut agama Buddha. Penyelinapan masuk ini sebenarnya dibawa masuk oleh Bhikkhu agama Buddha sendiri.

Zaman pemerintahan Maharaja Asoka (Tahun Buddhis 270 - 311) merupakan zaman kegemilangan agama Buddha. Baginda merupakan penaung agama Buddha dan memainkan peranan penting dalam penyebaran agamna Buddha ke dunia luar.

Selepas berakhirnya pemerintahan Maharaja Asoka, India mengalami pergolakan akibat perebutan kuasa. Agama Brahmana kembali kuat. Pengikut Brahmana mengambil kesempatan membalas dendam terhadap agama Buddha. Mereka membakar Vihara dan membunuh para Bhikkhu.

Para Bhikkhu terpaksa mencari jalan melakukan pembaharuan terhadap agama Buddha bagi mengambil hati pengikut Brahmana. Jikalau dimusuhi terus menerus, agama Buddha akan hancur kerana pengikut Brahmana lebih ramai.

Kebetulan terdapat seorang ahli falsafah, penyair dan pemidato yang hebat bernama Bhikkhu Asvaghosa, beliau sedar sekiranya tidak dilakukan apa-apa, agama Buddha akan hancur. Beliau seorang Brahmana, kemudian menjadi Bhikkhu dalam agama Buddha.

Asvaghosa lahir dalam keluarga Brahmana pada abad ke-6 BE (Buddhis Era) di Saket (Ayodhya). Beliau belajar kitab Brahmana sehingga mahir. Beliau mengembara sambil berpidato memperkenalkan ajaran Brahmana di Magadha (tengah India). Beliau juga suka berdebat dengan Bhikkhu agama Buddha bagi menunjukkan kehebatan ajaran Brahmana.

Pada suatu hari, seorang Bhikkhu Maha Thera dari Utara India datang ke Magadha. Apabila mengetahui Asvaghosa yang suka berdebat dengan Bhikkhu Buddha, Maha Thera pun mencabar Asvaghosa berdebat. Asvagosa bersetuju. Kerana begitu yakin dengan kemahirannya, beliau rela dipotong lidah sekiranya kalah dalam perdebatan dengan Bhikkhu Maha Thera. Selepas berdebat, Asvaghosa kalah. Bhikkhu Maha Thera tidak berniat mencederakan sesiapa lalu sebagai gantiannya minta Asvaghosa menjadi Bhikkhu dalam agama Buddha. Setelah menjadi Bhikkhu, Asvaghosa mempelajari Dhamma-vinai sehingga mahir. Beliau berpidato ke seluruh India. Pidato beliau sangat merdu dan disukai ramai. Kemasyuran beliau tersebar sehingga ke dalam istana.

Beliau menghasilkan banyak karya, tetapi terdapat 2 karya yang terkenal iaitu "Buddha Carita" yang mengesahkan sejarah kehidupan Buddha sejak lahir, Trassaru hingga Parinibbana dan satu lagi berkenaan "Kisah Bhikkhu Nanda", adik kepada Buddha. Sebahagian karya beliau telah hilang dan kebanyakannya yang masih ada diterima pakai dalam mazhab Mahayana. Beliau dianggap sebagai Bodhisatta oleh Mahayana. Aliran Zen menganggap beliau Guru ke-12. Beliau juga memperkenalkan cara menyampaikan khutbah Dhamma yang disertai alat muzik kerana beliau seorang penggiat seni muzik.

Oleh sebab beliau seorang karyawan, apabila berlaku "pengsengketaan" dengan golongan Brahmana, beliau menggunakan pendekatan lembut dan bertoleransi.

Dalam karya "Buddha Carita", beliau memulakan penulisan dengan kisah Putera Siddharta ialah Devada di syurga Dusit (syurga Brahmana). Siddharta dijemput untuk menjelma ke dunia sebagai manusia (Buddha) untuk mengajar umat manusia di dunia.

Selepas mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru), Buddha seolah-olah berputus semangat untuk mengajar umat manusia kerana Dhamma yang didapati melalui Pencerahan Sempurna sangat rumit dan sukar difahami. Akibatnya, Baginda bertekad untuk Parinibbana (mangkat). Brahma (Phra Phrom) mengetahui keadaan tersebut lalu turun dari syurga untuk menghadap Buddha. Brahma mohon Buddha tidak Parinibbana, sebaliknya memberi kasih sayang kepada umat manusia dengan mengajar Dhamma kepada mereka kerana masih ada manusia yang mampu memahami Dhamma Buddha. Buddha bersetuju dengan permohonan Brahma untuk terus hidup. Baginda mengajar umat manusia selama 45 tahun sebelum Parinibbana. (Dari sinilah datangnya tradisi aratana Dhamma yang berbunyi "Phromma ca loka tipati ....)

Berlandaskan sejarah Buddha ini jugalah, Bhikkhu Asvaghosa mencipta cerita Jataka (Chadok) yang mengisahkan Bodhisatta (Buddha) telah mengalami "kitaran hidup" (hidup-mati-hidup-mati) beratus-ratus kali. Dalam setiap kehidupan, Baginda membuat kebaikan demi kebaikan (Paramitta) sehingga kehidupan terakhir berjaya mencapai Pencerahan Sempurna dan menjadi Buddha. Bodhisatta Buddha digambarkan seolah-olah mempunyai "Vinyan Atta" yang sama yang lahir, hidup dan mati berarus-ratus kehidupan sebagai manusia, Devata dan Brahma.

Asvaghosa telah menukar konsep Anatta yang merupakan teras agama Buddha kepada konsep Atta iaitu Vinyan (Roh) kekal abadi yang mengalami proses "kitaran hidup" seperti yang terdapat dalam kepercayaan Brahmana. Begitu juga dengan konsep Karma Buddha yang dipesongkan kepada konsep Karma Brahmana. (Buddhadasa Bhikkhu pernah mengingatkan kaum Buddhis supaya tidak terperangkap dengan konsep Karma Brahmana yang diajarkan oleh beberapa Acarn Vipassana di Thailand.)

Pembaharuan yang dilakukan Asvaghosa ini membolehkan agama Buddha dan Brahmana tinggal bersama dengan aman sepanjang ratusan tahun.

Malahan agama Buddha yang baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan Brahmana. Asvaghosa juga memasukkan moraliti dalam cerita Jataka dengan mengisahkan balasan perbuatan baik, perbuatan jahat; neraka dan syurga; membikin orang tidak berani buat jahat kerana takut kepada neraka; sebaliknya mereka mahu pergi syurga dengan membuat kebaikan (tambun) mengikut cara Brahmana. Keadaan ini sangat menggembirakan golongan Brahmana.

Oleh sebab itulah, Putera Siddharta yang berasal dari syurga di langit, konsep kitaran hidup Brahmana yang melibatkan "Vinyan" Atta, konsep Karma Brahmana, neraka di bawah tanah dan syurga di atas langit ada dalam agama Buddha hingga ke hari ini.

Pembaharuan yang memesongkan ajaran Buddha, jikalau dilihat dengan hati terbuka berdasarkan situasi ketika itu, kita rasa simpati, bahkan berterima kasih kepada Asvaghosa yang terpaksa berbuat begitu demi survival dan masa depan agama Buddha.

Pada masa berikutnya, terdapat usaha menulis ajaran Buddha ke dalam daun lontar yang dilakukan di Sri Lanka. Hasil penulisan tersebut dinamakan Tipitaka. Ajaran pembaharuan yang dilakukan oleh Bhikkhu Asvaghosa turut tertulis di dalam Tipitaka. Apabila Sukhothai (zaman Raja Ram Kamheng) menerima agama Buddha dari Sri Lanka, maka Tipitaka bahasa Pali dari Sri Lanka yang ada konsep "kitaran hidup" berbentuk Atta yang bercanggah dengan konsep Anatta turut masuk ke Thailand.

Walau bagaimana pun, Asvaghosa cuma memasukkan konsep baru iaitu "kitaran hidup" yang melibatkan Vinyan abadi dan beberapa perkara berkaitan neraka - syurga seperti dalam kepercayaan Brahmana, tetapi beliau tidak membuang ajaran asal Buddha. Ajaran asal Buddha tidak hilang atau berkurangan, tetapi "dibungkus" oleh ajaran pembaharuan. Jadi, penganut agama Buddha yang bijak mesti memecahkan bungkusan tersebut bagi melihat ajaran asal Buddha.

Jikalau kita buang bungkusan yang berupa konsep "kitaran hidup", Karma Brahmana dan neraka - syurga daripada kitab Tipitaka yang diterima dari Sri Lanka, kita akan jumpa dengan ajaran asal Buddha yang berkonsepkan Anatta.

Sekiranya tiada Bhikkhu Asvaghosa yang membuat pembaharuan terhadap ajaran Buddha, mungkin agama Buddha telah lama hancur dan tidak sampai kepada kita seperti hari ini. Oleh itu, kita harus mengenang budi beliau dari sudut ini.

Pada masa berikutnya, ajaran Asvaghosa telah dihalau keluar dari India dan pergi bertapak di Sri Lanka dengan nama Saravasati Vatin. Selepas era Asvaghosa, agama Buddha di India mula berpecah kepada beberapa aliran. Misalnya, Asankha menubuhkan aliran Vinyanavada atau Yogacara (Mahayana). Aliran ini cuma nama sahaja berbau agama Buddha, tetapi menggunakan ajaran Brahmana menyebabakan golongan Brahmana sangat menyukainya. Aliran Buddhatantra atau Vajrayana, Bhikkhu boleh beristeri. Aliran ini percaya bahawa semakin banyak melakukan persetubuhan, semakin cepat mencapai Nirvana. Dan banyak lagi aliran baru yang lahir tetapi tidak lama. Masyarakat naik bosan lalu hilang ditelan zaman.

Aliran Saravassati Vatin yang ditubuhkan Asvaghosa sendiri terpaksa bergerak ke selatan India dan bertapak di Sri Lanka, kemudian tersebar ke Burma, Thailand, Kemboja dan Laos atas nama Theravada atau Hinayana. Namun, keasliannya telah tercemar kerana telah membuang konsep Anatta, sebaliknya mempercayai neraka, syurga, dewa-dewi dan sebagainya.

Selepas zaman Asvaghosa, terdapat satu aliran agama Buddha yang menjadi perhatian iaitu aliran Sunyata. Aliran ini diasaskan oleh Nagarjuna (Nagarachun). Aliran ini berusaha mengajar konsep asal agama Buddha iaitu konsep Anatta yang bebas daripada Vinyan abadi dalam "kitaran hidup" atau neraka dan syurga Brahmana. Akibatnya golongan Brahmana tidak berpuas hati. Mereka hantar orang datang membunuh murid kanan Nagarajuna. Keadaan ini memaksa Nagarjuna mengubah ajarannya dan menukar nama baru alirannya sebagai aliran Madhayamika. Kemudian beliau berundur ke Utara India. Oleh sebab aliran ini maju di utara, maka ia juga dipanggil Aliran Utara. Pada masa berikutnya aliran ini tersebar ke Tibet, China, Korea, dan Jepun yang sekarang ini dikenali sebagai aliran Zen.

Manakala aliran Yogacara yang mengambil (ciplak) ajaran Brahmana turut tersebar ke China, Korea, Jepun, dan Tibet yang dikenali sebagai Mahayana. Di Malaysia Mahayana aliran Amitabha sangat popular. Aliran ini mempercayai "Buddha" berada di syurga yang berkuasa mencipta dan menjaga dunia sebagaimana Tuhan dalam agama Brahmana.

Pembaharuan ajaran Buddha yang telah memesongkan teras ajaran iaitu konsep Anatta memberi kesan yang besar terhadap pemahaman agama Buddha. Sehingga ke hari ini masih ramai yang terkeliru dan mempercayai konsep "kitaran hidup" Vinyan Atta dan neraka - syurga Brahmana. Namun, bagi penganut yang bijak, mereka mampu membezakan yang tulen daripada yang tidak tulen. Anda bagaimana?













No comments: