Friday, September 16, 2011

Sutta Untuk Orang Sakit


Di tempat kita apabila ada orang sakit tenat, kita menjemput Sangha (Phra Song) datang ke rumah untuk membuat upacara "menyambung usia". Lazimnya Sangha akan suat (chanting) Avijja dan Kusala. Pesakit tidak faham maksud Avijja dan Kusala. Orang yang datang menziarahi pesakit pun tidak faham. Malahan Sangha sendiri pun ada yang tidak faham. Pendek kata kesemua orang di atas rumah ketika itu dibelenggu Avijja. Orang sakit, orang sihat dan "doktor" kesemuanya dibelenggu Avijja. Bagaimana orang yang dibelenggu Avijja boleh memahami Avijja dan Kusala?

Berbeza dengan zaman Buddha dahulu. Apabila ada orang sakit, Sangha akan menyampaikan khutbah Dhamma dalam bahasa yang difahami pesakit. (Pesakit faham, penyampai faham dan orang ramai yang mendengar pun faham). Oleh itu, selepas mendengar khutbah Dhamma tersebut, pesakit akan kurang kesakitannya kerana mereka faham apa yang disampaikan oleh Sangha. Malahan ada individu yang terus hilang daripada derita kesakitan. Inilah yang berlaku ke atas seorang bhikkhu yang bernama Bhikkhu Girimananda. 

Sewaktu Baginda Buddha berehat di Chetawan Mahavihara, Bhikkhu Ananda (Phra Anon) masuk menghadap dan mengatakan bahawa Bhikkhu Girimananda sakit tenat dan menanggung kesengsaraan (Dukkha) yang kuat. Baginda Buddha memberikan khutbah Sanya 10 kepada Bhikkhu Ananda untuk disampaikan kepada Bhikkhu Girimananda. Bhikkhu Ananda menziarahi Bhikkhu Girimananda dan menyampaikan khutbah tersebut kepada beliau sebagaimana dipesan Buddha. Hasilnya, Bhikkhu Girimananda pun hilang daripada kesengsaraan.

Sanya 10 

1.  Anicca Sanya: Dengan penuh kesedaran (Sati) membicarakan keadaan yang menyebabkan seseorang melekat kepada Khanda 5 (upadana Khanda 5). 

2. Anatta Sanya: Dengan penuh kesedaran membicarakan Arom yang diterima melalui Ayatana 6 ialah bukan diri kita. Semua perasaan yang timbul daripada mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan  hati bukan diri yang kekal. Perkara ini bukan diri kita dan kita juga bukan perkara itu. 

3. Asubha Sanya: Dengan penuh kesedaran membicarakan tubuh badan dari tapak kaki sehingga ke hujung rambut; rambut, bulu, kuku, gigi dan kulit ialah benda yang tidak cantik, kotor dan kita tidak harus melekat pada benda-benda tersebut. 

4. Athinava Sanya: Dengan penuh kesedaran membicarakan bahawa tubuh badan ini dipenuhi dengan penderitaan, kesakitan dan bermacam-macam jenis penyakit yang akan menjelma pada bila-bila masa; penyakit mata, penyakit telinga, penyakit hidung, penyakit lidah, penyakit hati dan sebagainya. 

(Sanya dari nombor 1 - 4 ialah punca kesengsaraan (Dukkha).  Minda yang pada asalnya bukan punca kesengsaraan tetapi kerana bodoh telah "merangkul kemas" kesengsaraan tersebut sehingga minda turut menanggung kesengsaraan.)

5. Pahana Sanya: Dengan penuh kesedaran tidak akan "merangkul" kesengsaraan; iaitu tidak menerima apa-apa yang menjadi punca kesengsaraan, melepaskan segala kesengsaraan, tidak melekat pada nafsu dan kehendak, tidak berdendam dan tidak membalas kekerasan dengan kekerasan.

6. Viraga Sanya: Dengan penuh kesedaran membuang Kilesa yang merosakkan minda. 

7. Nirodha Sanya: Dengan penuh kesedaran membuang kesemua Kilesa agar minda bebas daripada segala kesengsaraan.

8. Sabbaloke Anapirata Sanya: Dengan penuh kesedaran meninggalkan perkara-perkara yang menjadi punca kemelekatan pada dunia. 

9. Sabba Sangkharesu Anicca Sanya: Berasa bosan,  jemu dan benci dengan Sangkhara yang terhasil daripada gabungan elemen-elemen.

10. Anapanasati: Dengan penuh kesedaran "memerhatikan" nafas masuk - keluar dan "merasai" setiap perasaan yang timbul di hati yang berpunca daripada Ayatana 6. (Anapanasati merupakan teknik Samadhi yang digunakan oleh Buddha).

Semua minda, sama ada minda orang biasa atau minda Ariya berada dalam keadaan yang mampu menerima dan mengetahui Arom. Bezanya, minda orang biasa menerima dan mengetahui Arom, kemudian menukar Arom tersebut menjadi Kilesa (suka atau benci). Sedangkan minda Ariya telah mempelajari dan mengenali Arom dengan baik lalu tidak melekat pada Arom tersebut atau tidak menukar Arom menjadi Kilesa.

Sanya 10 perkara ini boleh melahirkan kebijaksanaan. Namun, seperti lazimnya, penganut agama Buddha hari ini tidak gemar kepada kebijaksanaan. Mereka lebih suka kepada kepercayaan jenis yang tidak memerlukan kebijaksanaan. 

Sanya nombor 1 - 4 merupakan Sanya yang mengingat semua perkara dan menyimpannya sebagai Dukkha. Perkara ini mesti dikenal pasti dengan baik.

Sanya nombor 5 merupakan Samudaya iaitu Sanya yang mesti dibuang keluar.

Sanya nombor 6 - 7 merupakan hasil yang didapati daripada proses membuang keluar Samudaya.

Sanya nombor 8, 9, 10 merupakan peringatan dan pengetahuan yang akan memisahkan minda dengan Arom (Ayatana 6) melalui pernafasan masuk dan keluar.

Minda Bhikkhu Girimananda berjaya dipisahkan dengan tubuh yang sakit dengan muktamad menyebabkan minda beliau tidak ikut sakit. Hanya tubuh yang sakit, tetapi minda tidak sakit. Oleh itu, minda beliau tidak menjadi kesengsaraan (Dukkha).   


(Tipitaka: อาพาธสูตร / คิริมานันทสูตร)

Sanya 10 merupakan ubat yang mujarab bagi pesakit jikalau bijak menggunakannya. Namun, bukan mudah difahami, apatah lagi bagi seseorang yang sedang sakit. Oleh itu, sewaktu sihat, ketika ingatan masih kuat, kita mesti pelajari dan fahami Sanya 10 terlebih dahulu. Apabila tua dan sakit kita boleh menggunakannya untuk membicarakan kesakitan tubuh badan agar minda kita tidak ikut sakit.

(Minda yang sihat dan tidak sakit akan merangsang kebahagiaan hati. Walaupun tubuh sakit, tetapi hati tidak sakit. Kita kena ingat bahawa individu yang mati dalam keadaan mindanya sihat, hatinya melekat pada kebaikan, dia akan terus ke Sugati. Maka amat penting seseorang yang sakit tenat atau orang tua agar minda sentiasa sihat, tenang dan ceria bagi menjamin kebahagiaan hati. Orang yang hendak mati biasanya dinasihatkan agar mengenang perkara-perkara baik / kuson yang pernah dibuatnya supaya hatinya berpegang pada kuson tersebut. Matinya akan ke Sugati.) 

Dalam perubatan moden, didapati bahawa pesakit yang mindanya tidak sakit, kuat dan bersemangat mudah untuk diubati. Kenapa pesakit tertentu diberikan kaunseling oleh pakar? Ini bagi memastikan mindanya terus sihat dan kuat. Di Jepun, pesakit yang akan masuk bilik pembedahan diajarkan teknik meditasi bagi menenangkan minda. Di Thailand, pesakit yang menghidap penyakit berbahaya tertentu diberikan rawatan bersama Samadhi. 

Sanya 10 perkara umpama kaunseling yang diberikan oleh Buddha (melalui Bhikkhu Ananda) kepada Bhikkhu Girimananda yang sakit tenat. Buddha tidak minta Bhikkhu Ananda suat Avijja atau Kusala sebagaimana yang dilakukan di tempat kita. Buddha juga tidak minta Bhikkhu Ananda "menyambung umur" Bhikkhu Girimananda. Buddha hanya minta Bhikkhu Ananda meyampaikan Sanya 10 bagi menghilangkan kesengsaraan Girimananda. 



No comments: