Monday, October 17, 2011

Buddha Mematahkan 3 Kepercayaan

Di India pada zaman Buddha dahulu terdapat begitu banyak aliran kepercayaan yang dipanggil dhiarathi. Istilah agama belum diterima pakai. Agama Buddha disebut Dhamma-vinai kerana Buddha mengajar Dhamma dan Vinai (Vinaya). Kepercayaan yang paling dominan ketika itu ialah kepercayaan Brahmana. Kepercayaan ini pula terpecah kepada puluhan aliran lagi.


Oleh sebab aliran kepercayaan yang banyak, jenis kepercayaan juga pelbagai. Namun, Buddha berjaya mematahkan kesemua jenis kepercayaan ini. Sekiranya Buddha gagal, tidak mungkin Baginda dapat menyebarkan Dhamma vinai Baginda kerana para dhiarathi lain yang ada begitu taksub dengan kepercayaan mereka. Bukan perkara mudah bagi mereka menerima ajaran Buddha. Namun, sebagaimana yang kita maklum, Buddha memperolehi Dhamma vinai melalui Pencerahan Sempurna (Trassaru) yang kebenarannya sukar disanggah. 


Terdapat 3 jenis kepercayaan yang menjadi dominan. 


1. Kepercayaan yang berkaitan dengan Karma dahulu.


Kepercayaan ini beranggapan bahawa semua perkara, tidak kira apa, sebab atau hasilnya, bahagia atau sengsara, perbuatan atau pertuturan, semuanya terhasil daripada Karma terdahulu (kehidupan dahulu). Oleh itu, semua manusia tertakluk kepada ketentuan Karma terdahulu. Kehidupan manusia mesti ikut Karma terdahulu.  


Buddha berkata, jikalau begitu, kita tidak ada kesempatan, tidak ada kemampuan, tidak ada jalan bagi mengatasi apa-apa pun kerana Karma terdahulu telah menentukan kehidupan kita. Kita tidak berupaya mengubah apa-apa langsung kerana Karma terdahulu telah menetapkan baik dan buruk kehidupan kita. Kita mhu mengamalkan Sila pun tidak boleh. Kita mahu buat Samadhi Pavana pun tidak boleh. Kita mahu meningkatkan Panya pun tidak boleh kerana semuanya akan terjadi mengikut hasil Karma terdahulu. Semua yang kita buat hanya sia-sia. Semua perbuatan tidak akan memberi hasil kerana semuanya dalam ketentuan Karma terdahulu. Kita hanya mampu duduk berdiam diri menunggu balasan Karma terdahulu?


Golongan yang berpegang pada kepercayaan ini berdiam diri apabila disoal oleh Buddha begini. Mereka buntu. Pegangan mereka berjaya dipatahkan oleh Buddha. Bagi Buddha, manusia tidak harus bergantung hidup pada Karma terdahulu. Manusia mesti membuat Karma baru untuk mengatasi Karma terdahulu. Manusia tidak boleh membiarkan Karma terdahulu menjadi penentu kehidupannya. Manusia mesti membuat Karma baru yang lebih baik. Manusia yang dilahirkan miskin misalnya, jikalau dia percaya kemiskinannya kerana hasil Karma terdahulu yang tidak boleh diubah, maka mustahil dia akan berjaya keluar daripada kemiskinan tersebut. Hakikatnya, dia boleh keluar daripada kemiskinan apabila dia membuat Karma baru iaitu tekun berusaha sehingga berjaya keluar daripada kemiskinan.


2. Kepercayaan yang berkaitan dengan Isuan.


Semua perkara terhasil daripada kuasa Isuan (Iswara). Isuan ialah Tuhan. Masyarakat India ketika itu percaya kepada Tuhan. Orang yang tidak percaya kepada Tuhan pun ada tetapi tidak ramai. Dhiarathi yang percaya kepada Isuan yakin bahawa segala benda terhasil atau dicipta oleh Isuan. Kehidupan manusia ialah ketentuan Isuan. 


Buddha pun berkata jikalau begitu kita pun tidak mampu berbuat apa-apa. Kita mahu mengamalkan Sila, mahu buat apa pun tidak boleh kerana semuanya ditentukan oleh Isuan. Kita mahu mengamalkan Sila, mahu buat baik pun mesti menunggu ketentuan daripada Isuan? Bagaimana dengan mereka yang buat jahat? Mereka tidak berpeluang buat baik selagi Isuan tidak mahu mereka berbuat baik? Siapakah yang akan menanggung balasan kejahatan itu? Orang yang buat jahat atau Isuan? 


Golongan yang percaya kepada Isuan buntu. 


Buddha berkata lagi. Sekarang kita (Baginda) boleh buat apa yang kita mahu. Maka kita tidak akan berpegang kepada kepercayaan yang mengatakan semuanya ditentukan oleh Isuan. Kepercayaan ini pun berjaya dipatahkan.


3. Kepercayaan yang menolak punca atau sebab (hetu-paccaya).


Kepercayaan ini menolak terus sebab atau punca. Mereka hanya pentingkan hasil yang bakal diterima sahaja. Golongan ini percaya bahawa kita tidak memerlukan punca atau sebab untuk terjadi sesuatu. Apa yang akan terjadi, tetap akan terjadi. Apa yang akan berlaku tetap akan berlaku tanpa menunggu sebab-sebab atau sumber-sumbernya.


Buddha berkata kepercayaan ini tidak berguna sama sekali. Kita langsung tidak boleh merancang apa-apa kerana semuanya terjadi begitu sahaja tanpa ada sebab musabab. Kita hanya mampu berpeluk tubuh menunggu hasil bergolek ke riba. Bagi Buddha, semua hasil mesti ada punca atau sumbernya (hetu-paccaya). Tiada apa-apa yang terjadi atau terhasil tanpa hetu-paccaya. Pokok kelapa misalnya tumbuh daripada benihnya. Pokok kelapa tidak akan muncul secara tiba-tiba dari tanah. 


Golongan yang menolak hetu-paccaya pun terbungkam. Pegangan mereka berjaya dipatahkan oleh Buddha. 


Selepas mematahkan 3 kepercayaan di atas, Buddha pun menerangkan ajaran Baginda kepada para dhiarathi lain tentang elemen 6 - tanah, air, angin, api, udara, vinyan. Ajaran Baginda ini tiada sesiapa mampu mematahkannya, menafikannya atau menyanggahnya kerana ini ialah kebenaran hakiki. 


Bahagian fizikal terdiri daripada elemen tanah, air, angin dan api. Bahagian mental ialah elemen vinyan. Selain itu terdapat ruang (udara) yang merupakan tempat letak 5 elemen tadi. Daripada elemen 6 inilah terbentuk Ayatana 6 (mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati), Phassa (sentuhan atau kontek), Vedana (perasaan bahagia, sengsara atau neutral), Tanha (nafsu), Upadana (kemelekatan) dan sebagainya sehingga tamat Paticcasamuppada.


Apabila kita perhatikan cara Buddha menundukkan dhiarathi, Baginda akan bersihkan terlebih dahulu pegangan diarathi tersebut sebelum menerapkan Dhamma vinai Baginda. Jikalau pegangan (prinsip) lama masih ada, sukar bagi seseorang menerima pegangan baru.  


Kita pun sama. Jikalau kita mahu mengetahui ajaran tulen Buddha, kita mesti buang ego kita, buang kepercayaan lama kita terlebih dahulu, kemudian berusaha memahami ajaran baru yang tulen. Namun, ego harus dibuang kerana selagi ada ego sampai bila-bila minda kita akan tertutup kepada yang baru walaupun benar. Bukan mudah, tetapi tidak mustahil. 







No comments: