Tuesday, October 18, 2011

Kalama Sutta Menuntut Kita Menggunakan Akal Fikiran


Seorang kenalan bertanya adakah salah sekiranya penganut agama Buddha tidak mempercayai ajaran Buddha? Saya bertanya balik, adakah penganut agama Buddha tidak mempercayai ajaran Baginda? Dia berkata, dalam Kalama Sutta, Buddha senaraikan 10 perkara yang tidak patut dipercayai. Saya dapat tangkap bahawa soalan dia tidak tepat. Dia bertanya tentang kepercayaan terhadap ajaran Buddha, sedangkan apa yang dimaksudkan ialah konsep Kalama Sutta. 

Saya berkata, saya percaya semua ajaran Buddha kerana akal sejengkal saya tidak mampu menolak ajaran Baginda yang diperolehi melalui Trassaru. Akan tetapi hanya ajaran tulen Baginda yang saya percaya; bukan ajaran palsu yang didakwa keluar daripada mulut Baginda, atau ajaran tradisi moyang yang bercampur-aduk dalam upacara agama yang diamalkan masyarakat kita.  Saya berpendapat selaku penganut agama Buddha, kita tidak harus was-was terhadap ajaran tulen Buddha. Walaupun tidak berdosa, apabila kita tidak percaya, kita tidak mengamalkannya. Apabila kita tidak mengamalkannya, kita tidak akan mendapat faedahnya. Agama Buddha menekankan faedah, bukannya kepercayaan. 

Kalama Sutta

1. Janganlah percaya begitu saja apa yang anda dengar hanya kerana anda telah mendengar hal itu sejak sekian lama.

2. Janganlah mengikuti tradisi secara membuta tuli hanya kerana hal itu telah dipraktikkan sedemikian secara turun-temurun.

3. Janganlah cepat terpedaya dengan desas-desus atau khabar angin.

4. Janganlah menyakini segala sesuatu hanya kerana hal itu tertulis atau selaras dengan kitab suci anda.

5. Janganlah membuat ramalan secara bodoh.

6. Janganlah tergesa-gesa membuat kesimpulan berdasarkan jangkaan daripada apa yang anda lihat dan dengar.

7. Janganlah percaya hanya kerana berfikir mengikut keadaan semasa.

8. Janganlah percaya kerana perkara itu sehaluan dengan kepercayaan atau fahaman anda.

9.Janganlah percaya sesuatu perkara kerana anda merasakan individu yang menceritakan perkara itu boleh dipercayai.

10.Janganlah menyakini sesuatu hanya kerana diberitahu oleh individu yang anda anggap sebagai guru (acariya).

Kesaputta Sutta atau yang orang Siam panggil Kalama Sutta mengikut nama masyarakat "Kalama" yang menerima Sutta ini daripada Buddha mesti difahami betul-betul. 

Kaum Buddhis yang kurang pendidikan agama Buddha selalu menggunakan sutta ini untuk dijadikan alasan yang salah. Mereka selalu berkata bahawa Buddha menegah daripada mempercayai kitab (buku), menegah daripada mempercayai guru atau acariya. Buddha hanya mengizinkan pengikutnya mempercayai fikiran dan pandangan sendiri sahaja. 

Ini tanggapan yang salah. Sekiranya kita langsung tidak mempercayai apa-apa sumber, maka kita juga tidak boleh mempercayai Kalama Sutta kerana datangnya dalam kitab. Bukankah begitu? 

Di bawah ini diturunkan beberapa perkara untuk direnungi. 

1. Sutta ini menerangkan bahawa masyarakat Kalama selalu dikunjungi guru-guru daripada pelbagai aliran kepercayaan. Ini kerana kedudukan perkampungan Kalama di tengah-tengah laluan penting pengembara. Setiap kali datang guru-guru ini akan menyebar, memuji dan mengangkat  ajaran mereka sebagai yang terbaik dan pada masa yang sama mengutuk ajaran orang lain. Akibatnya masyarakat Kalama menjadi keliru dan sesetengahnya naik meluat. Mereka keliru kerana tidak dapat membuat keputusan atau pilihan ajaran siapa yang betul dan patut diikuti serta diamalkan. 

Apabila Buddha datang, Baginda menerangkan sutta ini kepada masyarakat Kalama sebagai panduan dan pedoman memilih kepercayaan. Baginda tidak memuji dan mengangkat ajaran Baginda dan pada masa yang sama tidak mengutuk ajaran guru lain. Masyarakat Kalamat sangat menyukainya dan menerima ajaran Buddha dengan lapang hati.

2. Akal dan kebijaksanaan mesti menjadi teras dalam menilai sesuatu perkara. Perkara yang dimaksudkan di sini ialah ajaran (agama). Sejauh manakah ajaran tersebut membawa faedah atau musibah kepada pengamalnya? Buddha memberi panduan yang mudah iaitu:

a) Perkara itu merupakan kebaikan atau keburukan?

b) Perkara itu disanjungi atau dikeji para ilmuwan?

c) Perkara itu apabila diamalkan akan mengurangkan perasaan tamak, marah dan sesat atau sebaliknya?

d) Hasil daripada amalan yang dianjurkan ajaran tersebut akan menambahkan kesengsaraan (dukkha) atau kebahagiaan (sukkha)?

Jawapan daripada empat soalan di atas bakal memberi keputusan yang tepat terhadap aliran kepercayaan yang patut diikuti dan diamalkan. Namun, akal manusia itu terhad menyebabkan mereka tidak berjaya membuat rumusan yang betul sehingga Buddha terpaksa menerangkan konsep kepercayaan 10 perkara. 

3. Tidak menegah mempercayai semua sumber termasuk guru atau acariya. 

Sebenarnya Kalama Sutta tidak melarang sesiapa mempercayai sesuatu sumber, termasuk kitab (buku), guru atau acariya. Jikalau Kalama Sutta melarang kita mempercayai kitab, guru atau acariya, kita juga tidak boleh mempercayai kitab Tipitaka yang memuatkan ajaran Buddha. Jika begitu keadaannya, apa akan terjadi? Ajaran Buddha tidak akan memberi sebarang faedah kepada manusia sejagat? 

Mereka yang membaca atau memahami sutta ini dengan tidak mendalam, sering menggunakan persepsi sendiri dengan berkata bahawa Buddha menegah daripada mempercayai kitab, guru atau acariya, sebaliknya mempercayai diri sendiri. Saya pun selalu dengar perkara ini lalu berkata dalam hati: "Oh, sahabat yang berkongsi kelahiran dan kematian semua, kalian sedang dikelirukan, tetapi kenapa berlagak bijak?"

Hakikatnya, Buddha bermaksud agar kita tidak mudah mempercayai sesuatu. Bukan menegah kita tidak mempercayai langsung. Apabila kita mendengar atau membaca sesuatu, kita mesti menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan menilainya. Kita membuat penilaian peringkat demi peringkat. Kita mempercayainya tahap demi tahap. Kepercayaan akan mantap apabila disertai dengan amalan. Nescaya kita akan menerima faedahnya. 

4 comments:

Anonymous said...

Komen kurang kerana pembaca bosan baca dhamma basi. Apa hal pun saya kagum dengan pena reformasi kerana tak jemu tulis... syok sendiri la kata orang.. uwek... uwek... uwek..

pena reformasi said...

Saya menulis untuk mereka yang ingin membaca. Tiada paksaan dalam agama kita. Tiada paksaan dalam KSB. Siapa bosan, nak baca atau tak baca di luar kawalan saya. Tanggungjawab saya menyampaikan Buddha-Dhamma kepada penganut agama Buddha.

Di samping itu saya mengalu-alukan pandangan pembaca semua bagi meningkatkan kualiti KSB. Terima kasih!

Fan KSB said...

Tiada komen bukan bermakna orang tak baca..Teruskan khun Pena..jangan terikut dengan marn Sarsana..

pena reformasi said...

Terima kasih Fan KSB kerana memberi sokongan dan semangat kepada saya untuk terus menulis.