Wednesday, October 19, 2011

Kathina: Kebaikannya untuk Siapa?

Musim Kathina tiba lagi. Pihak wat Siam sibuk sediakan sampul Kathina untuk diedarkan. Mengagihkan pahala, kata orang. Maka jenuhlah penganut agama Buddha terima sampul pahala tersebut.  


Dahulu sistem perhubungan sukar, hanya sampul-sampul dari wat berdekatan sahaja yang kita terima. Sekarang sistem perhubungan canggih dan pantas, sampul dari seluruh pelusuk Thailand dan Malaysia mampu sampai ke tangan kita. Apabila telah sampai ke tangan, mahu biarkan berhabuk di atas meja, tidak sampai hati. Bukan mahu berkira sangat tentang tambun, tetapi jikalau wat tersebut tidak pernah dikenali, berat hati juga mahu bagi. Namun, atas nama Tri Ratana, apa yang perlu dipedulikan sangat. Asalkan wat itu sah (bukan wat atau samnakh cari makan), setiap sen yang dihulurkan tetap dapat pahalanya. Tambun Kathina hanya setahun sekali. 


Apa itu Kathina? Istilah Kathina merujuk kepada sejenis bingkai kayu yang digunakan bagi merentangkan kain semasa melakukan kerja-kerja jahitan. Dahulu apabila menjahit kain mesti direntangkan pada bingkai kayu agar tegang bagi memudahkan kerja-kerja jahitan. Maklumlah alat-alat menjahit tidak secanggih hari ini.


Kerja-kerja menjahit (membuat) chivorn memerlukan bingkai kayu yang dipanggil Kathina ini. Pada zaman dahulu kerja-kerja menjahit chivorn dilakukan oleh para bhikkhu secara beramai-ramai kerana chivorn mesti disiapkan dalam masa sehari sahaja. Oleh itu, para bhikkhu atau Sangha akan bergotong royong melakukannya. Meriah sekali. Bhikkhu tua, bhikkhu muda akan ikut serta. Phra Saribut, Phra Mongganlana, Phra Maha Kassapa, bahkan Baginda Buddha sendiri akan turut menolong. Pendek kata bhikkhu mahupun samanera akan bekerjasama. Manakala ubasok dan ubasika akan menyediakan minuman kepada bhikkhu dan samanera. Sehelai chivorn terhasil daripada daya usaha ramai orang. 


Sebab itulah chivorn Kathina zaman dahulu sangat tinggi nilainya kerana hasilnya daripada titik peluh dan penat lelah ramai bhikkhu, samanera dan ubasok dan ubasika. Chivorn yang terhasil pula akan diberikan kepada mana-mana bhikkhu atas persetujuan semua bhikkhu yang terlibat menghasilkannya. 


Berbeza dengan chivorn Kathina hari ini yang begitu mudah didapati. Asalkan ada duit, berapa banyak pun boleh dapat. Sekiranya jumlah pahala dikira mengikut jumlah chivorn, orang kaya pasti memonopoli semua pahala. Mereka boleh hantar treler pergi kedai dan muat chivorn balik untuk dipersembahkan kepada wat-wat yang sambut Kathina. Nasib baik pahala dikira mengikut keikhlasan hati. Semua orang berpeluang merasai pahala tersebut. 


Namun, kena beringat. Jangan sampai tertipu. Peribahasa ada menyebut, orang bodoh makanan orang bijak. Musim Kathina ramai bijak pandai agama memasang bubu di alur menunggu sepat, puyu dan haruan sesat. Kaum Buddhis mesti bijak. Jangan mudah tertipu.  Jangan mudah makan umpan pahala. 


Dalam kitab Tipitaka tidak ada sutta yang menjelaskan secara khusus tentang kebaikan dan kelebihan tambun Kathina yang bakal diterima oleh masyarakat Buddhis. Cuma yang ada dijelaskan ialah kebaikan yang diterima oleh para bhikkhu. (Satu lagi kita mesti dapat membezakan istilah "Anisong Kathina" dengan "Anisong daripada membuat Kathina". Dalam kitab Tipitaka diterangkan tentang "Anisong Kathina" yang diterima oleh bhikkhu dan tiada kaitan dengan orang biasa. Manakala "Anisong daripada membuat Kathina" yang diterima oleh penderma tidak dijelaskan secara khusus).


Oleh sebab itulah, para ilmuwan Buddhis berpendapat tambun Kathina tidak berbeza sangat dengan tambun Sanghadana lain. Cuma tambun Kathina  merupakan tambun bermusim kerana tempohnya telah ditetapkan iaitu bermula dari rem 1 kham bulan 11 sehingga kheun 15 kham bulan 12 (13 Oktober - 10 November). 


Jadi, sesiapa yang minat mahu tambun Kathina boleh dilakukan dalam tempoh ini. Oleh sebab tambun Kathina merupakan tambun bermusim, maka tambun Kathina dikatakan istimewa daripada tambun lain. Setahun hanya sekali. Tambun lain boleh dibuat bila-bila masa, sedangkan tambun Kathina hanya boleh dibuat mengikut masa yang telah ditetapkan. Mungkin inilah salah satu sebab ramai kaum Buddhis suka tambun Kathina. Padahal hakikatnya, hasil pahalanya tidak berbeza dengan tambun Sanghadana yang lain. Satu lagi keistimewaanya kerana Kathina melibatkan chivorn. Namun, seperti yang diterangkan di atas, nilai chivorn zaman dahulu dihasilkan sendiri oleh bhikkhu tidak sama dengan chivorn hari ini yang dibeli di kedai. Nilai, semangat dan moralnya berbeza. 


Anisong Kathina yang diterima oleh bhikkhu ialah dikecualikan daripada 5 vinaya selama 4 bulan. Saya tidak berhasrat menjelaskan perkara ini kerana tiada kaitan dengan orang biasa. Manakala bhikkhu sendiri pasti telah tahu. 


Kebaikan membuat Kathina sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh Luang Phor Phan, Wat Bang Nom Kho atau Luang Pho Resi Lingdam Wat Tha Sung, tidak disebut tentang sutta dalam kitab Tipitaka sebagai sokongan. Ini bermakna Buddha tidak pernah menerangkan tentang "kebaikan daripada membuat Kathina" secara khusus. 

Mengikut Luang Pho Phan, sekiranya seseorang itu turut serta jadi "penganjur" bersama Kathina sebanyak 3 kali, kehidupannya akan senang.  Beliau memberi contoh bagaimana kisah Baginda Gautama Buddha yang pernah hidup pada zaman Phra Pathum Muttara Buddha dengan nama Maha Dukkhata.  Maha Dukkhata sangat miskin. Beliau pernah mengikut serta membuat Kathina dengan menderma segulung benang. Phra Pathum Muttara Buddha berkata bahawa Maha Dukkhata akan mencapai Bodhisatta dan menjadi Buddha dalam kehidupan akan datang hasil daripada membuat Kathina tersebut. Kisah ini untuk dijadikan teladan, bukan kebenaran mutlak. 


Bahkan Baginda Buddha juga pernah berkata: "Walaupun Baginda mempunyai mata istimewa (dibba-cakkhu) yang berupaya memandang jauh menembusi langit dan bumi, tetapi tidak pernah nampak di mana penghujung kebaikan daripada membuat Kathina." 


Betapa hebatnya kebaikan daripada membuat Kathina. Tunggu apa lagi, marilah sama-sama pergi tambun Kathina. Namun, berwaspada jangan sampai tertipu oleh alacchi yang cari makan dengan agama!





2 comments:

Anonymous said...

Janganlah memaksa orang tamboon,biarlah mereka tamboon dengan mereka. Tahukah anda sampul2 derma yang diedar,semacam meminta orang menderma..saya cuma bagi idea.

Anonymous said...

Thambun Kathina sekarang banyak berbeza dari masa dulu, zaman 70-90'an. Tidak dinafikan bhw thambun Kathina sekarang walaupun tiada unsur paksaan secara terus terang, tapi secara halusnya memang ada menjurus kepada unsur paksaan.

Kalau kita amati trend Thambun Kathina sekarang tak ubah seperti pesta perarakan (re-cycle0 pha Civorn disesetengah Wat @ Samnaksong Siam disekitar Lembah Kelang dan juga di Kelantan, Penang dll.

Manakala trend terbaru yang diperkenalkan oleh pengikut Dhamakaya pula, kaum Buddhis boleh menyertai sebagai rombongan ketua Khatina dengan syarat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, seperti jumlah tambun yang ditetapkan (RMxxxx) dengan 1 set pha Civorn. Trend ini menjadi ikutan disesetengah wat kerana jumlah kutipan Thambun Kathina memang banyak bergantung kepada jumlah atau bilangan mereka yang menyertai sebagai ketua Kathina.

Jadi tidak dapat dinafikan bahawa pihak Dhamakaya memang begitu terserlah dalam hal sebegini...