Saturday, October 1, 2011

Nibbana Untuk Orang Takut Mati!

Masih ramai penganut agama Buddha terkeliru. Mereka menganggap Nibbana sesuatu yang sangat sukar dan sedikit orang atau orang tertentu sahaja boleh mencapainya. Orang yang akan mencapai Nibbana mesti mempunyai bun barami (paramitta) yang mencukupi baru boleh mencapainya.


Saya teringat sewaktu saya pergi Wat Pikulthong, Tumpat, Kelantan beberapa tahun dahulu. Saya bersembang dengan seorang bhikkhu. Beliau berkata Nibbana bukan senang dicapai, mesti mengumpulkan bun barami yang banyak. Buddha beratus-ratus kali lahir (sebagai Bodhisatta) sebelum berjaya mencapai Nibbana. Saya hanya terdiam. Dalam hati saya berkata, jikalau seorang bhikkhu mempunyai fahaman sebegini, orang biasa bagaimana?


Masih ramai bhikkhu kita yang tersalah faham tentang Nibbana. Seorang Phor Than di sebuah wat di Kelantan mengeluh panjang apabila seorang bhikkhu bertanya beliau tentang Lokuttara Dhamma. Kata Phor Than tersebut: "Khun ... jangan cakap pasal Lokuttara ... sangat tinggi ... bukan tahap kita!" Kalau Lokuttara Dhamma sangat tinggi, bukan tahap bhikkhu, habis tahap siapa? 


Sekiranya Sasterawan Negara menganggap Nibbana suatu utopia, kita boleh maafkan kerana dia tidak memahami ajaran Buddha. Dia membesar dalam ajaran lain. Ajaran lain tiada subjek yang diajar untuk mengenali Nibbana. Oleh demikian, mustahil dia akan memahami konsep Nibbana walaupun dia seorang Sasterawan Negara. Namun, jikalau bhikkhu yang terkhilaf tentang konsep Lokuttara dan Nibbana, aduhai sedihnya.


Sukarlah bagi orang biasa memahami Lokuttara Dhamma dan Nibbana sekiranya bhikkhu pun masih samar-samar tentang konsep 2 perkara ini. Memang betul hanya orang yang mencapai Nibbana tahu apakah Nibbana sebenarnya. Namun, untuk memahami konsep Nibbana, kita tidak perlu tunggu mencapai Nibbana. Orang yang mencapai Nibbana mesti terlebih dahulu memahami konsepnya. Semua Phra Arahant telah memahami konsep Nibbana yang diajarkan oleh Buddha, sebelum mereka memutuskan untuk mengamalkan Dhamma vinai dengan tekun sehingga mencapai Nibbana. 


Menurut Buddhadasa Bhikkhu (gambar), untuk mencapai Nibbana, kita tidak perlu lahir beratus-ratus kali. Jikalau kita tekun mengamalkan Dhamma, sekali lahir pun boleh mencapai Nibbana. Untuk mencapai Nibbana dalam kelahiran sekarang, kita tidak perlu bergantung pada kelahiran terdahulu. Bagaimana dengan orang yang kelahiran sekarang merupakan kelahiran pertamanya? Dan siapa yang boleh tahu ini kelahiran ke berapa kita? 


Walaupun benar Karma dahulu menentukan kelahiran kita hari ini, tetapi Karma dahulu tidak menentukan baik atau jahat kita hari ini. Baik dan jahat kita hari ini ditentukan oleh Karma kita hari ini, Karma sekarang ini. Karma ialah perbuatan. Perbuatan hari ini yang menentukan baik dan jahat kita. Acarn Mun, Acarn Cha, Buddhadasa Bhikkhu dan Luang Phor Panya Nantha misalnya antara bhikkhu yang dikatakan Ariya Sangha kerana amalan baik mereka pada kehidupan sekarang. 


Satu kesilapan kita ialah menganggap Nibbana seperti sebuah tempat yang perlu pergi baru boleh mencapainya. Kita selalu menggunakan istilah "pergi" iaitu pergi Nibbana. Inilah silapnya kita. Sebenarnya Nibbana "tidak perlu pergi". Kita tidak perlu pergi untuk sampai ke Nibbana. Nibbana bukan tempat. Tidak boleh pergi. Tiada kenderaan yang boleh pergi Nibbana. Walaupun kita menggunakan istilah "jalan ke Nibbana" tetapi "jalan" ini ialah cara atau kaedah pengamalan. Bukan jalan yang boleh pergi. 


Nibbana bukan syurga Brahmana. Syurga Brahmana mesti pergi kerana letaknya di langit. Jika tidak pergi, masakan boleh sampai ke syurga. Pergi dengan kenderaan apa saya tidak tahu, tetapi mesti pergi kerana tempatnya tinggi di langit sana. Itu syurga Brahmana yang dihuni oleh dewa-dewi.


Nibbana tidak perlu pergi. Buddha pun tidak pernah menggunakan istilah "pergi" apabila bercakap tentang Nibbana. Cuma kita yang menggunakan istilah pergi kerana kita ingat Nibbana terletak di suatu tempat yang entah di mana. Apabila ditanya Nibbana di mana, kita hanya membisu dan memandang ke langit seolah-olah Nibbana di langit biru. Itulah yang diajar kepada kita. 


Buddha tidak bernah berkata "pergi Nibbana". Buddha berkata "mencerahkan Nibbana" atau "membuat Nibbana supaya cerah". Begitulah lebih kurang.  Pokoknya, Buddha menggunakan istilah "cerah". Ini kerana Nibbana sentiasa wujud tetapi kerana "gelap" membuat kita tidak nampak Nibbana. Nibbana Asangkhata Dhamma, maka Nibbana tidak lahir, tidak mati, sentiasa wujud, tidak berubah dan kekal abadi selamanya. Apakah yang gelap? Minda kita yang gelap. Digelapkan oleh avijja (kejahilan). Avijja umpama awan tebal yang menutupi cahaya matahari. Matahari wujud, tetapi dilindungi awan tebal menyebabkan cahayanya tidak sampai ke mata kita. 


Nibbana sentiasa ada, tetapi kerana gelap, kita tidak berupaya melihat Nibbana. Sebab itulah Buddha minta kita "mencerahkan Nibbana" atau "membuat Nibbana supaya cerah". 


Buddhadasa Bhikkhu berkata kita mesti mencerahkan Nibbana pada hari ini dan di sini. Kita tidak perlu tunggu kehidupan lain. Dalam kehidupan ini juga kita boleh melihat Nibbana apabila kita berjaya menghapuskan avijja. Apabila avijja terhapus, minda kita menjadi terang. Itulah waktunya kita melihat Nibbana. Individu yang mempunyai minda Sodaban dikatakan telah menerima cahaya Nibbana. Cahaya samar-samar, belum cukup terang. Cahaya tersebut semakin terang mengikut tahap minda. Apabila mencapai tahap minda Arahant barulah cahaya Nibbana diterima sepenuhnya. 


Istilah Nibbana secara literal bermaksud sejuk dan tenang.  Sejuk dan tenang daripada kilesa. Sejuk dan tenang daripada avijja, tanha dan upadana. Sejuk dan tenang daripada gangguan ayatana luaran 6. Jika kita mahu mengambil kebahagiaan sebagai perbandingan, individu Nibbana ialah individu yang paling bahagia kerana mereka mengecapi kebahagiaan tanpa kilesa - kebahagiaan tulen. 


Kebahagiaan tanpa kilesa tidak sama dengan kebahagiaan dunia dan kebahagiaan syurga. Kebahagiaan dunia dan kebahagiaan syurga kebahagiaan kilesa, tanha dan upadana. Kebahagiaan ini tidak kekal abadi. Sedangkan kebahagiaan Nibbana bebas daripada kilesa, kebahagiaan tulen yang tidak ada kaitan dengan pancaindera dan Kamaguna


Satu lagi kesilapan kita tentang Nibbana ialah "mati dan tidak hidup lagi". Kita selalu dengar orang berkata "Buddha tidak akan lahir lagi kerana Baginda telah Parinibbana". Maka, kerana takut tidak boleh lahir jadi manusia lagi kita pun takut kepada Nibbana. Ini kerana kita belum puas jadi manusia. Jikalau target kita untuk ke syurga tidak kesampaian, jadi manusia semula pun ok juga. Begitu fikiran kita. Betapa kebudak-budakannya kita. 


Lahir dan mati berdasarkan Sangkhata Dhamma (Sangkhan). Sangkhata Dhamma menjadi sebab musabab kepada kelahiran dan kematian. Sedangkan Nibbana ialah Asangkhata Dhamma (Visangkhan). Oleh itu, Nibbana tidak ada kaitan dengan lahir dan mati. Nibbana tidak mati, tidak sakit dan  tidak sengsara (Dukkha). Nibbana tiada avijja, tanha dan upadana. Oleh itu, Nibbana bebas daripada Vatta Samsara. 


Dalam maksud yang lain, kita tidak boleh menggunakan istilah mati untuk individu yang telah mencapai Nibbana (atau Parinibbana). Nibbana bukan mati. Oleh sebab Nibbana tidak mati, Nibbana juga tidak lahir kerana selepas mati akan lahir semula. Lahir semula mesti ada Sangkhara Dhamma (Sangkhan Dhamma).  Sangkhara Dhamma ialah elemen yang mengubah, membaiki atau mempengaruhi sesuatu benda agar sentiasa berubah dan tidak kekal abadi. Nibbana tidak ada Sangkhara Dhamma. Nibbana ialah Asangkhata Dhamma. Maka Nibbana tidak akan berubah, tetapi kekal abadi. Hanya Nibbana yang kekal abadi selama-lamanya. Biarpun langit runtuh, bumi hancur lebur, laut kering kontang, dan pokok reput, Nibbana tetap kekal abadi. Begitulah hebatnya Nibbana. 


Baginda Buddha tidak mati. Baginda Parinibbana. Parinibbana bukan mati. Begitu juga dengan segala Phra Arahant yang lain. Mereka tidak mati. Jikalau kita takut mati, kita mesti berusaha mencapai Nibbana. Hanya Nibbana tidak mati!







No comments: