Monday, October 10, 2011

Pertimbangkan 6 Keadaan Sebelum Bercakap

Baginda Buddha seorang yang sangat mengambil berat tentang percakapan. Baginda tidak bercakap sesuka hati, atau ikut sedap seperti kita. Baginda tidak memperkecil atau merendahkan  golongan lain yang mempunyai kepercayaan yang berbeza dengan Baginda. 


Walaupun terdapat beratus-ratus aliran kepercayaan di India pada zaman tersebut, tetapi tiada satu pun yang bermusuhan dengan Baginda. Walaupun dalam Attha Katha (bahagian huraian Tipitaka) ada disebut Buddha "dimusuhi" aliran tertentu, namun maksud "dimusuhi" itu tidak sebagaimana yang kita fahami. "Dimusuhi" di sini sekadar "tidak puas hati" bukannya bermusuhan seperti kita hari ini. (Dalam Pali tidak disebut Buddha "dimusuhi" mana-mana aliran).


Kita apabila bermusuhan, mulalah berkapak, berpedang untuk memerangi musuh. Kita ingat apabila musuh diperangi semuanya (dihapuskan), kita akan hidup aman. Hakikatnya tidak begitu. Musuh sebenar kita ialah nafsu kita yang tidak terkawal. Menuding orang lain sebagai musuh yang wajib diperangi semata-mata kerana fahamannya bercanggah dengan fahaman kita satu kesilapan yang besar. 


Tiada sebab Baginda Buddha dimusuhi kerana Baginda tidak pernah menghukum "neraka" kepada mana-mana aliran kepercayaan. Tidak seperti kita hari ini, begitu mudah menghukum "neraka" orang atau golongan yang tidak sealiran dengan kita.


Menghukum "neraka" orang lain semata-mata kerana kepercayaannya tidak sealiran dengan kepercayaan kita ialah kerja syaitan. Hanya syaitan yang gemar menghukum orang lain. Manusia suci seperti Buddha tidak akan menghukum orang lain semata-mata kerana perbezaan kepercayaan. Bagi Buddha, kepercayaan apa sekali pun, termasuk pengikut Baginda, sekiranya tidak mengamalkan kebenaran, pasti akan menanggung penderitaan.


Kepercayaan yang tidak sealiran dengan Dhamma-vinai Buddha dipanggil "diarathi" lain. Dalam konteks hari ini, diarathi lain boleh bermaksud agama lain, selain agama Buddha. Istilah diarathi bermaksud pengkalan, jeti atau tempat berlabuh. Kepercayaan atau agama yang ada di India ketika itu diumpamakan seperti pengkalan, jeti atau tempat berlabuh kapal, sampan, perahu, tongkang atau rakit. Agama Budda pun termasuk di dalam istilah diarathi. Oleh sebab itulah apabila merujuk kepada agama lain disebut "diarathi lain". 


Agama umpama pengkalan atau jeti. Dhamma umpama sampan, perahu atau rakit. Sungai umpama kesengsaraan. Manusia mesti pergi ke pengkalan atau jeti untuk menaiki sampan, perahu atau rakit bagi menyeberangi sungai ke seberang sana. Semua agama umpama pengkalan atau jeti yang menyediakan sampan, perahu dan rakit bagi manusia menyeberang ke seberang sana, maka tidak ada sebab Buddha dan agama lain harus bermusuhan. Semua agama berkongsi matlamat yang sama iaitu memastikan manusia selamat tiba ke seberang sana. Seberang sini dipenuhi kesengsaraan, maka manusia mesti menyeberang ke seberang sana yang aman dan tenteram dengan selamat.


Jikalau ada sedikit perbezaan, mungkin kerana sampan, perahu atau rakitnya yang tidak sama. Perkara ini sering menjadi perbincangan dan perbahasan antara Buddha dengan pengikut diarathi laintetapi tidak sampai bermusuhan seperti yang tertulis di dalam Attha Katha. Pada waktu pagi sebelum pergi bindapada, Buddha selalu singgah ke tempat penginapan diarathi lain untuk berbincang dhamma. Ada yang terima dhamma Buddha dan ada yang menolaknya terus. Malahan ajaran diarathi lain juga tidak semua ditolak oleh Buddha. Ada sesetengahnya diterima Buddha. Namun, hanya ajaran Buddha yang matlamat akhirnya Nirvana, manakala ajaran diarathi lain tamat di syurga. Ariya Sacca 4 dan Magga 8 cuma ada dalam ajaran Buddha. Dalam ajaran diarathi lain tiada. 


Seperti yang dikatakan di atas, Buddha tidak memperkatakan sesuatu sesuka hati kerana Baginda tidak mahu menyakiti hati orang lain. Baginda akan mempertimbangkan 6 keadaan terlebih dahulu. 

1. Baginda tidak memperkatakan perkara yang tidak benar, tidak betul, tidak mendatangkan faedah dan tidak disenangi orang lain.


2. Baginda tidak memperkatakan perkara yang benar dan betul tetapi tidak mendatangkan faedah dan tidak disenangi orang lain.


3. Baginda akan memilih masa yang sesuai untuk memperkatakan perkara yang benar, betul dan mendatangkan faedah, tetapi tidak disenangi orang lain. 


4. Baginda tidak memperkatakan perkara yang tidak benar, tidak betul, tidak mendatangkan faedah biarpun disenangi orang lain.


5. Baginda tidak memperkatakan perkara yang benar, betul, tetapi tidak mendatangkan faedah biarpun disenangi orang lain.


6. Baginda akan memilih masa yang sesuai untuk memperkatakan perkara yang benar, betul, mendatangkan faedah dan disenangi orang lain. 


Kenapa Buddha mempertimbangkan 6 keadaan ini? Kerana Baginda mempunyai perasaan belas kasihan terhadap manusia dan semua makhluk lain. Dunia akan aman jikalau semua orang mempertimbangkan 6 keadaan di atas sebelum bercakap. 


Walaupun sesuatu perkara itu diyakini benar, betul, mendatangkan faedah dan disenangi orang lain, namun Buddha masih memilih masa yang sesuai untuk memperkatakannya. Baginda akan mempertimbangkan faktor-faktor lain lagi, misalnya kesediaan dan kemampuan orang yang mendengarnya. 


Baginda tidak seperti kita. Kita jarang mempertimbakgan 6 keadaan di atas. Apa-apa sahaja yang kita rasa mahu diperkatakan, kita tidak akan berdiam diri. Kita tembak terus tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Asalkan kita rasa kita betul, kita sembur bertubi-tubi. Kerana yakin kitab kita benar, kita pun tembak pemegang kitab lain sesuka hati biarpun realitinya kita tidak pernah buka kitab yang lain itu. 


Inilah kita yang sama sekali berbeza dengan Buddha bagai langit dengan bumi.



4 comments:

Anonymous said...

Saudara pena yang dihormati,

Sempena 'prak ok phansa' hari ini 12.10.11 ... bolehkah tuan pena cerita serba ringkas, kebaikan hari ini.

Terima kasih,
Phai Chit Chindamanie.

pena reformasi said...

Khun Phai Chit, terima kasih kerana setia bersama KSB.

Minta maaf kerana tak dapat tulis tentang kebaikan hari keluar Phansa kerana badan kurang sihat (otak pun kurang cergas).

Anonymous said...

Saudara pena yang dihormati,

Apabila usia kita semakin meningkat, badan pun terasa tidak sihat...ini adalah proses penuaan. Jangan biarkan keaadaan tidak sihat itu berlarutan.... pergilah ke klinik utk dibuat pemeriksaan kesihatan. Semoga saudara pena... sihat spt sediakala.

Terima kasih,
Phai Chit Chindamanie.

pena reformasi said...

Terima kasih!