Wednesday, October 5, 2011

Sayang Diri Sendiri Terlebih Dahulu


"Aku menyukaimu!"


"Aku menyayangimu!"


"Aku menyintaimu!"


Ini antara beberapa ungkapan yang sering kita dengar. Mungkin kita pernah mengucapkannya kepada seseorang, atau seseorang mengucapkannya kepada kita. Lazimnya, apabila mendengar ungkapan begini daripada seseorang, hati kita berasa senang dan gembira. Kita berbangga dengan diri kita. Maklumlah ungkapan begini menunjukkan bahawa diri kita dihargai. 


Namun, di sebalik ungkapan yang manis ini, terselit kepalsuan yang mungkin tidak kita sedari. Bagaimana mungkin kita mengucapkan "aku menyayangimu" kepada seseorang jikalau kita sendiri tidak menyayangi diri kita? Boleh percayakah ungkapan kita? Bagaimana kita boleh sayang kepada orang lain jika kita tidak sayang kepada diri kita? Atau bagaimana seseorang boleh sayang kepada kita sekiranya dia tidak sayang kepada dirinya? Adakah kita percaya si dia sayang kepada kita jikalau dia tidak sayang kepada dirinya?


Sebelum mengucapkan "sayang" kepada orang lain, terlebih dahulu sayang kepada diri sendiri. Biasanya manusia sayang kepada diri sendiri lebih daripada diri orang lain. Cuma, dalam kes tertentu mungkin kita lebih sayang orang lain berbanding diri sendiri. Namun, kes begini tidak banyak. Kebanyakan manusia lebih sayang kepada diri sendiri. Akan tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana hendak melakukannya. 


Buddha berkata orang yang melakukan kejahatan melalui perbuatan, pertuturan dan pemikiran tidak boleh dikatakan sayang kepada diri sendiri. Walaupun dia berkata "aku sayang diriku" tetapi hakikatnya dia tidak sayang dirinya. Dia sedang memusnahkan dirinya melalui perbuatan, pertuturan dan pemikirannya.


Manakala orang yang melakukan kebaikan melalui perbuatan, pertuturan dan pemikiran barulah boleh dikatakan sayang kepada diri sendiri. Walaupun dia berkata "aku tidak sayang diriku" tetapi hakikatnya dia sayang dirinya. Dia sedang melakukan kebaikan untuk dirinya melalui perbuatan, pertuturan dan pemikiran.


Baginda Buddha sebelum mengucapkan "sayang" kepada umat manusia, Baginda terlebih dahulu sayang kepada diri sendiri. Baginda mengamalkan kebaikan dengan pelbagai cara sehingga bebas daripada segala kejahatan (besar atau kecil) dan akhirnya mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru). Inilah bukti bahawa Baginda sayang kepada diri sendiri, kemudian mengungkapkan "sayang" kepada umat manusia.


Berbeza dengan kita. Diri sendiri pun tidak sayang, tetapi ada hati pergi sayang orang lain. Jikalau betul kita sayang orang lain, buktikan terlebih dahulu kita juga sayang kepada diri kita. Sayang tidak ada makna hanya dengan berkata-kata. Sayang mesti dibuktikan dengan perbuatan. Perasaan sayang yang ikhlas sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disusuli dengan perbuatan yang baik.


Semua orang sayang kepada ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak, rakan-rakan dan sebagainya. Namun, tidak cukup hanya dengan ungkapan kata "sayang" semata-mata. Kita mesti tunjukkan dengan perbuatan. Kita juga mesti sayang kepada diri sendiri.


Penagih dadah misalnya walaupun dia berkata "aku sayang diriku" sehari sepuluh kali tidak membawa sebarang makna. Dadah bakal membunuhnya.


Bagaimana kita mahu buktikan kita sayang kepada anak-anak kita jikalau hari-hari kita melakukan perbuatan yang boleh membawa kemusnahan kepada diri sendiri? Anak-anak tentu mahu kita hidup lama bersama mereka. Mereka mahu kita melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan. Begitu juga dengan ibu bapa dan suami atau isteri kita. Mereka pasti gembira andainya kita sayang kepada diri kita dengan meninggalkan segala perbuatan yang bakal membawa kemusnahan. 


Kesimpulannya, bagi Buddha, orang yang melakukan kejahatan melalui perbuatan, pertuturan dan pemikiran ialah orang yang tidak sayang kepada diri sendiri. Jikalau dia tidak sayang kepada diri sendiri, bagaimana dia boleh sayang kepada orang lain kerana sayang tidak hanya pada ungkapan, tetapi mesti dibuktikan melalui perbuatan, pertuturan dan pemikiran. 


(Rujukanปิยสูตรที่ ๔ ส. สํ.)


No comments: