Sunday, November 13, 2011

Dunia Dan Syurga Tidak Jauh Berbeza

Istilah Bhikkhu secara tersurat bermaksud "peminta" yang tenang. Sekumpulan Bhikkhu atau Persaudaraan Bhikkhu dipanggil Sangha. Akan tetapi maksud Bhikkhu secara tersirat ialah "individu yang melihat bahaya dalam kehidupan". Kehidupan di sini merujuk kepada Vatta Samsara atau pusingan kehidupan. Vatta Samsara meliputi dunia, syurga dan neraka. Di Thailand dan Laos, Bhikkhu lazimnya dipanggil Phra yang bermaksud individu mulia.

Oleh itu, Bhikkhu ialah individu mulia yang melihat (nampak) bahaya di dunia, syurga dan neraka.  Bahaya di sini ialah dukkha. Lahir itu dukkha, tua itu dukkha, sakit itu dukkha, mati itu dukkha. Dilahirkan di syurga pun dukkha dan jadi makhluk neraka paling dukkha. Pendek kata, selagi belum bebas daripada Vatta Samsara, selagi itulah manusia tidak terlepas daripada dukkha.


Kerana dunia itu dukkha, neraka itu dukkha dan syurga juga dukkha, maka Buddha mengajar penganutnya melepaskan diri daripada dunia, neraka dan syurga. Vatta Samsara ini dipenuhi dengan dukkha. Syurga diwar-warkan sebagai bahagia, tetapi hakikatnya kebahagiaan itu sendiri sebahagian daripada dukkha. 


Kenapa Buddha berkata syurga masih dukkha? Syurga tidak bebas daripada Kama, Tanha dan Upadana. Apabila ada Kama, Tanha dan Upadaya maka akan ada Lobha, Dosa dan Moha. Begitu juga dengan kisah para Dewa (Devada) dalam kepercayaan Brahmana yang sentiasa beradu kekuatan, berebut wanita dan berperang sesama Dewa. Di mana ketenangannya? Para Devada ini setelah kehabisan kuasa, bun barami dan Karma baik, akan dilahirkan semula ke dunia. Pusingan kehidupan tidak akan berhenti kerana hukum alamnya begitu. 


Namun, kita mampu keluar daripada pusingan kehidupan tersebut iaitu dengan mengamalkan Ariya Sacca 4 (Magga 8) - satu-satunya jalan kebenaran yang berupaya membawa manusia mencapai kebahagiaan sejati iaitu Nirvana. Apabila manusia mencapai Nirvana, maka kabel pusingan kehidupannya terputus dengan sendiri. Dia langsung bebas daripada bahaya pusingan kehidupan tersebut.


Bhikkhu ialah individu mulia kerana telah melihat bahaya dalam pusingan kehidupan (Vatta Samsara). Oleh sebab itulah Bhikkhu tekun mengamalkan ajaran Buddha agar mencapai Nirvana kerana mereka sedar dunia dipenuhi bahaya, syurga dipenuhi bahaya. Neraka tidak usah diperkatakan kerana azabnya menakutkan sekali. Untuk mencapai Nirvana, Bhikkhu menolak duniawi (Lokiya Dhamma). Ingat bahawa istilah "duniawi" dalam agama Buddha bukan bermaksud dunia ini semata-mata, tetapi merangkumi syurga dan neraka sekali. Apabila  ada orang berkata "duniawi" atau Lokiya, maksudnya ialah dunia, syurga dan neraka. 


Lawan kepada Lokiya Dhamma ialah Lokuttara Dhamma. Lokuttara Dhamma bermaksud "bebas daripada duniawi" atau "bukan duniawi" atau "melepasi tahap duniawi". Perkara ini merujuk kepada minda, pemikiran atau hati. Tubuh tinggal di dunia, tetapi minda melepasi tahap duniawi. Individu ini dinamakan Ariya. Sangha dinamakan Ariya Sangha. Individu biasa dinamakan Ariya Bukkhon (Ariya Puggala). Golongan Ariya terdiri daripada Sodaban, Sakadagami, Anagami dan Arahant. 


Bagaimanakah minda yang dikatakan bebas daripada duniawi? Pertama, seseorang itu mindanya telah bebas daripada Sangjoyana 10 (Sodaban bebas daripada 3 sangjoyana permulaan); dan kedua, bebas atau tidak begitu terikat dengan sifat-sifat dunia. Mereka telah menerima hakikat bahawa sifat-sifat dunia merupakan perkara biasa yang tidak harus diberikan renpons yang melampau - suka atau benci. 


Buddha memberikan 8 sifat utama dunia iaitu Loka Dhamma 8 perkara. Dunia diberikan maksud berdasarkan 8 sifat ini. Orang yang mindanya terikat kukuh dengan Loka Dhamma 8 dikatakan masih di tahap duniawi. Manakala orang yang langsung bebas daripada Loka Dhamma 8 dikatakan telah bebas daripada duniawi. Pembebasan ini berlaku tahap demi tahap mengikut tahap minda.  


Loka Dhamma 8


1. Mendapat Perolehan  - Hilang Perolehan 


2. Mendapat Pangkat - Hilang Pangkat


3. Kutuk - Puji


4. Bahagia - Sengsara



(Lab atau Laba saya berikan maksud perolehan walaupun maksud sebenarnya lebih luas iaitu merangkumi rezeki, pendapatan, keuntungan, kemujuran, bernasib baik dan sebagainya.)


Inilah 8 sifat dunia (sifat manusia) yang hadir berpasangan. Lapan perkara ini apabila diperincikan akan mencambahkan berpuluh-puluh perkara yang lain. Keceriaan atau kemurungan manusia bergantung pada 8 perkara ini. Apabila mana-mana satu perkara di atas menyentuh perasaan, kita akan segera memberi respons. Misalnya, apabila perniagaan kita mendapat keuntungan, kita gembira, apabila rugi kita sedih. Ini hukum alam bagi manusia biasa. Akan tetapi bagi Ariya, mereka tidak memberi respons yang berlebihan, mungkin sekadar berdesis di hati, tidak tergambar di wajah seperti kita. 


Bhikkhu ialah individu mulia yang melihat bahaya di dunia dan berusaha membebaskan diri daripada duniawi. Bagaimana dengan Bhikkhu yang tidak melihat bahaya di dunia dan tidak berusaha membebaskan diri daripada duniawi? Adakah mereka masih layak dipanggil Bhikkhu? Jawapannya boleh, iaitu Bhikkhu yang bermaksud "peminta" iaitu pengemis jalanan yang "dimuliakan" oleh penganut yang sesat. Bhikkhu jenis ini cuma menghabiskan beras orang ramai. 


Saya suka memanggilnya "Sami" kerana bagi saya panggilan "Bhikkhu" yang sebenar dalam agama Buddha mesti merujuk kepada "individu mulia yang melihat bahaya di dunia dan berusaha membebaskan diri (minda) daripada duniawi!" Sama ada mereka ini bergelar Sangharaj, Somdej, Than Chao Khun, Phra Kru, Datuk, Tan Sri atau tiada gelaran tidak penting.   Sohor atau tidak dikenali tidak mustahak. Lama atau baru jadi Bhikkhu bukan persoalannya. belajar tinggi hingga jadi Maha atau buta huruf bukan permasalahan. Ramai Bhikkhu zaman dahulu bukan Maha, tiada Nakhtham, malah buta huruf tetapi menjadi Arahant. Kenapa? Kerana pengamalan yang membezakan Bhikkhu yang mulia daripada Bhikkhu peminta sedekah!


Bercakap tentang Bhikkhu sahaja tidak lengkap. Agama Buddha bergantung pada Buddha borisat 4 iaitu Bhikkhu, Bhikkhuni, Ubasok dan Ubasika. Ubasok ialah penganut lelaki dan Ubasika ialah penganut wanita. Ubasok dan Ubasika juga mesti berusaha agar dapat melihat bahaya di dunia, neraka dan syurga. Apabila sudah melihatnya, berusaha meninggalkan dunia, mengelakkan neraka dan berhentikan impian untuk ke syurga. Semuanya terikat dengan hukum Vatta Samsara yang tidak bebas daripada Anicca, Dukkha dan Anatta. Berusaha untuk mengangkat minda ke tahap Lokuttara Dhamma. 


Biar tubuh hidup di dunia, tetapi minda melepasi duniawi. Umpama bunga teratai yang tumbuh di kolam yang berlumpur tetapi tidak basah oleh air, tidak kotor oleh lumpur. Penganut agama Buddha harus memahami hakikat ini. Jangan nampak tingkah Bhikkhu sahaja canggung, tingkah sendiri pun kena dijaga. Sila 5 merupakan disiplin atau moral asas Ubasok dan Ubasika. Amalkan. 


Buat sedekah beratus-ratus, beribu-ribu, tetapi Sila langsung tidak ada, bukan penganut agama Buddha namanya. Dana, Sila, Samadhi dan Panya ialah konsep agama Buddha yang tiada pada agama lain. Ini ialah kesempurnaan ajaran Buddha. Malangnya, ramai penganutnya terhenti setakat Dana, berpuas hati sekadar menghulurkan sedekah sempena Kathina, Phansa, Sanghadana dan lain-lain. Sila, Samadhi dan Panya terabai terus. Tahukah kita bahawa tidak lengkap sebagai penganut agama Buddha jikalau 4 perkara ini tidak lengkap. Matlamat utama penganut agama Buddha ialah Panya kerana dengan Panya kita boleh mencapai Arahant. Dana menjadi asas kepada Sila, Sila menjadi asas kepada Samadhi dan Samadhi menjadi asas kepada Panya. Tidak keterlaluan seandainya dikatakan bahawa bukan penganut agama Buddha yang tulen sekiranya mengabaikan Panya.


Hasil amalan tidak tercapai dalam sekelip mata. Yang penting mesti ada permulaannya. Seribu langkah yang membawa kejayaan besar kepada seseorang bermula dengan langkah pertama. Mulakan langkah pertama dengan Samma Ditthi (pandangan yang betul), langkah-langkah seterusnya pasti betul!



No comments: