Saturday, November 12, 2011

Jangan Melekat Pada Dhamma!

Oh, Bhikkhu! Umpama seorang pemuda dalam perjalanan jauh berjumpa sebatang sungai yang besar. Seberang sini penuh dengan bahaya yang menakutkan, manakala seberang sana kelihatan selamat. Namun, tiada perahu atau jambatan untuk pemuda itu menyeberangi sungai. Dia pun berfikir: "Jika begitu, biarlah saya kumpulkan rumput kering, kayu kering, ranting dan daun kayu, diikat untuk dijadikan rakit, kemudian berdayung dengan tangan dan kaki pasti akan tiba ke seberang sana dengan selamat!"


Pemuda itu, setelah berbuat sebagaimana yang difikirkannya, dia pun berjaya menyeberangi sungai dengan selamat. Namun, hati dia berkata: "Rakit ini amat berjasa kepada saya. Oleh itu, saya akan bawa rakit pergi bersama saya dengan menjunjung di kepala atau memikulnya di bahu!" 


Oh, Bhikkhu! Apakah tanggapan kalian semua tentang perkara ini? Adakah pemuda itu mempunyai ikatan sebegitu rupa dengan rakit tersebut? (Jawab para Bhikkhu: "Baginda Buddha yang mulia! Perkara itu tidak sebegitu.")


Oh, Bhikkhu! Apakah yang perlu dilakukan pemuda itu? Dia boleh letakkan rakit di atas darat atau biarkan rakit terapung di dalam air! Manakala pemuda itu boleh pergi ke destinasinya. Itu saja! 


Oh, Bhikkhu! Dhamma yang kita ajar adalah untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan, bukan untuk 'dipegang' sebagaimana rakit tersebut. Para ilmuwan yang memahami dhamma sedar bahawa dhamma umpama rakit yang mesti ditinggalkan; apakah lagi perkara yang bukan dhamma! 


(Tipitaka: 12/270/280: Khutbah Buddha kepada para Bhikkhu di Chetawan.)


Selaku putera dan puteri Buddha, kita harus memahami Sutta ini dengan baik agar kita dapat mengamalkan dhamma dengan betul. Dhamma umpama rakit untuk menyeberangi sungai. Setelah berjaya menyeberangi sungai, kita tidak perlu lagi membawa bersama rakit kerana akan membebankan kita. Oleh sebab dhamma umpama rakit, maka tidak tidak boleh membebankan diri dengan dhamma. Dhamma hanya rakit atau jalan atau teknik atau apa sahaja yang kegunaannya untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan. Jauh sekali untuk dibangga-banggakan, ditunjuk-tunjukkan atau disombong-sombongkan.


Namun, ramai antara kita yang suka bertelagah tentang dhamma daripada berusaha menghapuskan kesengsaraan. Mahayana, Vajrayana, Theravada, (Mahanikai, Dhammayut atau Dhammakai) tidak pernah mahu mengalah dalam dhamma; masing-masing mendakwa mereka punya paling hebat. Penganut pula begitu mudah dikelirukan. Maka kedengaranlah suara-suara yang kurang enak didengar yang menyanjung dan memuji aliran anutannya dan pada masa yang sama merendah dan memperlekeh aliran lain. Ini satu kesilapan besar penganut agama Buddha.


Kita tidak perlu pergi jauh. Kita cuba pasang telinga masa berkumpul dengan kawan-kawan Thai kita. Pengikut Dhammakai akan memuji dhamma Dhammakai, pengikut Dhammayut memuji dhamma Dhammayut dan pengikut Mahanikai memuji dhamma Mahanikai. Setakat memuji masih boleh diterima, tetapi ada yang memperlekeh dhamma pihak lain seolah-olah hanya dhamma alirannya sahaja yang betul dan tulen.


Baginda Buddha hanya mengajar "satu dhamma" sahaja, tiada dua atau tiga dhamma yang berlainan. Yang menyebabkan berlainan ialah manusia. Manusia mentafsir dhamma mengikut fahaman mereka (mungkin juga ditafsir mengikut kesesuaian masa, waktu dan faktor geografi). Kita selaku putera dan puteri Buddha tidak harus terikut-ikut dengan "berlainan" ini. Tugasan kita ialah mengamalkan dhamma. 


Ini bukan bermakna kita tidak boleh bercakap tentang perbezaan dhamma. Akan tetapi tidak usah sampai memperlekeh dhamma aliran lain. Kita boleh kritik (atau kutuk) amalan yang salah, tetapi tidak usah sampai mengutuk dhamma. Yang salah ialah orang, bukan dhamma. Dhamma yang diajar Buddha tiada yang salah. Jikalau ada yang salah, itu dhamma daripada orang lain yang bukan Buddha. Itu kita boleh tolak ke tepi. Kita ambil yang betul sahaja. 


Kesimpulannya, dhamma ialah "alat" untuk kita membebaskan diri daripada kesengsaraan, bukan untuk disombong-sombongkan atau dimegah-megahkan: "Hanya dhamma aku boleh bawa aku ke syurga, dhamma orang lain tidak!" Kerana taksub dengan dhamma, ramai yang "melekat" pada dhamma tertentu, sedangkan amalannya tidak berbeza dengan orang lain!



No comments: