Masyarakat Siam
JITRA - Masyarakat Siam di negeri ini melahirkan rasa kecewa dengan penyiaran karikatur patung Buddha yang menggambarkan suasana banjir di Thailand, dalam ruangan global sebuah akhbar kelmarin.

Karikatur yang disifatkan sebagai suatu penghinaan itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat Siam, yang merupakan penduduk minoriti di Kedah.

Sehubungan itu, sebuah laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada 4.30 petang semalam, mengecam tindakan itu.

Ahli Majlis Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Cha Run a/l Em berkata, pihaknya beranggapan karikatur tersebut boleh menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, dan tidak mahu perkara itu berulang pada masa hadapan.

“Saya mohon pihak akhbar berkenaan mohon maaf secara terbuka pada muka surat hadapan dengan segera. Permohonan maaf yang dibuat semalam, dilihat tidak memadai serta tidak menunjukkan keikhlasan dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Ketua PKR Cabang Jerlun, Nordin Ahmad mahu siasatan dibuat berdasarkan kepada Kanun Keseksaan Akta 574, Seksyen 298, yang jelas menyebut sebarang perkataan dengan sengaja yang berniat melukai agama seseorang adalah menjadi kesalahan.

“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi cukup sekadar peringatan supaya jangan mempersendakan agama lain. Tindakan terbabit jelas melanggar sentimen kebebasan agama dalam perlembagaan negara,” katanya.

Pengerusi JKKP Kampung Kubang Chenok, Nuam Dintong, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang didiami penduduk pelbagai kaum.

“Setiap penganut agama lain harus peka dengan sensitiviti agama lain, sikap saling menghormati sangat penting untuk kekalkan keamanan. Saya harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Semua pihak perlu lebih peka dengan amalan dan budaya masyarakat lain,” katanya.

Chit Choi, 45, turut kesal dengan penyiaran karikatur itu yang boleh menjejaskan semangat muhibah sedia ada.

“Bukan sahaja mempersenda patung Buddha, sebaliknya musibah yang berlaku di negara jiran dijadikan bahan gurauan. Perkara ini memang tidak wajar terutama negara kita berjiran dengan Thailand. Dibimbangi boleh jejas hubungan dua hala antara negara,” katanya.
..............................................................................
Betulkah karikatur itu menghina?
Lihat karikatur ini, bikin kepala saya teringat polimik yang menghingar-bingarkan Thailand beberapa tahun dahulu. Politik agama ini timbul ekoran tersiarnya lukisan "Biksu Sandarn Ka" (Biksu mempunyai tabiat burung gagak) dan "Biksu Sandarn Ma" (Biksu mempunyai tabiat anjing). Pada mulanya, saya sendiri rasa kurang senang, tetapi saya tetap menghormati seni dan daya kreatif pelukisnya. 
Berbalik kepada karikatur banjir. Saya keturunan Thai beragama Buddha. Anda yang membaca KSB sekarang juga mungkin keturunan Thai beragama Buddha. Mereka yang di luar - di Kedah, Kelantan, Perlis, Perak, Terengganu, KL dan Selangor juga ramai berketurunan Thai beragama Buddha. Namun, pandangan kita mungkin tidak sama dan mungkin tuntas dengan pandangan masyarakat Siam yang membuat laporan polis terhadap karikatur di atas. 
Keturunan Thai saya tulen kerana belum ada darah kacukan di sebelah bapa atau emak. Ketulenan ini penting kerana bangsa yang "tidak tulen" selalu menjadi seperti peribahasa "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" kerana mahu menonjolkan ketulenannya. Orang Thai Malaysia lazimnya berkulit sawo matang seperti orang Melayu. Orang yang berkulit putih melepak atau hitam legam selalu menjadi lebih sawo matang daripada yang sawo matang yang asli. Jangan terikut-ikut dengan orang-orang ini! Jaga ketulenan bangsa kita!
Saya beragama Buddha, tetapi tidak semestinya pengetahuan agama Buddha saya betul. Oleh itu, apa yang saya lakukan tidak semestinya menggambarkan seorang penganut agama Buddha yang tulen. Kerana pengetahuan agama saya yang tidak hebat, saya tidak mempunyai pandangan yang sama dengan masyarakat Siam yang pergi ke balas polis membuat laporan tentang kartun banjir yang kononnya, imej Gautama Buddha, yang menghina agama dan penganutnya. Betulkah itu imej Buddha? 

1. Karikatur yang disifatkan sebagai suatu penghinaan itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat Siam, yang merupakan penduduk minoriti di Kedah.
Betulkah kartun ini menghina kaum Buddhis? Kartun ini cuma sebuah lakaran. Sebuah lakaran terbentuk mengikut imaginasi pelukisnya. Pelukis boleh melakar gambar apa sahaja mengikut kebolehannya dan kekreatifannya. Apabila dia melakar gambar yang mirip imej Buddha, maka kita pun berkata itu imej Buddha? Kita memperakukan lakaran itu sebagai imej patung Buddha. Kenapakah kita harus memperakukan lakaran itu sebagai imej patung Buddha? Kerana di dalam hati kita ada Upadana (kemelekatan). Apa-apa sahaja gambar, lukisan, lakaran atau kartun manusia berjubah kuning dengan kepala tajam dan berbiji-biji seperti yang terdapat di wat-wat Thai kita akan anggap sebagai  imej Buddha. (Adakah antara kita pernah tengok wajah Buddha? Tidak.) Imej Buddha yang kita lihat di Wat Thai cuma imaginasi manusia. Apabila imej itu digambarkan secara tidak baik, tidak senonoh atau tidak normal seperti mana yang lazim kita lihat, kita akan terasa terhina. Begitu mudah terhina hati penganut agama Buddha yang sejak kecil diajarkan cekal dan tabah?

Saya teringat kisah masa budak-budak dahulu. Apabila ada orang lukis gambar orang dengan jari kaki di atas tanah dan memijak-mijak gambar itu kemudian beritahu kepada kita: "Woi, ini gambar bapa kamu, aku pijak-pijak!" Kita bingkas marah dan terus bergaduh. Kenapa kita harus terima bahawa itu gambar bapa kita? Kita kanak-kanak yang masih bodoh. Bagaimana jikalau ada seribu orang melukis gambar dan memberitahu kita bahawa itu gambar bapa kita? Kita mahu bergaduh dengan seribu orang? Bagaimana seandainya seribu orang itu orang gila? Kita mahu bergaduh dengan orang gila? Seandainya kita "tidak terima" bahawa gambar itu ialah bapa kita, pergaduhan tidak berlaku. Penerimaan kita ialah satu perakuan atau pengesahan yang mendorong perkara yang sama berulang lagi. 
Bagaimana dengan patung Buddha di Wat Thai yang dipersembahkan hiburan atau  tarian separuh bogel di depannya hampir setiap tahun? Tidak menghina? Patung Buddha di dalam Wat Thai dibina dan diiktiraf sebagai imej Buddha, tetapi kita tidak terasa terhina. Adakah kerana kita jahil tentang ajaran Buddha sehingga tidak mampu membezakan yang mana betul dan yang mana salah?

2. Sehubungan itu, sebuah laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada 4.30 petang semalam, mengecam tindakan itu.
Biasanya laporan polis dibuat berkaitan isu jenayah atau salah laku. Di Malaysia laporan polis berkaitan politik pun jenuh, tentang agama pun banyak. Akan tetapi laporan polis berkaitan agama Buddha tersangat kurang. Dalam politik, laporan polis mendapat publisiti meluas, biarpun dikatakan murahan, tidak mengapa. Saya rasa laporan polis tentang karikatur banjir tidak ada niat begitu. Namun, berasa kemusykilan juga apakah tujuan utama laporan polis dibuat? Betulkah kerana terasa dihina?
Kenapa orang yang cari makan dengan menipu dan menggunakan nama agama Buddha tidak dibuat laporan polis? Iklan tilik nasib, tatu, beri nombor ekor, mandi bunga dan lain-lain yang dikaitkan dengan agama Buddha selalu terpampang di dada akhbar, jelas menghina agama Buddha. Kenapa tidak ada laporan polis? 
Persoalannya, selepas laporan polis, apakah tindakan selanjutnya? Berhenti di situ sebagaimana lazimnya publisiti murahan atau diheret ke mahkamah? Adakah dengan laporan polis penghinaan akan hilang? 
Mari kita sorot sedikit ajaran Buddha tentang hal ini. Baginda Buddha pernah dihina oleh golongan Diarathi secara berdepan dan secara tidak langsung. Apakah tindakan Baginda? Baginda tidak mengadu kepada Raja Bimbisara walaupun Raja Bimbisara penaung agama Buddha ketika itu. Buddha tidak membuat laporan kepada tentera atau polis biarpun Baginda boleh berbuat begitu. sebaliknya, Baginda menerangkan kebenaran ajaran Baginda kepada Diarathi sehingga Diarathi berasa malu dan tidak lagi menghina Baginda selepas itu. 
Bagi saya, laporan polis hanya akan membesarkan perkara yang kecil. Ini konsep politik murahan. Masyarakat Siam yang berasa terhina cukup sekadar berjumpa pengarang Harian Metro dan minta beliau tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kita kena sedar bahawa agama Buddha menekankan penyelesaian masalah secara lembut. Masyarakat Siam pun tidak gemar membuat laporan polis. Mereka akan cuba selesaikan masalah secara berbincang atau secara permuafakatan. Jikalau gagal barulah pergi ke balai. Itu pun melibatkan isu serius. 

3. “Saya mohon pihak akhbar berkenaan mohon maaf secara terbuka pada muka surat hadapan dengan segera. Permohonan maaf yang dibuat semalam, dilihat tidak memadai serta tidak menunjukkan keikhlasan dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Harian Metro telah minta maaf, tetapi keikhlasannya diragui. Teringat saya kepada seorang pemimpin Umno yang bukan berkulit sawo matang mempertikaikan keikhlasan Lim Guan Eng memohon maaf kepada sultan dan rakyat Johor. 
Kenapa kita meragui keikhlasan permohonan maaf orang lain? Apakah kemampuan kita membaca hati orang? Ajaran Buddha mengajar penganutnya memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan kepada kita tanpa menunggu dia memohon maaf. Setiap masa kita disuruh memberi maaf kepada semua makhluk di samping memberi kasih sayang dan belas kasihan. Metta yang bermaksud kasih sayang tidak lengkap tanpa kemaafan. Sebaliknya, orang mohon maaf, tetapi keikhlasannya pula diragui dan dipersoalkan. Ajaran mana yang dijadikan sandaran? Dalam ajaran Buddha tiada perkara begini. Buddha memaafkan semua "musuh" Baginda tanpa perlu permohonan maaf daripada orang tersebut. 
Saya tidak menyokong kartun Harian Metro, tetapi saya juga tidak sepandangan dengan masyarakat Siam yang membuat laporan polis. Isu agama harus diselesaikan mengikut kaedah agama. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan tingkah politik. Tidak wajar juga kita meniru cara agama lain. Kita mesti lebih teliti dan bijak. Jangan memperlihatkan kejahilan diri. Penganut agama Buddha bukan setakat orang Thai. Kalau pun ada orang berasa melenting, masyarakat Thai patut bertenang, bijak dan matang menghadapi situasi mencabar. 
Karikatur menghina agama tidak pernah terhenti dengan laporan polis, kutukan atau demonstrasi jalanan. Penganut agama Buddha wajib menggunakan pendekatan Buddha sebagaimana sewaktu Baginda berdepan dengan Diarathi.