Saturday, November 5, 2011

MCCBCHST: Jangan Sempitkan Ajaran Buddha!

Menjelang sambutan Aidiladha, esok Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa pihak berkuasa supaya tidak meneruskan amalan menyembelih lembu-lembu di perkarangan sekolah dan tempat-tempat awam. Dalam kenyataan yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin majlis itu, MCCBCHST  menyuarakan kebimbangan bahawa upacara mengorbankan lembu - yang dianggap sebagai binatang suci oleh penganut Hindu - akan diadakan di premis sekurang-kurangnya dua buah sekolah di Kuala Lumpur pada Jumaat ini. - (Internet)


Seorang bhikkhu pernah berkata, agama Buddha akan musnah apabila berada di tangan orang yang jahil dhamma. Maklumlah orang yang jahil agama akan buat ikut kejahilannya bukan ikut kebenaran dhamma. Dia akan berkata: "Apa yang saya buat ini suruhan Buddha!" Hakikatnya Buddha tidak pernah berkata begitu. Dia yang berkata, bukan Buddha. Akibatnya orang akan tersalah faham, ingat Buddha mengajarkan fahaman sempit. 


Fahaman Buddha tidak sempit. Yang berfahaman sempit ialah orangnya. Umpama kenyataan MCCBCHST di atas. Kenyataan ini bertujuan baik bagi menjaga sensitiviti agama Hindu yang menganggap lembu haiwan suci. Oleh itu, lembu tidak boleh disembelih di tempat awam yang mungkin disaksikan oleh kanak-kanak. 


Saya tidak berniat mempersoalkan kenyataan MCCBHST kerana itu bukan urusan saya. Cuma saya tertanya-tanya apakah yang sedang bermain di kepala anggota agama Buddha dalam MCCBHST? Semua pembunuhan (manusia atau haiwan) dilarang dalam agama Buddha. Apakah bezanya membunuh  (menyembelih) haiwan di tempat awam, di sekolah atau di tempat terbuka dengan tempat khusus atau tertutup? Adakah membunuh binatang di tempat awam atau di sekolah lebih besar dosanya? Dan dalam banyak-banyak perkara yang menyentuh sensitiviti agama, kenapa penyembelihan lembu korban dipilih untuk dijadikan isu? 


Setahu saya Buddha melarang membunuh binatang tanpa mengira tempat kerana di mana-mana tempat sekali pun binatang tetap sayang kepada nyawanya. Seperti juga dengan manusia, di mana-mana sekali pun manusia tidak rela dibunuh. Binatang pun sama. Begitulah ajaran Buddha yang saya tahu.


Saya tidak pasti agama Buddha yang mana yang menganggotai MCCBHST. Berapa ramai jumlahnya? Atau beberapa orang sahaja, tetapi menggunakan nama "agama Buddha" seolah-olah semua agama Buddha menjadi anggota MCCBHST. Saya katakan begitu kerana agama Buddha di Malaysia ada pelbagai jenis; ada yang betul, ada yang tidak betul. Ada yang tulen, ada yang palsu. Ada yang jujur, ada yang menipu.  Bahkan terdapat fahaman yang pada asasnya tidak ada kaitan dengan ajaran Buddha, tetapi menggunakan nama Buddha lalu mendakwa fahaman mereka ialah agama Buddha. 


Setahu saya terdapat 2 mazhab utama agama Buddha di Malaysia iaitu Mahayana dan Theravada. Mahayana ada pelbagai aliran dan jenis. Begitu juga dengan Theravada - ada Theravada Thailand, Theravada Sri Lanka dan Theravada Burma. Jadi agama Buddha yang manakah yang menjadi anggota MCCBHST? Kesemuanya sekali?


 Walaupun MCCBHST tidak mewakili majoriti penganut agama (selain Islam) di Malaysia, selaku kaum Buddhis saya terpanggil untuk melontarkan pandangan. Kenyataan MCCBHST berbentuk pribadi, tidak mewakili kaum Buddhis, malah telah menyempitkan fahaman Buddha. 


Apabila kita hendak bercakap tentang sensitiviti, semua penyembelihan haiwan  dilarang sama sekali kerana ia menyentuh sensitiviti kaum Buddhis. Namun, MCCBHST tidak pula melarangnya. Kenapa sensitiviti kaum Hindu sahaja yang dijaga manakala sensitiviti kaum Buddhis diabaikan? Tentulah kurang manis jika saya katakan anggota Buddhis dalam MCCBHST jahil dan gagal menyelami ajaran tulen Buddha. Mereka hanya melihat sensitiviti kaum Hindu, tetapi gagal melihat sensitiviti kaum Buddhis. (Apatah lagi sensitiviti penganut Islam). 


Lembu binatang suci bagi agama Hindu. Akan tetapi lembu juga makanan bagi agama lain. MCCBHST, khasnya agama Buddha harus faham perkara ini. Jangan sempitkan fikiran, dangkalkan pengetahuan. Buddha sendiri pun tidak mampu menjaga semua binatang daripada dibunuh. 


Pada zaman Buddha dahulu, sesetengah penganut Brahmana melakukan upacara pemujaan dengan mengorbankan binatang (puja jan), tetapi Buddha tidak pernah menegahnya. Baginda tidak mahu menyinggung perasaan mereka. Cuma Baginda menasihati bahawa pembunuhan binatang untuk tujuan apa sekali pun tidak baik. Semua binatang sayang akan nyawanya. 


Tidak tahulah sekiranya agama Buddha dalam MCCBHST melakukan lebih daripada Buddha?


Saya kira pemimpin Buddhis harus menggunakan kebijaksanaan kerana agama kita menitikberatkan kebijaksanaan. Membunuh binatang tidak kira di sekolah, di sawah, di bukit atau di sungai, sama sahaja. Pokoknya ialah membunuh dengan niat. Kita patut melarang semua pembunuhan di semua tempat, masa dan waktu. Jangan dituju kepada penyembelihan lembu korban sempena Aidiladha semata-mata. Penyembelihan lembu, kerbau, kambing, babi ayam, itik dan sebagainya adalah dilarang kerana melanggar Sila 5 yang merupakan Sila asas kaum Buddhis. Jadi, tidak rasional jikalau larangan hanya dituju kepada lembu semata-mata. 


Larangan penyembelihan lembu korban di sekolah atau tempat awam bakal menyentuh sensitiviti orang Islam. Sejak kecil dahulu saya selalu melihat jiran-jiran Islam saya menyembelih lembu korban di padang sekolah kami. Namun, ketika itu MCCBHST belum wujud.


Bagaimana sekiranya penganut agama Islam minta agama lain menjaga sensitiviti mereka, misalnya tidak berpakaian seksi dan tidak tutup aurat di tempat awam, minum arak di premis yang ada orang Islam atau upacara pemujaan "hantu lapar" di tempat terbuka? 


MCCBHST harus rasional bahawa kita hidup di sebuah negara yang berbilang kaum dengan bermacam-macam anutan agama dan penyembelihan lembu di padang sekolah bukan dimulakan semalam atau kelmarin, tetapi sejak lama dahulu. 


Pemimpin agama Buddha harus bijak dan berfikiran terbuka. Buddha mengajar kita menjaga mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati kita. Buddha menganjurkan kita menjaga diri sendiri dan persekitaran yang kita diami.  Buddha tidak menyuruh kita menjaga orang lain (penganut agama lain). Mereka ada ajaran mereka. Kita ada ajaran kita. 


Sebagai penganut agama Buddha, melarang pembunuhan binatang adalah sesuatu yang baik, tetapi janganlah terbatas kepada lembu sahaja. Jangan terlalu ghairah ingin menjaga sensitiviti agama lain sehingga mengabaikan agama sendiri. Lazimnya, penganut agama Buddha, khasnya di Malaysia tidak gemar dengan isu yang "panas". Jangan kerana terikut-ikut dengan rentak MCCBHST, kesucian agama Buddha dicemari dan keharmonian antara agama dikorbankan. Fikirkan kaum manusia (dan segala makhluk yang lain) keseluruhannya. Jangan fikirkan diri sendiri atau kelompok kecil semata-mata kerana agama Buddha ialah agama sejagat!















No comments: