Sunday, November 20, 2011

"Perlembagaan Persekutuan" Dalam Agama Buddha

Seorang sahabat memberitahu bahawa dia pergi tambun di sebuah Wat Thai dan Luang Phor memberi katha untuk jadi kaya. Mengikut Luang Phor, katha ini mesti dibaca setiap pagi baru mujarab. Saya berkata, tanyalah kepada Carlos Slim Helu, Bill Gates, Warren Buffett, Bernard Arnault, Lawrence Ellison, Lakshmi Mittal, Amancio Ortega, Eike Batista, Mukesh Ambani dan Christy Walton apakah katha yang mereka baca hingga jadi 10 orang terkaya di dunia pada 2011 (Majalah Forbes). Atau boleh sahaja bertanya kepada Tan Sri Tony Fernandes, pemilik AirAsia yang kaya begitu cepat.


Sahabat saya bertanya lagi bagaimana kita mahu memastikan sama ada Dhamma itu tulen atau tidak. Dhamma tulen ialah Dhamma yang diajarkan oleh Buddha. Manakala Dhamma yang tidak tulen ialah Dhamma yang meresap masuk ke dalam agama Buddha selepas kewafatan Baginda Buddha. Peresapan ini berlaku berterusan mengikut perdedaran masa. Dhamma yang meresap masuk ini menyebabkan penganut menjadi keliru. Bahkan sesetengahnya telah menenggelamkan Dhamma yang tulen.


Dhamma Buddha yang tulen mesti memenuhi 8 ciri seperti berikut: 


1. Tidak menambahkan kemahuan / keinginan / keberahian.
2. Melepaskan (membebaskan) makhluk daripada vatta-samsara (pusingan kehidupan).
3. Tidak memupuk Kilesa (Loba, Dosa, Moha).
4. Tidak memupuk keinginan yang besar.
5. Berpuas hati dengan apa yang dimiliki.
6. Menganjurkan kehidupan yang menyisihkan diri.
7. Tidak menyebabkan kemalasan.
8. Menyebabkan senang dipelihara (tidak cerewet dalam pemakanan / pemakaian).

Ajaran lain yang bercanggah dengan 8 ciri di atas ialah bukan Dhamma Buddha. 


Sebelum ini saya pernah tulis tentang perkara ini. Bacaan lanjut klik di sini.


Lapan ciri ini boleh dianggap sebagai "Perlembagaan Persekutuan" bagi agama Buddha.  Perlembagaan Persekutuan penting kerana ia merupakan undang-undang tertinggi. Undang-undang lain atau peraturan-peraturan lain yang bercanggah dengan Perlembagaan akan terbatal secara automatik. 


Begitu juga dengan agama Buddha. Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan lapan ciri di atas dengan sendirinya akan "terbatal" kerana ia bukan ajaran Buddha. Contohnya, ajaran yang menambahkan keinginan nafsu, keberahian, ketamakan, kemarahan dan kesesatan bukan ajaran Buddha. 


Individu yang tamak (mahu kaya dengan cara mudah) sering pergi wat Thai minta Luang Phor memenuhi ketamakannya. Luang Phor yang "baik hati" dengan sedaya upaya memenuhi permintaan tersebut dengan pelbagai cara antaranya mandi bunga, lekat kepingan emas, baca Paritta, baca Katha, jampi mantera, bagi azimat dan lain-lain. Ini bukan ajaran Buddha kerana ajaran Buddha tidak memupuk ketamakan. Buddha mengajar penganutnya mengurangkan ketamakan. 


Vatta Samsara (Thai sebut: Vatta Songsan) ialah pusingan kelahiran yang melibatkan 3 alam iaitu dunia, syurga dan neraka (Tri-Bhumi). Ajaran Buddha tidak mengajar penganutnya melekat atau kekal dalam Vatta Samsara. Sebaliknya, Baginda mengajar kita bebas daripada Vatta Samsara bagi mencapai Nirvana. Ajaran yang mengajar penganutnya kekal di dunia atau pergi ke syurga bukan ajaran Buddha. Ajaran Buddha mesti mengajar penganutnya mencapai Nirvana. Nirvana ialah kebebasan mutlak minda kita daripada Kilesa. 


Selaku penganut agama Buddha, kita mesti fahami lapan ciri di atas dengan betul agar kita tidak  terkeliru. Apabila kita terjumpa ajaran yang didakwa ajaran buddha, tetapi bercanggah dengan lapan ciri di atas, maka ajaran tersebut sebenarnya bukan ajaran Buddha. Kita perlu tolak biarpun seindah mana ajaran itu. 


Hari ini terdapat begitu banyak ajaran yang cuba memenuhi kehendak Kilesa manusia. Manusia hari ini dilanda Kilesa "ingin kaya". Ingin kaya tidak salah. Yang salah ialah ingin kaya dengan jalan pintas.  Ingin kaya bagi manusia malas berusaha. Dalam agama Buddha tidak ada ajaran yang boleh dikatakan "jalan pintas". Semuanya mesti diusahakan. Masakan Buddha mengajar kita sabar, tekun dan tabah jikalau ada jalan pintas untuk berjaya. Semuanya mesti melalui konsep "sebab-akibat". Apabila ada "sebab" barulah ada "akibat". Ada usaha, barulah ada hasilnya. Kejayaan tidak datang bergolek. Buddha sendiri memerlukan masa 6 tahun berusaha dengan tekun dan tabah sebelum mencapai Nirvana. 


Buddha mengajar kita menghapuskan Kilesa. Akan tetapi hari ini terdapat begitu banyak ajaran yang cuba memenuhi kehendak Kilesa. Ini jelas sekali bukan ajaran Buddha. Walaupun ajaran ini diajarkan di Wat Buddha oleh Bhikkhu, tetapi ia perlu ditolak. Ajaran yang cuba melayan Kilesa ini bakal merosakkan diri, masyarakat dan agama kita. 





3 comments:

Anonymous said...

Sawaddi Tuan Pena!

Orang kita kurang ambil berat perkara ini. Mereka main redah ikut suka. Sikap kebendaan merosak agama kita.

Anonymous said...

Sebenarnya kita yg merosakkan agama kita, bukan orang lain.Termasuk juga anda anonymous 20/11/2011.Sekira anda berkata orang lain tidak betul, sebenarnya andalah yg tidak betul.

Anonymous said...

Syabas Tuan Pena! Ini tanggungjawab kita jaga agama kita. Saya kagumi dengan ketekunan Tuan Pena nulis dhamma. Saya belajar kelas Naktham A. Terus terang dhamam saya belum setahap Tuan Pena. Biar orang kata tak baik, peduli apa saya sokong KSB sepenuh hati. Kita mahu orang macam Tuan mengembang agama Buddha. Terima kasih!