Monday, November 7, 2011

Sudut Gelap Dalam Agama


Dalam kitab Tipitaka digambarkan bahawa keputeraan Baginda Buddha diikuti oleh cahaya yang terang benderang menerangi setiap sudut yang gelap. Tempat yang tidak pernah ada cahaya, melainkan kegelapan sepanjang masa, apabila Buddha lahir, tempat tersebut menjadi terang benderang sehingga para penghuninya yang selama ini hidup dalam kegelapan berteriak: "Oh, kita telah dapat melihat dan mengenali satu sama lain!" 


Betapa Buddha membawa pencerahan kepada dunia dan segala makhluk di dalamnya. Namun, setelah zaman berlalu, selepas kemangkatan Buddha, para penganutnya telah mencipta sudut gelap dalam agama Buddha. Sudut gelap ini umpama bencana besar yang sedang menanti memusnahkan kehidupan para penganut. 


Ajaran asal setiap agama, khususnya agama Buddha mengajar umatnya menjadi insan yang baik, bersahsiah tinggi, saling menyayangi sesama manusia, menghormati jiran tetangga, saling membantu, tidak menyusahkan  orang lain, mengamalkan kesederhanaan dalam hidup, meninggalkan semua kejahatan, misalnya tidak menagih dadah, tidak menjadi kaki judi, kaki botol, kaki perempuan, merompak, menipu, berbohong dan sebagainya. 


Selain itu agama juga mengajar umatnya menjadi insan yang bertanggungjawab, amanah, tekun dan sabar menghadapi dugaan hidup. Segala ajaran ini memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri dan masyarakat umum. Sekiranya semua orang atau sebahagiaan besar mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan agama, nescaya dunia akan aman damai. 

Sebenarnya ajaran asal agama tidak banyak, tetapi ditokok tambah mengikut keperluan semasa. Tokok tambah ini ada yang betul dan ada yang terpesong daripada ajaran asal. Tokok tambah yang terpesong ini menyebabkan amalan penganut ikut terpesong, sesat dan tidak membantu menambahkan kefahaman terhadap kebenaran. Oleh sebab penganut tidak memahami kebenaran, maka kehidupan mereka juga tidak bertambah baik. Bahkan semakin teruk kerana lebih banyak keburukan daripadan kebaikan yang menjadi rutin kehidupan. Dalam kata yang lain, kehidupan semakin sengsara.

1. Sekarang satu perkara yang ditokok tambah yang jelas dilihat dan diamalkan setiap masa ialah "upacara pemujaan" (พิธีกรรม). Ini merupakan tokok tambah yang dicipta oleh generasi selepas Buddha untuk memudahkan penganut mengamalkan ajaran dengan tertib, sopan dan berdisiplin. Tokok tambah ini umpama kod etika dalam pengamalan harian. Malangnya, penganut  menganggap "upacara pemujaan" ini sebagai perkara yang penting sehingga menenggelamkan kepentingan ajaran Buddha. Lebih malang lagi apabila ada penganut yang tersalah faham menganggap "upacara pemujaan" ialah teras agama Buddha. Maka ramai yang mengabaikan ajaran Buddha, sebaliknya mereka berpegang teguh pada upacara pemujaan (sasana pitthi juga termasuk dalam kategori ini).

2. Perkara yang kedua ialah "menjadikan agama sebagai alat mencari faedah untuk diri" oleh pengajar agama (atau bhikkhu). Golongan yang materialistik menggunakan agama sebagai umpan untuk memancing material untuk faedah diri. Sesiapa yang mahu mendekati agama mesti membawa harta atau duit untuk diderma barulah diberikan perhatian.  Sesiapa yang tidak membawa harta atau duit akan terpinggir dan tidak diberikan perhatian langsung. Agama Buddha yang sebenarnya merupakan "pemberi" kini telah bertukar menjadi "penerima" kerana golongan materialistik ini. Pengajar agama menjadi kaya raya dan hidup mewah. Manakala penganut terus miskin. Maka tidak hairanlah apabila ada orang mendakwa agama Buddha mengambil kesempatan membuat keuntungan daripada para penganutnya.

3. Perkara ketiga ialah, sekarang ini, agama mengajar manusia agar mementingkan diri. Agama mengajar penganutnya "bermurah hati" menderma untuk agama, kemudian memberitahu mereka agar menunggu hasilnya pada masa hadapan, iaitu selepas mati.  Menderma sedikit pun, hasilnya bertimbun-timbun, apatah lagi jika menderma banyak. Maka berduyun-duyun penganut datang mendema. Penganut sedar bahawa harta dunia apabila mati tidak boleh dibawa pergi. Di dunia mereka hidup mewah. Selepas mati mereka juga mahu mengecapi kemewahan tersebut. Lantas banyaklah harta benda diderma kepada agama dengan niat untuk menikmati hasilnya selepas mati. Mereka secara tidak langsung menjadi manusia pentingkan diri. Bukankah lebih baik sekiranya harta benda didermakan untuk keperluan masyarakat yang memerlukannya, umpamanya fakir miskin, orang sakit, orang cacat, anak yatim dan sebagainya. Namun kerana pentingkan diri, mereka hanya "bermurah hati" menderma untuk diri sendiri semata-mata. Malahan mereka ini seperti berlumba-lumba membuat pelaburan untuk hari selepas mati biarpun belum ada sesiapa berjaya membuktikan kebenarannya. Yang pastinya individu yang menjaga institusi agama hidup mewah daripada harta benda itu.


4. Perkara yang keempat ialah mengambil ajaran yang bukan ajaran agama Buddha untuk diajarkan kepada penganut dan meminta mereka mengamalkannya. Mungkin kerana terdapat orang mengamalkanya sebelum ini dan memperoleh hasil yang lumayan. Namun, ia tetap bukan ajaran Buddha, tidak betul, sesat dan bakal memusnahkan ajaran yang tulen. Ajaran tentang syurga, neraka, Karma dan teknik meditasi yang diamalkan penganut bukan semuanya ajaran Buddha. 


5. Perkara yang kelima ialah "kelemahan pengajar agama (bhikkhu) yang kurang mengambil berat terhadap amalan yang mulia" menyebabkan penganut menjadi tawar hati terhadap agama.  Tri-Ratana iaitu Buddha, Dhamma dan Sangha merupakan perkara yang paling penting dalam agama Buddha. Apabila Sangha lalai dan tidak mengamalkan Dhamma dengan betul atau apa yang dikatakan "cakap tidak serupa bikin" akan menyebabkan penganut menjauhkan diri daripada agama. Penganut menyanjungi Sangha sebagai insan yang suci dan mulia. Apabila Sangha tidak mempunyai ciri-ciri insan yang suci, penganut pasti kecewa. Akibatnya, mereka sangka agama hanya indah khabar daripada rupa.


6. Perkara yang keenam ialah amalan penganut itu sendiri yang tidak mengikut ajaran agama. Apabila penganut mengamalkan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama, maka orang di luar agama (atau mereka yang tidak ada agama) akan menyangka bahawa agama tidak mengajar penganutnya berbuat baik. Apa bezanya ada agama dengan tiada agama jikalau perlakuannya sama sahaja. Penganut agama Buddha misalnya selalu berkata agama Buddha paling baik, realistik, rasional dan selari dengan konsep sains, akan tetapi pada masa yang sama perlakuan mereka lebih teruk daripada penganut agama lain. Jikalau kita mahu orang lihat agama kita baik, kita mesti berkelakuan baik juga. Sila 5 merupakan asas moral bagi penganut agama Buddha, tetapi berapa ramai yang ada pegangan Sila 5? Tahukah kita bahawa orang yang tidak ada Sila 5 tidak layak dipanggil Ubasok atau Ubasika. 


7. Perkara yang ketujuh ialah peraturan-peraturan dalam agama yang "memaksa" penganut secara langsung atau tidak langsung agar melakukan perkara tertentu, menyebabkan penganut hilang kebebasan dalam berfikir, bercakap dan bertindak. Walaupun agama Buddha tiada unsur paksaan secara langsung, tetapi terdapat beberapa perkara yang dipaksa secara halus. Ini bukan ajaran Buddha, tetapi telah diamalkan sebagai sebahagian daripada ajaran Buddha. Contohnya, upacara tambun tertentu, semua penganut diminta menyertainya, jika tidak, mereka akan turun neraka. Kerana takut, mereka terpaksa akur.  Ini unsur ugutan dan paksaan secara halus. Di sebuah wat Thai di Kelantan, masa perayaan Kathina, seorang bhikkhu (lebih layak dipanggil sami) memujuk orang ramai membeli civorn. Di Kuala Lumpur, sekumpulan penganut agama Buddha menjual nama "Luang Phor Kron" yang terkenal untuk mengutip duit Kathina untuk sebuah wat di Kelantan.  Mendapatkan duit derma dengan memperdaya orang lain adalah satu penipuan. Pihak wat yang terlibat tidak harus membiarkan perkara seumpama ini berulang. 


8. Perkara yang kelapan ialah "fikiran yang sempit sesetengah mazhab atau aliran" yang mendakwa mazhab atau aliran mereka sahaja yang betul, mazhab atau aliran lain salah. Sesiapa yang mengikut mazhab atau aliran mereka dijamin syurga sebagai ganjaran. Sesiapa yang mengikut mazhab atau aliran lain akan turun neraka. Padahal hakikatnya, baik dan buruk seseorang bergantung pada amalannya, bukan mazhab atau aliran agama. Mahayana misalnya suka menyerang Theravada dan menganggap Arahant sebagai individu yang belum bebas daripada dukkha dalam erti kata yang sebenar. Hanya Bodhisatta insan mulia kerana bakal menjadi Buddha. Aliran Dhammayut dan Mahanikai juga selalu bertelagah tentang amalan siapa lebih baik. Sekarang timbul pula Dhammakai yang mengasingkan diri sebagai satu entiti agama yang tersendiri.


Kesemua perkara yang diceritakan di atas lahir kemudian, iaitu selepas kemangkatan Baginda Buddha. Oleh sebab itulah, terdapat sesetengah penganut yang celik akal berasa jemu dengan situasi agama Buddha masa kini. Akibatnya ramai yang malas masuk wat, malas hendak ikut upacara pemujaan yang sesat, malas bergaul dengan mereka yang materialistik yang mengambil kesempatan mencari keuntungan daripada agama dan malas bertemu muka dengan golongan gila pahala yang menderma kekayaan untuk kehidupan selepas mati. Segala kesesatan atau kekeliruan ini bakal memendekkan usia agama Buddha. 


Agama Buddha begitu indah, lengkap, sempurna dan realistik, tetapi tercemar dan hilang identitinya kerana golongan yang sesat ini. Sudut gelap ini bakal menghumban penganut ke zaman kejahilan (avijja) sebagaimana sebelum kelahiran Buddha!


   
     

       

No comments: