Monday, November 21, 2011

Vimutti

Vimutti bermaksud penyelamatan atau pembebasan minda. Vimutti mempunyai 2 jenis iaitu Ceto-Vimutti (pembebasan melalui Samadhi tahap tinggi) dan Panya Vimutti (pembebasan melalui kebijaksanaan).


Pembebasan daripada apa? Pembebasan daripada menjadi hamba kepada segala benda, khususnya benda yang kita suka. Apabila kita menjadi hamba kepada segala benda, maka minda kita tidak bebas, sebaliknya bertindak mengikut benda tersebut. Segala benda menjadi tuan, menjadi raja kepada minda. 


Orang sekarang menjadi hamba kepada material, hamba kepada wang ringgit. Orang sanggup berbuat apa sahaja demi material dan wang ringgit. 


Malahan benda yang kita tidak suka pun, kita menjadi hambanya. Kita menjadi hamba kerana kita membencinya. Perasaan benci menyebabkan minda kita tidak bebas. Minda kita menyimpan perasaan benci. Setiap kali terkenang atau terlihat benda yang kita benci, kita berasa tidak selesa, tidak senang dan tidak tenteram. Adakalanya kita mengutuk dan menyumpah dalam hati. Kita sepatutnya tidak membenci benda yang kita tidak suka. 


Maka Vimutti ialah pembebasan minda daripada menjadi hamba kepada segala benda yang kita suka dan tidak suka. Segala benda yang kita suka, cinta, sayang, benci, marah dan dendam menjadi tuan kepada kita.  Benda-benda ini mengarah dan menentukan tindak tanduk kita. Oleh itu, kita mesti membebaskan minda daripada segala benda yang kita suka dan tidak suka agar tindak tanduk kita tidak dipengaruhi. 











No comments: