Sunday, December 11, 2011

Adakah Kita Penganut Agama Buddha?

Lazimnya apabila kita ditanya, apakah agama anutan awak? Kita akan segera menjawab, agama Buddha. Apabila ditanya lagi, apakah ciri-ciri agama Buddha, atau apakah ciri-ciri penganut agama Buddha? Kita mungkin perlu berfikir sejenak sebelum menjawab. Atau mungkin juga jawapan itu tidak ada pada kita. Kita tidak pernah bersedia untuk menghadapi soalan begitu!


Secara jujur, bolehkah kita menjawab, apakah ciri-ciri yang ada pada kita bagi membuktikan bahawa kita penganut agama Buddha? Apakah sandaran bagi menyokong dakwaan kita? 


Adakah kerana ibu bapa kita penganut agama Buddha dan mereka sering membawa kita pergi wat menyertai upacara agama, maka kita pun menjadi penganut agama Buddha? Pada luarannya memang ya. Akan tetapi, dalamannya belum pasti. Agama seseorang terletak pada hatinya. Lagipun, melakukan upacara agama semata-mata tidak mungkin akan menyebabkan kita lebih mengenali agama Buddha. 


Adakah setelah kita melafazkan Buddhang Saranang Gaccami (mohon Buddha sebagai pelindung), Dhammang Saranang Gaccami (mohon Dhamma sebagai pelindung), Sangkhang Saranang Gaccami (mohon Sangha sebagai pelindung), kita telah menjadi penganut agama Buddha?  Pada teorinya seseorang yang melafazkan "3 Perlindungan" di atas boleh dianggap sebagai penganut agama Buddha. Namun, hakikatnya tidak semudah itu. Semua orang boleh melafazkan "3 Perlindungan ini. Kanak-kanak pun boleh. 


Adakah dengan berpegang pada Sila 5 atau Sila 8 kita boleh dianggap sebagai penganut agama Buddha? Agama lain pun ada larangan ke atas umatnya daripada membunuh, mencuri, berzina, berbohong dan minum arak. Jadi, Sila tidak boleh dijadikan bukti bahawa kita penganut agama Buddha kerana agama lain juga ada larangan yang sama. 


Kita selalu suatmon pagi dan petang (morning chanting dan evening chanting). Oleh itu, kita ialah penganut agama Buddha? Adakah Baginda Buddha juga suatmon? Saya rasa tidak. Ramai antara kita yang sangat rajin suatmon, tetapi tidak ramai yang memahami maksudnya. Jika tidak faham, apakah bezanya kita suatmon dengan kita menyanyi lagu Amerika Latin?


Saya selalu duduk Samadhi, kata kawan saya. Adakah dengan duduk Samadhi boleh dijadikan alasan bahawa awak penganut agama Buddha? Samadhi awak belum pasti betul. Mungkin micca Samadhi. Begitu saya bersenda dengannya. Lagipun, sekarang ini Samadhi sangat popular di Timur dan Barat. Penganut agama lain juga mengamalkan Samadhi untuk kesihatan dan kecerdasan otak. Di sesetengah hospital di Jepun, pesakit tanpa mengira agama akan diajarkan teknik Samadhi untuk menenangkan mindanya sebelum menjalani pembedahan. Duduk Samadhi belum cukup memberitahu dunia bahawa kita penganut agama Buddha.


Saya lulus Naktham A (pendidikan agama), kata kawan saya lagi. Ramai orang ada Naktham A, jawab saya, tetapi bukan penganut agama Buddha yang baik. Jiran saya ada Naktham A juga walaupun mabuk siang dan malam. Orang yang lulus Naktham umpama pelajar yang lulus PMR, SPM atau STPM. Pelajar ini tahu tanaman gandum di Prairie biarpun tidak pernah berpijak kaki ke Kanada. Bapa saudara saya belajar hingga jadi Phra Maha, tetapi amalannya memalukan. Mempunyai kelulusan atau sijil agama tidak cukup untuk menjadikan seseorang penganut agama yang betul.


Jadi, apakah yang boleh dijadikan sandaran bahawa kita penganut agama Buddha? Lahir di dalam keluarga Buddhis, selalu pergi wat, melafazkan 3 perlindungan, suatmon, ada Sila 5, duduk Samadhi dan ada Sijil Naktham boleh dijadikan sandaran, tetapi tidak cukup. Penganut agama Buddha mesti memiliki "nilai" yang lebih tinggi daripada "nilai-nilai" yang disebutkan di atas. Apakah nilainya?


Buddha mengajar Dhamma kepada kita supaya kita dapat melepaskan diri daripada dunia. Dunia ialah Dukkha. Kita sebenarnya terikat dengan dunia (duniawi). Selagi ikatan tersebut tidak dileraikan, selagi itulah kita tidak bebas. Ikatan tersebut dalam bahasa Pali disebut Sangyot (Sangyojana / Samyojana). Apabila ikatan tersebut berjaya dileraikan, baru kita bebas daripada dunia. Bebas daripada dunia dipanggil Lokuttara. Dunia (duniawi) dipanggil Lokiya. Bebas daripada dunia dipanggil Lokuttara. Bebas di sini bermaksud berada di atas dunia. Tubuh kita tinggal di dunia, tetapi minda kita tidak terikat pada dunia. Itulah Lokuttara Dhamma. 


Samyojana ada 10 jenis. (Fetters. There are 10 fetters tying beings to the wheel of existence.) Tiga Sangyot yang pertama apabila berjaya dileraikan, mampu meletakkan seseorang pada tahap yang boleh dipanggil "penganut agama Buddha yang tulen". 3 Sangyot tersebut ialah:


1. Sakkaya-ditthi - mempercayai kewujudan "diri" (Atta) iaitu melihat tubuh dan minda (jasmani dan rohani) ialah "diri kita" dan "milik kita" yang menjadi punca kepada perasaan mementingkan diri. Apabila wujud "diri" aku, maka wujud pula "milik" aku. Diri aku dan milik aku membawa kepada kelahiran perasaan pentingkan diri, tamak dan sebagainya. Apabila wujud aku dan milik aku, maka wujud pula yang berlawanan dengannya iaitu diri kamu dan milik kamu atau diri mereka dan milik mereka. Kejuwudan "diri" ini merupakan akar tunjang kepada ribuan masalah yang mengikat insan dengan penderitaan dan kelahiran semula. Kebebasan sejati tidak tercapai kerana "diri" aku ini. Sebab itulah Buddhadasa Bhikkhu pernah berkata: "Hapuskan "aku" barulah kita dapat hidup bahagia!"


2. Vicikiccha - perasaan waswas, sangsi, curiga atau tidak yakin dengan ajaran Buddha, terutamanya berkaitan amalan menghapuskan kesengsaraan. (Ariya Sacca 4 dan Magga 8). Apabila kita sangsi dengan Dhamma yang diajarkan oleh Buddha, maka sukarlah untuk kita mengamalkan Dhamma tersebut. Kita sangsi sama ada ajaran Buddha itu baik atau tidak; betul atau salah; memberi hasil yang baik atau sebaliknya. Kesangsian menjadi semakin kecamuk apabila kita turut mempelajari agama lain. Pada zaman langir terbuka kini, ajaran agama yang ada di muka bumi boleh dipelajari dengan mudah. Oleh itu, kebijaksanaan dan kematangan fikiran amat diperlukan untuk kita membuat keputusan yang tepat. 


Lazimnya, manusia tidak akan mengamalkan apa-apa yang tidak dipercayainya. Oleh itu, kepercayaan pertama perlu ada. Setelah ada kepercayaan pertama (kepercayaan asas), barulah kita mengamalkannya untuk melihat hasilnya. Daripada hasil tersebut barulah lahirnya keyakinan. Agama Buddha tidak berlandaskan kepercayaan semata-mata, jauh sekali kepercayaan secara ikut-ikutan. Amalkan terlebih dahulu asas-asas Dhamma, kesangsian pasti hilang. Selepas kesangsian hilang, amalan yang lebih tinggi pasti menyusul. Keyakinan yang teguh merupakan benteng yang melindungi kita daripada terpesong daripada agama Buddha. Menghapuskan Vicikiccha bererti menanamkan keyakinan yang teguh dan jitu terhadap agama Buddha.  Orang yang berjaya menghapuskan Vicikiccha tidak mungkin bertukar agama lagi kerana hatinya percaya dan yakin penuh kepada Dhamma Buddha. 


Penganut agama Buddha yang bertukar agama atau menolak ajaran Buddha walaupun dia seorang Bhikkhu, Phra Maha, Than Chau Khun atau Somdej sekalipun, ini kerana dia belum berjaya menghapuskan Vicikiccha. Dia belum mengenali agama Buddha dalam erti kata yang sebenar. Kita tidak perlu menangisi "pemergiannya".  Apa gunanya meratapi kehilangan sebutir kaca yang tiada nilainya. 


3. Silabbata-paramasa - mengamalkan Sila dan ritual dengan tujuan yang salah daripada tujuan asalnya. Kesengsaraan (Dukkha) hanya boleh dihapuskan dengan Magga 8 sahaja. Sesiapa yang menggunakan jalan lain - misalnya ritual tertentu - bagi menghapuskan Dukkha adalah jelas bertentangan dengan agama Buddha. 


Berpegang Sila dan melakukan Samadhi dengan niat untuk mendapat kuasa luar biasa atau supernatural, sakti dan sebagainya termasuk dalam Sangyot ini. Tujuan Sila ialah bagi mengawal perlakuan (moral) agar dapat menjadi asas kepada Samadhi. Tujuan Samadhi pula untuk melahirkan Panya/Panna (kebijaksanaan). 


Berdoa atau memohon kepada "kuasa lain" untuk melepaskan diri daripada Dukkha juga bukan ajaran Buddha. Hanya kita yang boleh melepaskan diri kita daripada Dukkha. Kitalah penyelamat diri kita yang sebenar. Tiada kuasa lain yang boleh menyelamatkan kita. Tiada sebarang "Maha" yang mampu mencorak kehidupan kita, melainkan kita sendiri melalui perbuatan (Karma) yang kita lakukan dahulu, sekarang atau akan datang. 


Sesiapa yang berjaya meleraikan atau menghapuskan 3 Sangyot di atas, maka dia telah mencapai Lokuttara Dhamma tahap pertama iaitu yang dipanggil Sodaban. Dia telah menjadi Ariya Bukkhon (Ariya Puggala). Jika Bhikkhu, jadi Ariya Sangha. Ariya bukan calang-calang orang. Ariya dijamin Nibbana, paling lama 7 kelahiran lagi. Individu yang mencapai tahap Sodaban ini mindanya tidak akan jatuh ke bawah lagi, melainkan semakin tinggi dan tinggi. Maksudnya dia tidak akan melakukan kesalahan atau dosa besar sebagaimana dilakukan orang biasa. Dibayar untuk menukar agama pun tidak akan diterimanya. Jiwanya telah bersatu dan sebati dengan agama Buddha. Tiada kesangsian lagi kepada Dhamma vinai Buddha. Dia ialah sebutir permata. 


Apabila telah mencapai tahap Sodaban, maka bolehlah dia berkata, "saya penganut agama Buddha" dengan sepenuh hati. Tiada siapa boleh menyangkal lagi kerana agama Buddha ialah agama yang "berada di atas" dunia. Penganut agama Buddha ialah mereka yang "berada di atas" dunia. Selagi masih tenggelam di dalam kotoran dunia (duniawi), kita belum boleh berbangga sebagai penganut agama Buddha yang sejati. Inilah bezanya agama Buddha dengan agama lain. 















3 comments:

Anonymous said...

Pada pendapat saya seseorang itu berpegang atau tidak berpegang kepada silla 5/8, jika beliau berniat atau sebut beliau adalah penganut Buddha, maka Buddhalah dia. Saya yakin dia pasti beragama Buddha. Sembahyang atau tidak, pergi wat atau tidak, itu soal lain tetapi dia tetap Buddha. Kenapa? Sebabnya ialah jika dia orang tak baik, dia perogol,jahat tak sembahyang atau sebagainya maka kita lebelkan dia bukan beragama Buddha, sedaplah dia, bebas dari dosa dan api neraka. Bila mati nanti Phayayom tanya awak agama apa? Dia pun jawap KSB kata org mcm saya bukan agama Buddha, maka tidak boleh hukum saya ikut peraturan neraka yg diajar dlm agama Buddha. Di suruh pula dia pergi ke neraka agama Islam, Kristian atau dll, dia juga tentu jawap kepada malaikat, "saya bukan penganut agama Tuan, jadi tak bolehlah hukum saya ikut agama Tuan"....Macam mana saudara KSB, jika berlaku begini? Pening juga neh Payayom/malaikat nanti nak hukum dia.

pena reformasi said...

Agama apa pun, termasuk yang tak ada agama apabila buat salah secara sengaja pasti akan terima balasan Karma.

Anonymous said...

Anon, kamu terlebih baca agama lain hingga agama sendiri tidak faham. Seperti kata Tuan Pena, hukum Karma tidak pilih bulu seperti hukum Hantu.