Monday, December 19, 2011

Buddha Itu Agama!

Apakah yang dimaksudkan dengan agama? Apakah definisi agama? Membuat definisi agama bukan sesuatu yang mudah. Setiap orang mempunyai definisi yang berbeza-beza berdasarkan pandangan, penghayatan dan pengamatan dari sudut masing-masing. Orang Islam tentulah mempunyai pandangan yang tidak sama dengan orang Hindu atau Kristian. Dalam Islam (dengan izin) ada istilah yang disebut Addin. Dalam agama Buddha ada istilah yang disebut Sasana. Pada zaman Baginda Buddha dahulu, ajaran Buddha dipanggil Dhamma-vinai. Istilah Sasana belum digunakan. 


Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, agama diberikan maksud: (1). Kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan pada yang Maha kuasa. (2) Kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain (yang dipuja dan dianggap sebagai sesuatu yang amat berkuasa).


Sebenarnya, istilah "agama" paling sulit diberikan definisi atau pengertian kerana dasar setiap agama di dunia berbeza. Kepercayaan terhadap agama melibatkan rohaniah secara mendalam. Perbincangan tentang agama pula begitu bersemangat dan beremosi. Lazimnya pula, para ilmuwan memberi definisi agama mengikut disiplin ilmu masing-masing yang tentu sekali meninggalkan lompong-lompong tertentu. Para falsafah misalnya melihat agama dari sudut falsafah dan memberi pengertian agama berdasarkan sudut tersebut.  Pakar sains pula melihat agama dari sudut sains. Pengkaji sosiobudaya melihat agama dari sudut sosiobudaya.


Istilah "agama" berasal dari bahasa Sanskrit yang bererti tradisi. Kata lain yang disepadankan dengan kata agama ialah Religion. Kedua-dua kata ini juga mempunyai makna yang berbeza. 


Istilah Religion berasal daripada bahasa Latin iaitu Religare atau Relegere yang sama erti dengan Together iaitu bersama atau bersatu antara 2 benda. Oleh itu, Religion bermaksud penyatuan atau pertalian antara manusia dengan kuasa supernatural atau penyatuan (melalui rohaniah) antara manusia dengan Tuhan atau Pencipta-Nya. Maka kata Religion (yang disepadankan dengan kata sasana) melibatkan kepercayaan (sattha) antara manusia dengan Tuhan yang  sama sekali tidak tepat dengan istilah sasana dalam konteks Buddha Sasana (Vergilius Ferm, Encyclopedia of Religion). Malahan Religion juga tidak sama ertinya dengan istilah agama yang bererti tradisi. Begitu juga dengan istilah Addin. 


Kesimpulannya Religion mengikut fahaman Barat ialah kepercayaan, penghormatan dan ketakutan secara mendalam terhadap Yang Maha Kuasa. Oleh itu, Religion mengikut fahaman Barat mempunyai ciri-ciri berikut:


1. Mempunyai asas kepercayaan bahawa Tuhan merupakan Pencipta alam dan segala isinya.


2. Mempunyai asas kepercayaan bahawa semua ajaran datang daripada Tuhan.


3. Mempunyai asas kepercayaan yang muktamad iaitu tidak boleh mempertikaikan kebenarannya (walaupun bercanggah dengan penemuan sains). 


4. Mempunyai konsep menyerah diri, perbuatan dan segala perkara yang berkaitan dengan diri kepada Tuhan dengan penghormatan dan ketaatan yang tinggi. ("Submit oneself to (the) God". C. Braden, The World's Religions). 


Oleh sebab, pengertian istilah Religion tidak tepat dengan istilah Sasana, maka terdapat para intelek Barat yang tersalah faham lantas mengatakan Buddha bukan agama. Mereka menggunakan istilah Buddhism. Maka ramai yang tanpa mengetahui hal sebenar terus menjaja perkara ini. Bahkan penganut agama Buddha sendiri ikut terkeliru menyangka Buddha bukan agama. Mereka mendakwa Buddha cuma doktrin, Buddha ialah falsafah. 


Buddha Sasana (agama Buddha) ialah ajaran Buddha yang melibatkan Paramatha (kebenaran hakiki) yang berbeza dengan Religion Barat. Ciri-ciri Buddha Sasana ialah:


1. Tiada asas kepercayaan bahawa Tuhan merupakan Pencipta alam dan segala isinya. Sebaliknya, mempunyai kepercayaan bahawa Karma yang mencipta dunia dan segala benda (Kammuna Vattati Loko).


2. Tiada asas kepercayaan bahawa semua ajaran datang daripada Tuhan. Sebaliknya, mempunyai kepercayaan bahawa segala ajaran datang daripada individu suci yang mencapai tahap "Buddha" (Sabbapapassa Akaranang Atang Buddhana Sasanang). 


3. Tiada kepercayaan mengikut ajaran tanpa memperhitungkan pembuktian atau alasan-alasan munasabah. Sebaliknya, setiap ajaran dibenarkan untuk membuktikan kebenarannya. (Kalama Sutta). 


4. Tiada konsep "menyerah diri" kepada Tuhan. Sebaliknya mempunyai konsep "menyerah diri" kepada diri sendiri. Maksudnya, kehidupan penganut tidak bergantung pada Tuhan, sebaliknya bergantung pada diri sendiri. (Attahi Attano Natho). 


Selain istilah Religion dan Sasana, masih ada istilah Addin (Islam) yang mempunyai pengertian tersendiri. 


Walaupun Religion dan Sasana berbeza, namun itu cuma luaran kerana dalamannya atau rohaniahnya atau pengertian tersiratnya tidak berbeza. Maka para ilmuwan agama dunia bersetuju bahawa untuk diterima sebagai "agama" sama ada agama dalam istilah Religion mahupun agama dalam istilah Sasana, setiap ajaran mesti mempunyai ciri-ciri berikut:


1. Mesti melibatkan perkara yang boleh dipercayai, dianggap suci, dipandang mulia, dipuja dan dihormati oleh kumpulan yang mempercayaimnya. 


2. Mesti mempunyai ajaran tentang sahsiah, tatasusila dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pengamalan manusia bagi mencapai hasil yang terbaik dalam kehidupan. 


3. Mesti ada pengasas (Nabi), pengajar dan penyebar serta diterima sebagai kebenaran oleh sejarah tamadun manusia. 


4. Mesti ada pewaris (penganut) yang menerima ajaran, mengamalkan, menurunkan dari generasi ke generasi serta mempunyai individu yang bertanggungjawab menjalan upacara-upacara agama. 


Sekarang, berbalik kepada soalan utama, adakah ajaran Buddha agama atau tidak? Jawapannya, ajaran Buddha ialah agama. Walaupun Religion dan Sasana mempunyai pengertian yang tidak sama sepenuhnya, namun secara rohaniah kedua-dua melibatkan perkara yang sama - kepercayaan manusia terhadap kuasa tertinggi masing-masing. 


Religion mempunyai Tuhan Yang Esa. Agama Buddha juga mempunyai konsep ketuhanan iaitu Devada atau Dewa atau Brahma. Tuhan Yang Esa mempunyai ciri-ciri yang mulia. Baginda Buddha juga memiliki ciri-ciri yang mulia. Sama ada Buddha wujud atau tidak, Dhamma tetap wujud di alam semesta. Buddha memperolehi Dhamma melalui Pencerahan Sempurna, kemudian menyampaikannya kepada manusia. Nabi memperolehi wahyu daripada Tuhan, kemudian disampaikan kepada umat. 


Pada zaman Buddha, Brahma (Phra Phrom) dipercayai sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa. Pada mulanya, Buddha tidak berhasrat mengajar Dhamma kepada manusia kerana kesulitan memahaminya, tetapi Brahma turun dari langit mohon Buddha mengajar kepada manusia. Maka ajaran Buddha ada kaitan biarpun tidak secara langsung dengan Tuhan Yang Maha Kuasa pada zaman tersebut. 


Sesetengah orang mendakwa agama Buddha cuma doktrin atau falsafah. Ini tidak benar. Mereka mendakwa sedemikian kerana mereka mengkaji agama Buddha dari sudut yang dipanggil doktrin dan falsafah semata-mata. Agama Buddha merangkumi pelbagai bidang ilmu.  Agama Buddha ada mengajar tentang Karma, Vatta Samsara (putaran hidup), dunia hari ini, dunia selepas mati, syurga dan neraka serta upacara-upacara agama. Kesemua ini tiada dalam doktrin dan falsafah. Agama Buddha ada teknik menyucikan minda melalui Samadhi, tetapi tidak ada dalam doktrin dan falsafah. Ahli falsafah bukan individu suci di mata masyarakat atau pengikut fahamannya. Sebaliknya, Baginda Buddha ialah individu suci yang dimuliakan oleh pengikutnya. Ini cuma sebahagian daripada kebenaran yang boleh dijadikan bukti (dan tidak mungkin dapat dinafikan) bahawa Buddha Sasana ialah agama atau Religion.  


Berdasarkan fakta-fakta dan kebenaran-kebenaran seperti di atas, maka kini ilmuwan Barat telah hilang kesangsian terhadap agama Buddha. Mereka telah menerima ajaran Buddha sebagai agama. 


Sekarang, penganut agama Buddha boleh bersenang hati. Kita tidak perlu berasa kerdil berbanding penganut agama lain yang sengaja menafikan kebesaran agama kita. Penafian mereka telah berakhir apabila begitu ramai penganut Religion menganuti agama Buddha. 


Ini merupakan penjelasan tentang pengertian "agama"  yang diterima umum sama ada dalam konteks Religion mahupun Sasana. Oleh sebab itulah semua ajaran besar dunia, iaitu Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh, biarpun mempunyai perbezaan tertentu, namun diterima umum sebagai agama tanpa sebarang pertikaian, kecuali kumpulan kecil tertentu yang melihat agama dari sudut yang sempit. 


(sumber rujukan: Buku Agama Perbandingan / Sathian Phantharangsi)






























2 comments:

RickyFlaming said...

Good Topic for everyone to Understand.

RickyFlaming said...

Nice Topic for everyone to Understand.