Saturday, December 24, 2011

Jangan Ketagih Kebaikan!

Makhluk yang dikenali sebagai manusia terbahagi kepada bahagian mental dan fizikal. Bahagian mental dalam bahasa Pali dipanggil Nama. Bahagian fizikal dipanggil Rupa. Bahagian mental terdiri daripada Vedana, Sanya, Sangkhara dan Vinyana.  Rupa, Vedana, Sanya, Sangkhara dan Vinyana dipanggil Khandha 5. Maka makhluk yang dikenali sebagai manusia cuma Khandha 5. Bukan aku, bukan engkau, bukan dia, bukan kami atau bukan mereka, Panggilan hanya untuk memudahkan proses komunikasi. 


Dalam bahagian mental manusia terdapat Citta atau yang dipanggil minda. Citta pada asalnya suci, tetapi dikotorkan oleh tanha (nafsu), upadana (kemelekatan/clinging) dan kilesa (kotoran batin). Tanha, upadana dan kilesa ini merupakan 'benda asing' yang meresap ke dalam Citta yang mendorong manusia melakukan pelbagai Karma. 


Biasanya Karma baik tidak membebankan hati dan fikiran. Akan tetapi pada masa tertentu Karma baik boleh membebankan hati dan fikiran jikalau seseorang itu melekat atau ketagih akan kebaikan. Jikalau masih ketagih akan kebaikan, maknanya hati orang tersebut belum betul-betul baik, belum suci sepenuhnya. Apabila berlaku ketagihan akan kebaikan, ertinya ada 'diri' yang ketagihan.  'Diri' ini dalam bahasa Pali dipanggil Atta. Apabila Atta ketagih akan kebaikan dengan keterlaluan, maka akan berlaku tekanan terhadap Citta. Citta yang tertekan tidak akan tenteram. 


Istilah 'Ba Bun' atau gila palaha yang sering kita dengar lahir daripada keadaan Atta ketagihan akan kebaikan. Ketagihan utama bagi penganut agama ialah ketagihan terhadap syurga. Walaupun ketagihan terhadap syurga lebih baik daripada melakukan kejahatan, namun Citta tetap tidak suci dan dipenuhi dengan kilesa dan upadana. Ketagihan terhadap syurga tiada penghujungnya kerana syurga tertakluk pada Vatta Samsara. 


Dalam sebuah Sutta, pernah ada orang bertanya kepada Bhikkhu Sariputra, bukankah kemahuan untuk mencapai Nirvana juga ada unsur kilesa? Sariputra menjawab bahawa kemahuan terhadap Nirvana ada penghujungnya. Selepas mencapai Nirvana, Citta bebas sepenuhnya, maka kemahuan, nafsu, upadana dan segala kilesa tiada lagi. Citta menjadi suci sepenuhnya. Namun, berbeza dengan kemahuan lain yang tertakluk kepada Vatta Samsara yang tiada penghujung. Kemahuan, nafsu dan kemelekatan tidak hilang di syurga. Walaupun di syurga, mengikut kitab, mempunyai tahap kebahagiaan yang tinggi atau luar biasa, namun Citta masih terbelenggu, kotor dan melekat pada kebahagiaan. 


Oleh sebab itulah, orang yang ada pegangan Sila 5 (atau Sila 8, Sila 10, Sila 227), suka tambun tamtan dan mungkin pernah pergi kelas Samadhi, tetapi masih menebal dengan Loba, Dosa dan Moha kerana Citta belum suci dan dipenuhi kilesa dan upadana. 


Berbuat baik berpada-pada, gunakan akal fikiran dan tidak ikut-ikutan supaya kita tidak ketagih kebaikan atau gila pahala atau gila syurga. 


Biasanya orang yang ketagihan akan kebaikan akan membuat kebaikan dengan kuasa kilesa. Mereka membuat kebaikan dengan mengharapkan sesuatu kebaikan yang lain. Dalam kata lain, membuat baik mengharapkan balasan. Ada juga yang membuat baik kerana mahu nama, mahu dipuji, disanjung dan dijadikan bualan orang ramai. Ini semua kuasa kilesa


Contohnya, kita tahu banyak wat yang miskin, tetapi kita pilih Wat Than Chau Khun yang kaya untuk pergi membuat derma. Bukan sedikit. Ratusan ribu ringgit. Kita tahu apabila Than Chau Khun puji kita, orang-orang kampung juga akan puji kita. Kita dapat nama dan sanjungan. Kita amat berbangga. Hati kita membesar seperti belon. Maklumlah pergi ke mana-mama, orang tegur, orang datang bersalam, datang Sawaddhi dan bertanya khabar. Mungkin ramai yang mengaku saudara. Lama-lama kita menjadi ketagih akan kebaikan. Pujian dan sanjungan  mendorong kita terus membuat kebaikan - dengan kuasa kilesa dan upadana


Semakin banyak kita membuat kebaikan, semakin jenuh Kilesa bercambah di hati kita. 


Matlamat kaum Buddhis ialah pembebasan minda. Minda yang kotor atau tidak suci mustahil dapat mengecapi kebebasan mutlak. 


Apabila membuat kebaikan - orang Thai suka panggil tambun - buatlah dengan hati yang suci, bukan dengan kuasa kilesa dan upadana kerana akan menyebabkan Citta kita semakin kotor. 














No comments: