Wednesday, December 28, 2011

Mampukah Kita Mengenali Arahant?

Pada zaman Buddha dahulu terdapat seorang hartawan yang selalu membuat dana (derma), tetapi dia hanya memilih Arahant sahaja. Mungkin dia kurang yakin dengan Bhikkhu biasa, melainkan dengan Arahant. Pada suatu hari, dia memberitahu kepada Buddha perkara tersebut.


Buddha memujinya kerana selalu membuat dana. Namun, Buddha mengatakan bahawa bukan mudah bagi orang biasa mengenali Arahant. Orang yang masih hidup dengan keseronokan deria,  hidup berumah tangga, tidur dengan isteri dan anak-anak, memakai bunga dan wangi-wangian, menyukai emas dan perak (wang), amat sukar untuk mengetahui Bhikkhu mana Arahant dan bhikkhu mana bukan Arahant. Apabila tidak tahu, mustahil bagi seseorang untuk membuat dana kepada Arahant sahaja. 


Oleh itu, Buddha menasihati hartawan tersebut supaya membuat dana kepada Sangha (kumpulan Bhikkhu) atau yang dipanggil Sanghadana. Tidak usah memilih Arahant semata-mata. Seseorang yang selalu membuat Sanghadana akan mempunyai minda yang terang dan apabila mati akan dilahirkan di Sugati (Syurga). 


Mengapakah Buddha menasihati hartawan itu membuat dana kepada Sangha? Ini kerana Sangha merupakan kumpulan Bhikkhu yang mengamalkan Dhamma-vinai dengan tekun untuk mencapai Arahant. Malahan dalam Sangha itu sendiri sudah ada Arahant. Sangha dan Arahant umpama kuku dengan isi yang tidak terpisahkan. 


Kita hari ini jikalau mahu membuat dana, tidak usah terlalu memilih. Bhikkhu Mahanikaya, Bhikkhu Dhammakaya, Bhikkhu Dhammayutikaya mahupun Bhikkhu Mahayana boleh dibuat dana. Asalkan Bhikkhu itu mengamalkan Dhamma-vinai, balasan Sugati kepada kita pasti ada.


Cuma satu perkara yang harus diberikan sedikit perhatian iatu jangan membuat dana kepada Bhikkhu palsu, Bhikkhu yang mengabaikan Dhamma-vinai atau penyamar yang bersembunyi di sebalik kain kuning. Mereka ini bukan Bhikkhu sebenarnya. Biarpun luarannya kelihatan sama, tetapi dalamannya amat berbeza. Ini golongan "cari makan" dengan agama; cari makan di atas kepercayaan orang lain. Kita mesti berhati-hati. Nanti Sugati yang diharapkan tetapi Dugati (neraka) yang diterima. 


Bagaimana untuk kita membezakan Bhikkhu tulen dengan Bhikkhu cari makan? Bhikkhu tulen ialah Bhikkhu yang menjadi Bhikkhu mengikut upacara yang sah, mengamalkan Dhamma-vinai dengan betul dan tekun demi Arahant dan tidak melekat pada duniawi walaupun tinggal di dunia. 


Bhikkhu yang menjadi Bhikkhu mengikut upacara yang sah, tetapi mengabaikan Dhamma-vinai dan melekat pada kebahagiaan duniawi, bukan tulen. Ini individu cari makan dengan agama sebagaimana Bhikkhu palsu. Individu yang berjubah kuning yang hidup bergelandangan dan minta sedekah siang malam di jalanan atau kaki lima tentulah bukan tulen. Yang ini senang dikenal pasti. 


Yang menjadi sukar ialah yang tinggal di wat-wat Buddha yang menjadi Bhikkhu mengikut upacara yang sah, tetapi amalannya menyeleweng. Hendak telan takut mati bapa, hendak luah takut mati emak. Akhirnya sendiri yang mati.


Bukan mudah bagi orang biasa mengenali Bhikkhu tulen. Antara faktornya ialah:


1. Orang yang tidak tahu agama Buddha dengan betul tidak mungkin dapat mengenali Bhikkhu tulen. 


2. Orang yang tidak tahu Sila 227 sukar mengenali Bhikkhu tulen kerana dia tidak dapat membezakan yang mana perlakuan Bhikkhu yang betul dan yang mana perlakuan yang salah.


3. Orang yang selalu bergaul dengan "Bhikkhu cari makan" sehingga dia sendiri terpengaruh dengan cara hidup Bhikkhu tersebut. Segala perlakuan dan kata-kata Bhikkhu itu dipercayainya sebagai benar. 


4. Orang yang taksub kepada seseorang Bhikkhu sehingga menjadi buta hati. Orang buta hati mustahil dapat melihat kebenaran. Kerana taksub, segala perbuatan dan pertuturan Bhikkhu yang dipuja-pujanya itu diterima sebagai benar. Apa yang dikatakan Bhikkhu tersebut, itulah ajaran Buddha bagi si buta hati itu. 


5. Orang yang ego lazimnya tidak mahu mengalah. Walaupun dia sattha kepada Bhikkhu cari makan, tetapi dia tidak sedar dan tidak berusaha menyedarkan diri.  Apabila dia disedarkan, dia tidak mahu terima hakikat. Dia rasa dia lebih bijak daripada orang lain. Setiap hari menyembah dan memberi makan Bhikkhu cari makan, tetapi masih mahu sombong. Orang begini mati hidup balik pun tidak akan jumpa Bhikkhu tulen yang suci. 


Sebagai penganut agama Buddha, berhati-hatilah supaya tidak tertipu oleh "individu cari makan" yang bersembunyi di sebalik kain kuning. Walau bagaimanapun, selalulah membuat Sanghadana agar berbahagia kehidupan hari ini dan hari esok.



No comments: