Wednesday, December 14, 2011

Paritta: Kemajuan dan Perlindungan Kaum Buddhis?

Kuasa Phra Buddha Mon


Lazimnya kaum Thai Buddhis apabila ada upacara tertentu, mereka akan menjemput Bhikkhu (Sangha) datang ke rumah untuk "suat Phra Buddha Mon" (bacaan Mantra Buddha) demi kebahagiaan, kemajuan dan kebaikan dalam kehidupan. Upacara begini, adakalanya dipanggil Pitthi Charen Phra Buddha Mon. Ini merupakan satu keperluan bagi kaum Thai Buddhis kerana dipercayai boleh membawa kebaikan dan pada masa yang sama menghalau kejahatan. 


Masuk rumah baru misalnya merupakan satu kewajipan bagi kaum Thai menjemput Sangha datang ke rumah membaca Buddha Mon selain membuat Sanghadana. Orang Thai sebut "suat Mongkol". Mongkol bermaksud kebaikan atau kemajuan.


Kepentingan Phra Buddha Mon ini bagi masyarakat Thai sehingga mampu mencorakkan imej Bhikkhu Thai.  Bhikkhu Thai yang lancar bacaan Phra Buddha Mon diangkatkan ibu jari. Manakala yang tidak lancar atau tidak pandai baca Phra Buddha Mon dipandang remeh. Phra Buddha Mon bagi masyarakat Thai lebih penting daripada Dhamma. Ini kesilapan yang harus diperbetulkan. Mana bisa Phra Buddha Mon lebih tinggi dan lebih mulia daripada Dhamma. 


Istilah "Phra Buddha Mon" merujuk kepada kata-kata Buddha (ajaran Baginda yang terdapat dalam Kitab Tipitaka) dan kata-kata yang dicipta kemudian oleh pengikut Baginda yang digubah dan disusun menjadi seperti syair. Phra Buddha Mon dipercayai mempunyai kesaktian (saksit) yang mampu menjadi pelindung daripada pelbagai bahaya. Phra Buddha Mon juga dipanggil "Phra Parit" atau Paritta. 


Paritta bermaksud perlindungan atau melindungi. Phra Buddha Mon ini terdapat 7 tajuk atau yang dipanggil 7 tamnan. Istilah tamnan biasanya merujuk kepada sesuatu perkara yang lama yang diceritakan daripada satu generasi kepada satu generasi). Namun, di sini tamnan merujuk kepada Paritta. 7 Paritta dipanggil 7 tamnan. Buku yang memuatkan 7 Paritta dipanggil Buku 7 tamnan (biasanya digunakan oleh Bhikkhu). Ada juga yang berpendapat istilah  tamnan mungkin asal daripada istilah "Tan/Tana" (bahasa Pali) yang bermaksud perlindungan, sama seperti maksud Paritta. (Paritta umpama doa selamat). 


Suat (bacaan) Paritta atau 7 tamnan dilakukan kali pertama di Sri Lanka kira-kira 500 tahun selepas kemangkatan Baginda Buddha. Masyarakat Buddhis di Sri Lanka ketika itu berhasrat agar Bhikkhu atau Sangha dapat membantu membawa kemajuan dan perlindungan kepada mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Samana Brahmana (Sami Hindu) dengan membaca Gatha atau Mantra. Dipercayai bahawa "individu istimewa" mampu membawa kemajuan dan perlindungan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, para Bhikkhu pun mula menyelidiki dan mencipta syair perlindungan berasaskan Sutta dan Gatha yang memuja Tri Ratana. Bacaan Mantra (Suat Buddha Mon) pada mulanya dilakukan sedikit sahaja mengikut keperluan tertentu. Misalnya, bacaan untuk kemajuan ialah Mongkol Sutta dan bacaan untuk orang sakit ialah Pocchong Sutta. Selepas mendapat sambutan yang agak baik oleh masyarakat, barulah dicipta pelbagai Paritta yang lain.


Pada masa berikutnya, Raja Sri Lanka bertitah agar Sangha mengemas kini Paritta dan Gatha agar lebih kemas dan lengkap untuk digunakan dalam majlis Diraja. Dengan itu Paritta dan Gatha ditambah lebih banyak dan dinamakan "Rajaparitta" yang bermaksud Mantra yang melindungi Raja. 


Selepas mendapat pengiktirafan istana, bacaan Paritta pun semakin meluas di kalangan masyarakat Buddhis. Mereka menjadikan bacaan Paritta sebagai bacaan keperluan dalam setiap majlis atau upacara tertentu di rumah dan menjadi satu tradisi turun temurun sehingga ke hari ini.


7 tamnan atau Paritta yang bermaksud Mantra Perlindungan ada 7 tajuk, iaitu.




1. Mangala Sutta / Mongkol Sutta - berkaitan jalan kemajuan kehidupan.


2. Ratana Sutta - berkaitan keistimewaan Buddha, Dhamma dan Sangha.


3. Karaniyametta Sutta - berkaitan kasih sayang (pergi ke mana-mana supaya dikasihi orang dan Devada).


4. Khandha Paritta - berkaitan perlindungan daripada binatang buas dan yang berbisa.


5. Dhajagga Paritta - berkaitan mengingati Tri Ratana untuk menghilangkan ketakutan.


6. Atanatiya Paritta - berkaitan perlindungan daripada segala bahaya.


7. Angulimala Paritta - berkaitan memudahkan kelahiran bayi. 


Bacaan Paritta merupakan satu tradisi yang mendarah daging masyarakat Thai. Ini cuma kepercayaan masyarakat, bukan ajaran Baginda Buddha secara langsung. Oleh itu tidak menjadi satu kewajipan kepada kaum Buddhis yang tidak mahu mempercayainya. Bahkan sesetengah Bhikkhu Theravada Thailand, misalnya Phra Panyanantha, tidak terima jemputan untuk membaca Paritta di rumah orang. Bagi beliau, ini bukan ajaran Buddha. Ajaran Buddha ialah Dhamma, bukan Paritta. Paritta cuma ciptaan Bhikkhu selepas Buddha. Namun, tidak ramai yang dapat terima hakikat ini. 


Bagi kebanyakan orang Thai, bacaan Paritta dipercayai sebagai sebahagian daripada ajaran Buddha yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan mereka. 


Walau bagaimanapun, sebagai kaum Buddhis yang celik akal, kita tidak harus memuliakan Paritta sehingga membelakangkan Dhamma. Kemajuan dan kemunduran; kebaikan dan kejahatan bergantung pada  daya usaha dan perbuatan kita sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda dalam Dhammanya. 





No comments: