Sunday, December 4, 2011

Semua Makhluk Sayang Nyawanya!

Agama Buddha melarang keras membunuh binatang. Larangan nombor satu dalam Sila 5 berbunyi "Panatipata Veramani sikkha pathang sama thiyami" bermaksud tidak boleh membunuh binatang. Sila 5 merupakan moral atau disiplin asas bagi penganut agama Buddha. Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja manusia, bahkan binatang pun diberikan perlindungan oleh Buddha. 


"Panatipata" bukan setakat tidak membunuh, malahan tidak boleh menganiayai, mengganggu, mengurung binatang dan sebagainya. Merosakkan habitat haiwan juga dikira mengganggu kehidupan haiwan. 


Oleh hal yang demikian, penganut agama Buddha harus melindungi binatang. Malangnya apa yang berlaku ialah sebaliknya. Ramai yang membunuh, menganiayai, mengganggu dan menjual beli binatang untuk dijadikan makanan. Haiwan liar yang dilindungi oleh akta atau undang-undang turut menjadi mangsa. Mereka sama sekali tidak menghiraukan Karma. 


Orang tua-tua selalu berkata, bomoh ular mati kerana ular. Raja ular mati dipatuk ular. Ini bukan omong kosong, tetapi realiti. Steve Irwin (44) terkenal dengan rancangan televisyen "The Crocodile Hunter". Dia penyelamat haiwan. Namun, dalam rancangan "Crocodile Hunter" ada ketikanya dia mempersendakan haiwan. Dia melakukannya untuk populariti. Apa yang terjadi akhirnya? Dia mati kerana disengat ikan pari di kawasan Great Barrier Reef.


Saya kenal seorang penjaga lembu laga yang ditanduk lembu hingga terburai perut. Kaum keluarga menyalahkan lembu kerana lembu itu garang. Tiada seorang pun yang menyalahkan orang kerana melakukan Karma tidak baik - bela lembu laga.  Bayangkan betapa seksanya lembu sewaktu berlaga. 


Ada juga orang Siam yang pergi memburu babi hutan tertembak sesama sendiri.  Ini juga Karma. Namun, pernahkah dia terfikirkannya? Kita seronok dan gembira apabila tembakan terkena babi hutan. Kita cuma fikirkan diri kita, tetapi langsung tidak fikirkan nyawa babi tersebut. Bagaimana jika babi betina beranak kecil? Anak-anaknya akan turut mati kebuluran. Kita tidak boleh ingat kepada anak kita sahaja, haiwan pun ada naluri menyayangi anak-anaknya. Kita jangan utamakan nyawa kita sahaja. Haiwan pun sayang akan nyawanya. Jikalau kita tidak rela ditembak, haiwan juga tidak rela ditembak. Cuma, haiwan tidak pandai bercakap. Sekiranya dia pandai bercakap, dia akan meminta dan merayu agar manusia tidak mengambil nyawanya. 


Sesetengah orang Siam selalu berkata: "Membunuh untuk dijadikan makanan tidak mengapa!" Itu kita yang kata. Realitinya tidak begitu. Agama Buddha tidak pernah menyebut binatang dicipta sebagai makanan manusia. Penganut agama Buddha sepatutnya menjalani kehidupan berlandaskan ajaran Buddha. Membunuh binatang merupakan larangan pertama dalam Sila 5 yang harus dipatuhi. Sila 5 ialah Sila asas kita. Tanpa Sila 5 kita tidak layak dipanggil Ubasok atau Ubasika. 


Biar orang lain yang membunuh. Kita beragama Buddha harus mengelakkannya. Kita percaya kepada Karma. Kita boleh berikan seribu alasan, tetapi Karma tidak akan terima alasan tersebut. Karma ialah hukum alam yang apabila tiba masanya akan memberikan hasil. Ini kita kena faham. 


Mungkin ada orang memberi alasan dia terpaksa membunuh binatang kerana itu mata pencariannya. Tiada mata pencarian lain sehingga terpaksa menyara kaum keluarga dengan nyawa binatang? Pintu rezeki sentiasa terbuka sekiranya kita berusaha. Pendatang asing pun boleh cari makan.


Walau bagaimanapun, sekiranya kita betul-betul terpaksa membunuh binatang kerana mata pencarian, tiada siapa boleh memaksa kita berhenti. Saya pun faham situasi tersebut. Ada orang yang terpaksa melakukan sesuatu yang dia tidak suka. Dia terdesak. Dunia ini kadang-kadang tidak berlaku adil kepada semua orang. Namun, jika boleh, berusaha cari mata pencarian yang lain. Agama Buddha percaya kehidupan seseorang ditentukan oleh orang itu sendiri. Tiada kuasa lain yang mengaturkan atau menentukan kehidupan kita. 


Selain tidak membunuh, Buddha mengajar kita mempunyai perasaan kasih sayang dan belas kasihan kepada binatang. Pada zaman Buddha dahulu, terdapat seorang Bhikkhu meninggal dunia dipatuk ular. Perkara itu diceritakan kepada Buddha. Baginda berkata Bhikkhu tersebut tidak ada "phe metta" kepada ular. Baginda lantas menasihati para Bhikkhu agar sentiasa "phe metta" kepada 4 raja ular bagi mengelakkan daripada dipatuk ular. Nasihat Buddha ini tidak terbatas setakat ular. Kita mesti "phe metta" kepada semua binatang (semua makhluk) di samping menanamkan perasaan kasih sayang kepadanya. Sekiranya kita tidak membunuh binatang, tidak mengganggunya dan sentiasa phe metta, nescaya kita tidak akan diapa-apakan oleh binatang,


Namun, dalam situasi yang memaksa kita membuat pilihan antara keselamatan kita (manusia) dengan nyawa haiwan, saya berpendapat kita mesti memberi keutamaan kepada keselamatan kita. Kita tidak boleh ikut jejak seorang Luang Phor yang tersohor di Thailand yang tidak mahu mengubati penyakit kanser kerana tidak mahu "membunuh virus" kanser. 


Bukan setakat "Panatipata" sahaja, larangan yang lain dalam Sila 5 juga mesti dipatuhi. Elakkan cari makan dengan cara melanggar Sila 5. Menipu, mencuri, menjual harga diri dan berniaga minuman keras mesti dielakkan. Apa-apa sahaja mata pencarian yang melibatkan pelanggaran Sila 5 mesti dihentikan dan dijauhi. Kita jangan hanya pandai bercakap tentang rasuah sahaja. Pekerjaan yang melibatkan pelanggaran Sila 5 lebih teruk daripada rasuah. 


Agama Buddha menegaskan bahawa semua makhluk tertakluk kepada hukum alam. Dewa, manusia; saya dan anda, babi hutan, lembu, buaya dan semua makhluk tidak bebas daripada Vatta Samsara. Manusia boleh dilahirkan semula sebagai manusia, Devada, binatang, Peta dan sebagainya. Pernahkah kita terfikir bahawa mungkin anjing yang kita pelihara itu dahulunya seorang manusia? Lembu yang kita makan dagingnya mungkin saudara mara kita? Babi hutan yang kita tembak mungkin pernah jadi kawan kita? Vatta Samsara mencipta pelbagai kemungkinan yang tidak terjangkau oleh fikiran kita. 


Terdapat satu kisah yang berlaku pada seorang Mak Cik yang saya kenali. Satu hari Mak Cik itu ternampak seekor ular sawa di dalam lubang pokok di kebunnya. Dia takut ular itu makan ayamnya yang berkeliaran di kebun. Dia minta suaminya tangkap ular itu tetapi suaminya tidak mahu. Suaminya memberi nasihat supaya tidak mengganggu ular. Biarlah binatang dengan kehidupannya, manusia pula dengan kehidupan manusia. Mak Cik jenis tidak makan nasihat, dia turun tangan sendiri. Dia bakar pokok tersebut dengan daun kelapa kering. Ular mati hangus. Bukan seekor tetapi sepasang. Pada malamnya, Mak Cik bermimpi didatangi ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia lama dahulu. Mereka berkata sambil menangis: "Kami datang mahu ziarahi kamu sekeluarga, tapi kamu bakar kami hingga mati!"


Keesokan pagi Mak Cik pergi ke sebuah wat cari Luang Phor yang dipercayai mempunyai pengetahuan istimewa boleh mengetahui kehidupan orang yang sudah mati. Mak Cik bertanya kepada Luang Phor, sama ada Luang Phor tahu ibu bapanya yang meninggal dunia sekarang jadi apa? Luang Phor pun bermeditasi sekejap, kemudia memberitahu: "Jadi ular, tapi sekarang sudah mati!"


Mendengar kata-kata Luang Phor, Mak Cik terus pengsan. Sejak hari tersebut, Mak Cik pergi tambun dan phe metta di pelbagai wat dengan pelbagai cara untuk membersihkan rasa bersalah "membunuh ibu bapa" sendiri. Walaupun Luang Phor menasihatinya bahawa dia cuma membunuh ular, tetapi rasa sedihnya tidak hilang. 


Ini kisah benar, tetapi sejauh mana kebenarannya - orang mati jadi ular - saya tidak pasti. Dalam agama Buddha, kemungkinan ini ada. Siapa yang pernah dengar khutbah Dhamma Luang Phor Charan pasti boleh terima kemungkinan ini. 


Oleh itu, apabila mahu bunuh binatang, ingatlah bahawa binatang juga sayang akan nyawanya sebagaimana kita sayang akan nyawa kita. Kita makhluk berakal harus melindungi haiwan kerana haiwan juga memerlukan kehidupan yang selamat seperti kita. 











1 comment:

Anonymous said...

Saya percaya karma yang Tuan Pena kata kerana orang kampung saya pernah mengalaminya. Si dia ini pemotong babi bila nak mati jadi seperti babi disembelih. Bila bawa phra datang baca arahang baru boleh mati.