Sunday, January 1, 2012

Dhamma Luang Phor Cha

Dhamma Luang Phor Cha (Acarn Cha).

Perkara Lazim - Hakikatnya, dunia yang kita tinggal ini tidak ada apa-apa, tidak melakukan apa-apa kepada sesiapa. Tidak ada apa-apa yang patut dirisaukan. Tidak ada apa-apa yang patut ditangiskan dan diketawakan. Sebab ia perkara biasa. Kita boleh kata perkara lazim, tetapi kita  tidak terdaya melihat kelazimannya. Namun, jikalau kita memahami Dhamma dengan betul, tiada apa-apa dengan dunia. Dunia wujud dan lenyap setiap masa adalah perkara biasa. Yang penting kita tetap tenang. Kita tidak usah mengikat perasaan kita dengan dunia. Kita tidak boleh membiarkan dunia mempengaruhi perasaan kita. Sekali lagi, tiada apa-apa yang perlu ditangisi dan tidak ada apa-apa juga untuk diketawakan. Biarkan dunia dengan dunianya dan kita dengan kehidupan kita yang tenang.

Mengamalkan Dhamma ialah Kuasa Agung - Agama Buddha tidak ada apa-apa kuasa bagi mereka yang tidak mengenalinya. Ketulan emas pun tidak ada harga jika kita tidak menganggapnya sebagai galian yang berharga. Emas pun akan terbiar seperti galian lain. Agama Buddha tetap wujud, tetapi jika kita tidak mengamalkan Dhamma, kita tiada apa-apa kuasa langsung. Dhamma berkaitan ketekunan ada, tetapi kita tidak ada ketekunan. Dhamma berkenaan ketenangan ada, tetapi kita tidak ada ketenangan. Dhamma tentang kebijaksanaan ada, tetapi kita tidak ada kebijaksanaan. Adakah kita akan ada apa-apa kuasa tanpa mengamalkan Dhamma?

Kemenangan ke atas Diri Sendiri - Jikalau kita berjaya memenangi diri sendiri bermakna kita telah berjaya memenangi diri sendiri dan diri orang lain sekali gus. Diri kita dan diri mereka sama kerana semuanya ialah Khandha 5. Apabila kita berjaya menundukkan perasaan yang datang melalui mata, telinga, hidung, lidah dan badan, bermakna kita telah berjaya menundukkan segala-galanya. 


Sukkha dan Dukkha - Orang yang tidak kenal suka dan duka akan melihat suka dan duka sebagai dua perkara yang berbeza dan mempunyai nilai yang tidak sama. Sedangkan para bijak pandai melihat suka dan duka mempunyai nilai yang sama. 

Kelahiran dan Kematian - Apabila ada kelahiran, pasti ada kematian. Apabila kita dilahirkan, bermakna kita pernah mengalami kematian. Kelahiran dan kematian merupakan perkara yang sama. Umpama sebatang kayu apabila ada pangkal mesti ada hujung. Mustahil ada pangkal tanpa hujung atau ada hujung tanpa pangkal. Oleh itu, kenapa kita harus menangisi kematian?


Jangan Takut Mati - Kenapa harus takut mati? Kematian itu ada di mana? Kematian ada pada diri kita. Boleh kita melarikan diri daripada kematian? Tidak boleh. Sama ada kita orang besar, berpangkat, kaya, miskin, tinggal di istana atau rumah papan, tiada seorang pun yang boleh melarikan diri daripada kematian. Di tempat gelap mahupun tempat cerah, semuanya akan mati. Takut atau tidak semua orang akan mati. Apabila tahu hakikat ini, ketakutan pun hilang, umpama seseorang yang keluar dari tempat gelap menuju ke tempat cerah.


Manusia Dan Ilmu - Manusia berilmu; setinggi mana sekalipun ilmu tersebut umpama pisau yang tiada bahagian tajamnya kerana tidak berupaya memotong kesengsaraan. Yang ada cuma menambahkan kesengsaraan. Ilmu yang dikuasai manusia sekiranya terpisah daripada Buddha-Dhamma, maka kekuatannya langsung tiada. Golongan profesional ilmu penuh di dada, tetapi apabila digigit kesengsaraan jadi seperti orang separuh gila. Ini kerana ilmunya ketandusan Buddha-Dhamma.  





No comments: