Thursday, January 26, 2012

Diri Dan Dhamma Pelindung Sejati

Setelah Bhikkhu Sariputra (Phra Saribut) parinibbana, Samanera Chunda, penjaga makan minum Sariputra, membawa perkhabaran sedih tersebut kepada pengetahuan Bhikkhu Ananda (Phra Anon). Bhikkhu Ananda membawa Samanera Chunda menghadap Baginda Buddha. Bhikkhu Ananda melahirkan kesedihan yang amat sangat di depan Buddha ekoran parinibbana Bhikkhu Sariputra. Maklumlah Sariputra merupakan Bhikkhu kanan Buddha yang disenangi semua mengikut Buddha. Kemangkatan Sariputra merupakan kehilangan yang besar bagi agama Buddha. Oleh sebab itulah Ananda begitu sugul. 


Buddha lalu bertanya kepada Bhikkhu Ananda adakah Sariputra telah membawa bersama Sila-Khandha, Samadhi-Khandha, Panya-Khandha, Vimutti-Khandha dan Vimutti Yandassana-Khandha? Bhikkhu Ananda menjawab tidak. (Maksudnya walaupun Sariputra parinibbana, namun ajaran Buddha masih ada untuk diamalkan oleh pengikut yang lain).


Selepas itu Buddha mengingatkan Ananda bahawa sudah banyak kali Baginda memberitahu bahawa perpisahan, kehilangan, kematian adalah perkara biasa. Semua orang, lambat laun akan berpisah (kematian) dengan orang yang dikasihi. Orang yang kita sayangi tidak selamanya akan bersama kita. Jikalau bukan kita, mungkin dia (mereka) yang akan pergi dahulu. 


Buddha berpesan kepada Ananda bahawa pada masa kini atau masa selepas kemangkatan Baginda, hanya diri dan Dhamma boleh dijadikan pelindung kerana tiada pelindung lain selain diri sendiri dan Dhamma Buddha. Buddha berpesan lagi bahawa mereka yang rajin belajar akan bebas daripada kegelapan. 


(Chunda Sutta)




Penganut agama Buddha harus mengambil berat pesanan Buddha ini iaitu hanya diri dan Dhamma boleh dijadikan pelindung (penyelamat) yang sebenar dan tiada benda lain boleh dijadikan pelindung. Jikalau ada pihak yang mendakwa ada "benda lain" boleh dijadikan pelindung, maka itu hanya omong kosong. "Benda lain" ini termasuklah Devada Yang Maha Kuasa, Phra Phrom, Phra Isuan, Resi, tangkal azimat, tongkat dan sebagainya.  


(Sila, Samadhi, Panya, Vimutti dan Vimutti Yandassana dikenali sebagai Ariya Dhamma 5 kerana kelima-lima ini merupakan teras sebenar agama Buddha. Dhamma ini dikenali sebagai Ariya Dhamma kerana boleh menjadikan seseorang itu Ariya.)
Klik sini untuk bacaan Thai 



1 comment:

Anonymous said...

Syurkur ada orang seperti Tuan Pena yang tidak jemu menulis dhamma bagi bacaan penganut Buddha. Semoga Tuan dirahmati karma baik. Sathuk, sathuk, sathuk!