Friday, January 20, 2012

Indriya 5 Dan Pembebasan Minda

Sesetengah ilmuwan agama Buddha berpendapat bahawa mereka yang mempunyai sifat yang kasar; mempunyai Raga, Dosa dan Moha yang kuat, lambat mencapai Magga-Phala-Nibbana (Thai: Mark-Phon-Nippan). Sebaliknya, mereka yang mempunyai sifat yang lembut; mempunyai Raga, Dosa dan Moha yang lemah, mempunyai peluang mencapai Magga-Phala-Nibbana dengan cepat. Betulkah pendapat ini? (Raga sinonim dengan Lobha iaitu tamak. Dosa, marah. Moha, sesat atau keliru. 


Buddha berkata bahawa sesetengah orang di dunia ini yang mempunyai Raga, Dosa dan Moha akan selalu menanggung penderitaan (Dukkha) kerana Raga, Dosa dan Moha tersebut. Namun begitu, sekiranya Indriya 5 iaitu Saddha, Viriya, Sati, Samadhi, Panna mereka kuat, mereka boleh mencapai Magga-Phala-Nibbana dengan cepat kerana kekuatan Indriya tersebut. (Indriya 5 - klik di sini)


Manakala mereka yang mempunyai Raga, Dosa dan Moha yang lemah kurang menanggung penderitaan (Dukkha) kerana Raga, Dosa dan Moha tersebut. Namun begitu, sekiranya Indriya 5 iaitu Saddha, Viriya, Sati, Samadhi, Panna mereka lemah, mereka lambat mencapai Magga-Phala-Nibbana kerana kelemahan Indriya tersebut. 


Berdasarkan penjelasan Buddha, maka tahulah kita bahawa orang yang mempunyai sifat tamak, marah dan sesat yang kuat boleh mencapai Pembebasan Minda dengan cepat sekiranya mempunyai Indriya 5 yang kuat. Sebaliknya orang yang mempunyai sifat tamak, marah dan sesat tidak kuat, tetapi Indriya 5 juga lemah, lambat mencapai Pembebasan Minda. 


Oleh itu, pendapat sesetengah ilmuwan agama tidak betul, bahkan meleset sama sekali. Pembebasan Minda atau penghapusan Kilesa bergantung pada kekuatan Indriya 5. Kadar Raga, Dosa dan Moha bukan penentuannya. 


Kesimpulannya, Indriya 5 ini penting kerana ia menentukan cepat atau lambat seseorang menghapuskan Kilesa atau Asava. Oleh itu, berusahalah menguatkan Indriya 5 agar dapat mempercepat proses membebaskan diri daripada belenggu penderitaan.   



No comments: