Friday, January 27, 2012

Jaga Orang Lain Seperti Jaga Diri Sendiri

Soalan: Dalam kehidupan harian, setiap orang tentu mempunyai hubungan dengan orang lain. Oleh itu, adakah kita hanya perlu jaga diri sendiri sahaja, atau perlu jaga diri sendiri dan jaga orang lain?


Dale Carnigie, pakar motivasi terkenal berkata: "Selalu usahakan agar orang lain berasa penting." 


Prinsip perhubungan manusia ini diutarakan ribuan tahun dahulu. Zoroaster mengajar kepada para pengikutnya di Parsi 2500 tahun dahulu. Konfucius mengutarakannya di China dua puluh empat abad yang lalu. Lao Tse, pengasas Taoisme mengajar kepada para muridnya di Lembah Han dua puluh lima abad yang lalu. Kitab-kitab suci Hindu mengajarnya dibukit-bukit Judea sembilan belas abad yang lalu. Isa mengajar pengikutnya 2000 tahun yang lalu. 


Bagaimana dengan Buddha? 


Buddha berpesan kepada para Bhikkhu agar mereka melakukan Sati Patthana dengan berfikir bahawa: "Kita akan jaga orang lain kerana individu yang jaga diri sama seperti jaga orang lain; individu yang jaga orang lain sama seperti jaga diri!"


Bagaimana individu yang dikatakan jaga diri sama seperti jaga orang lain? Individu itu mestilah mengamalkan dan menyuburkan Sati Patthan 4 dengan tekun dan berterusan. Sati Patthan 4 akan membolehkan seseorang memahami hakikat kewujudan manusia; kemahuan, perasaan dan pemikiran serta faktor-faktor yang mempengaruhi tindakan manusia.


(Sati Patthan 4 ialah: 1. Kaya Nupassana, 2. Vedana Nupassana, 3. Citta Nupassana, 4. Dhamma Nupassana. Sati Patthan bermaksud membicarakan tubuh, perasaan, minda dan Dhamma dengan penuh kesedaran (Sati) mengikut hakikatnya).


Bagaimana individu yang dikatakan jaga orang lain sama seperti jaga diri sendiri?  Individu itu mestilah melayan orang lain dengan sabar, cekal, tidak dengki, tidak ada niat jahat dan mempunyai jiwa yang dilimpahi kasih sayang. 


Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Buddha amat menitik-beratkan prinsip perhubungan manusia yang baik. Kita dianjurkan menjaga diri seperti menjaga orang lain, menjaga orang lain seperti menjaga diri. Orang lain dengan diri kita sama penting. Jikalau kita mementingkan kesihatan diri kita, maka kita juga mesti mementingkan kesihatan orang lain.


Kita, misalnya, tidak boleh membuang sampah ke depan rumah orang lain kerana kita juga tidak mahu sampah tersebut berlonggok di depan rumah kita. Kita tidak boleh membuang tahi kucing ke laman rumah sebelah kerana mahu jaga laman rumah kita. Kita tidak boleh menceroboh hak orang lain jikalau tidak mahu orang lain menceroboh hak kita. Kita tidak boleh melukakan orang lain, sekiranya tidak mahu orang lain melukakan kita.


Mungkin kita berasa geram melihat kanak-kanak berusia 6 tahun yang nakal di kedai makanan yang sedang kita menjamu selera bersama keluarga. Lelaki 30-an tahun yang membawa kanak-kanak itu datang nampaknya tidak berupaya mengawalnya. Kita mungkin hilang geram seandainya kita diberitahu oleh lelaki 30-an tahun itu begini: "Saya tak tahu bagaimana mahu kawalnya kerana selepas ibunya meninggal dunia dua minggu lepas, inilah hari yang saya lihat dia gembira!"


Apabila melihat sesuatu atau situasi orang lain yang tidak menyenangkan hati kita, cuba selidiki puncanya. Mungkin mereka juga tidak mahu situasi begitu berlaku.   


Apabila melihat orang lain dalam kesusahan, cuba letakkan diri kita di tempat mereka dan cuba merasai kesusahan tersebut. Dari situ barulah kita dapat memahami kesusahan orang lain.


Apabila melihat seorang pencuri ditangkap, jangan segera menjatuhkan hukum kepadanya. Mungkin ada kisah sedih di sebaliknya yang dia sendiri tidak mahu melakukannya. 


Cuba bersimpati kepada manusia malang, bukan menambahkan kesakitannya. Semua orang mahu kesenangan, kebahagiaan dan dihargai. Oleh sebab itulah Buddha sentiasa mengingatkan umat agar sentiasa menyuburkan kasih sayang terhadap makhluk lain. 


Kesimpulannya, jagalah diri kita seperti kita jaga diri orang lain dan jagalah orang lain seperti kita jaga diri kita. Jaga diri dengan jaga orang lain harus sama rata, sama adil. Inilah prinsip perhubungan manusia dalam agama Buddha. 











No comments: