Monday, January 16, 2012

Membendung Dendam

Setiap orang pasti pernah mengalami perasaan marah. Marah kepada isteri (suami), anak-anak, kawan, saudara mara bahkan kepada diri sendiri. Mungkin ibu bapa juga pernah menjadi sasaran kemarahan kita. Maklumlah kita masih ada kilesa. Namun, setakat marah di hati tidak mengapa selagi tidak disusuli dengan tindakan fizikal. 

Marah mempunyai pelbagai tahap. Tahap paling rendah ialah perasaan tidak selesa terhadap seseorang (sesuatu).Tahap yang kuat sukar dikawal dan mungkin boleh mencetuskan tindakan fizikal. Mengawal kemarahan bukan mudah, terutama orang yang bersifat panas baran. 

Marah yang terkumpul dan terpendam lama di hati boleh bertukar menjadi dendam. Oleh itu, Buddha menyarankan kepada kita supaya tidak menyimpan marah di hati. Apabila timbul perasaan marah, kita mesti cepat-cepat buang perasaan tersebut supaya tidak melekat dan bersarang di hati. 

Pakar motivasi selalu berpesan agar kita memaafkan orang lain. Cakap senang, tetapi untuk melakukannya bukan senang. Bagaimana hendak "memaafkan" jika hati masih marah? Maka terlebih dahulu, kita mesti membuang perasaan marah, barulah boleh memaafkan dengan hati yang tenang.

Bagaimana caranya?

1. Baginda Buddha mengajar kepada kita apabila kita marah kepada seseorang, kita mesti menyuburkan perasaan Metta kepada orang tersebut. Ini bukan mudah, tetapi kita mampu melakukannya. Metta ialah kasih sayang; mahu orang lain mengecapi kebahagiaan. Walaupun orang itu melakukan sesuatu yang membangkitkan kemarahan kita, menyakitkan hati kita, namun kita masih mengharapkan dia bahagia dalam hidup. Keikhlasan kita mungkin akan menyebabkan dia menyesal dengan perbuatannya. 

2. Kita mesti menyuburkan Karuna kepada orang itu. Karuna ialah belas kasihan, simpati atau empati; mahu orang lain bebas daripada kedukaan. Biarpun dia membangkitkan kemarahan kita, namun kemungkinan kehidupannya lebih teruk daripada kita. Penderitaan yang ditanggungnya berganda daripada kita. Seandainya kita berdendam kepadanya, maka kita telah menambahkan lagi penderitaannya. Kita harus ada perasaan belas kasihan dan bersimpati dengan kehidupanya, bukan menambahkan lagi penderitaannya.  

3. Kita mesti menyuburkan Upekkha terhadap orang tersebut. Upekkha ialah tidak suka dan tidak benci. Kita tidak mempunyai sebarang perasaan positif mahupun negatif terhadap orang itu. Dalam bahasa yang mudah, perkara yang lepas biarlah lepas. Kau dengan hidup kau, aku dengan hidup aku. 

4. Kita lupakan terus orang tersebut. Kita anggap tidak ada apa-apa yang berlaku antara kita dan dia. Selagi kita masih mengingati dia, selagi itulah kemarahan kita tidak hilang. Oleh itu, padam terus riwayat hidup orang tersebut daripada diari kehidupan kita. 

5. Baginda juga mengajar kita bahawa semua orang ada Karma tersendiri. Oleh itu, orang yang menyebabkan kita marah juga mempunyai Karma tersendiri. Dia mewarisi Karmanya, dilahirkan oleh Karma dan Karma apa (baik atau jahat) yang dilakukannya, dia akan terima balasan Karma tersebut. Jadi, kita tidak perlu bertindak terhadap orang yang kita marah kerana Karma yang akan bertindak apabila tiba masanya. 

Inilah antara 5 cara yang diajarkan oleh Baginda Buddha untuk membendung kemarahan atau dendam terhadap seseorang. 

Orang marah umpama orang gila. Jadi, tidak bijak sekiranya kita membiarkan diri kita jadi orang gila semata-mata kerana orang lain. 


No comments: