Tuesday, January 31, 2012

Micca Ditthi Penutup Pintu Syurga

Kebanyakan kaum Buddhis mempunyai impian untuk dilahirkan di syurga (Sugati) selepas berakhirnya kehidupan sekarang. Ini impian yang normal. Tidak ramai yang menyimpan impian untuk mencapai Nirvana kerana Nirvana itu, kononnya sukar. Syurga lebih senang. Maka ramailah yang berbuat baik - apa sahaja yang diwar-warkan boleh membawa ke syurga - dengan niat untuk ke syurga atau dilahirkan di syurga.


Betulkah syurga lebih senang?


Kita rasa senang kerana kebanyakan wat Thai ada menganjurkan pelbagai cara atau kaedah yang kelihatan seperti "propaganda" sebagai bekalan ke syurga. Antaranya ialah Kathina, phapa, bina bangunan, bina Ubosot, Fang Luk Nimit dan sebagainya. Saya tidak menafikan perkara ini boleh membantu impian seseorang untuk ke syurga. Akan tetapi demi survival penghuni wat perkara-perkara ini harus ditekankan. 


Dalam beberapa Sutta, Buddha ada menjelaskan jalan ke syurga. Kammabot 10 antara amalan yang dijamin dapat membawa seseorang ke syurga. Akan tetapi mesti disertai amalan-amalan lain juga.


Dalam Yodajiva Sutta, Buddha menerangkan tentang Micca Ditthi iaitu Pandangan Yang Salah. Individu yang mempunyai Pandangan Yang Salah akan dilahirkan sama ada di neraka atau di alam haiwan. Bagi mereka yang menyimpan impian ingin ke syurga, tetapi mempunyai Pandangan Yang Salah, lupakan sahaja impian tersebut. Micca Ditthi penutup pintu syurga. Jika mahu impian menjadi kenyataan, berusaha membetulkan pandangan (ditthi). Berbuat baik setinggi gunung sekalipun sekiranya mempunyai Micca Ditthi atau Pandangan Yang Salah tidak mungkin dapat ke syurga. Ini kena difahami dengan betul supaya tidak menyesal di kemudian hari. 


Saya kesian dengan kaum Buddhis yang saya sayangi. Mereka berbuat baik bermacam-macam kebaikan kerana ingin dilahirkan di syurga, tetapi pada masa yang sama mempunyai Micca Ditthi. Saya tidak berkata bahawa saya telah terjamin akan ke syurga, tetapi sekurang-kurangnya saya sedar dan berusaha membetulkan pandangan (termasuk fikiran dan perbuatan). Saya juga kagum dengan sesetengah generasi muda Thai hari ini yang berusaha keras memahami Dhamma dan cuba mengamalkannya. Namun, masih ramai yang beroleng-olengan bagai kerahu sesat di lautan luas. 


Kita tiada pilihan sekiranya ingin menikmati syurga, betulkan pandangan terlebih dahulu. Ini lesen memandu yang wajib ada jika mahu memandu kereta. Soal hendak memandu kereta jenis apa dan berapa kelajuannya, boleh difikirkan kemudian. Apabila sudah mempunyai Pandangan Yang Betul barulah berfikir tentang perkara-perkara lain yang disyorkan (jangan berfikir sahaja, mesti buat). Hiri-Ottapa dan Kammabot 10 jangan lupa. Kathina atau Phapa atau Fang Luk Nimit terpulang kepada citarasa masing-masing. 


Jangan asyik berkata aku mahu ke syurga kerana ketentuan syurga atau neraka bukan oleh kemahuan kita, tetapi oleh pengamalan kita. 



1 comment: